PERUBAHAN emosi antara gejala masalah mental
PERUBAHAN emosi antara gejala masalah mental
Muhamaad Razis Ismail

 

KEBELAKANGAN ini, selepas negara mula memasuki fasa peralihan endemik, kos sara hidup dilihat semakin meningkat.

  Situasi yang tidak boleh dielakkan ini memberi tekanan kepada masyarakat yang rata-rata terkesan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia selama hampir dua tahun.

Apabila bercakap mengenai peningkatan kos sara hidup, ia sangat berkait rapat dengan kesihatan mental.

  Pakar Psikiatri, Dr Rozanizam Zakaria berkata, kesihatan mental bergantung rapat dengan keadaan persekitaran dan sosioekonomi individu kerana ia akan menyumbang kepada punca serta pada masa yang sama boleh menjadi faktor pelindung kepada masalah mental.

  "Kedudukan ekonomi, kerjaya, kestabilan sumber pendapatan, kesejahteraan tempat tinggal, bilangan tanggungan dan bebanan hutang antara faktor yang akan menentukan status kesihatan mental seseorang.

  "Sebagai contoh, kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) secara global, kadar bunuh diri berkait rapat dengan kadar jurang kesamarataan pendapatan yang diukur berdasarkan 'Gini Coefficient.'

  "Ini bermakna, semakin besar jurang antara yang kaya dan miskin, semakin banyak berlaku tekanan yang akhirnya membawa kepada masalah mental seperti bunuh diri," katanya.

Menurutnya, kenaikan kos sara hidup memberi kesan terhadap kesihatan mental kerana ia boleh menjadi faktor yang mengganggu keperluan asas individu seperti makan, pakaian, tempat tinggal dan keperluan pendidikan.

MEMERLUKAN sokongan daripada pelbagai pihak.
MEMERLUKAN sokongan daripada pelbagai pihak.

"Apabila keperluan asas ini terjejas, ia akan mencetus tekanan. Ia juga memberi kesan kepada kemampuan individu untuk mendapatkan bantuan.

"Sebagai contoh, individu mungkin tidak mampu untuk pergi mendapatkan rawatan kerana perlu bekerja lebih masa bagi menampung kenaikan kos hidup," katanya.

Beliau yang juga Penolong Professor, Kuliyyah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, dapatan dari kajian sepanjang pandemik menunjukkan kes-kes masalah mental meningkat dua ke tiga kali ganda berbanding sebelum pandemik. Ditambah dengan kesan kewangan, trend peningkatan ini dijangka akan terus berlaku.

Jelasnya, situasi ini jika tidak ditangani boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan mental seperti stres, kemurungan, kebimbangan melampau, penyalahgunaan dadah dan alkohol, perbuatan mencederakan diri dan bunuh diri, keganasan rumahtangga.

. DR ROZANIZAM
. DR ROZANIZAM

"Antara gejala yang boleh dikenal pasti adalah perubahan emosi (murung, mudah marah, cemas dan gelisah), perubahan tingkahlaku (menyendiri, mencederakan diri, hilang selera makan, gangguan tidur) dan perubahan fikiran (putus asa, hilang harapan, sukar fokus, idea mencederakan diri)," katanya.

Mengulas lanjut, isu kesihatan mental yang tidak dirawat boleh membawa penyakit mental yang kronik seperti kemurungan berpanjangan dan skizofrenia.

"Jika tidak dibantu, individu boleh berisiko mendapat komplikasi seperti risiko mencederakan diri/orang lain.

"Ia juga akan mengganggu kefungsian seperti hilang kemampuan bekerja, mengurus diri dan keluarga," katanya.

Dr Rozanizam berkata, rawatan bagi individu yang berdepan dengan masalah mental bergantung kepada punca dan tahap.

"Sebagai contoh, individu yang tertekan dengan masalah kekurangan keperluan asas perlu diberi bantuan asas supaya isu keperluan asas ini diselesaikan terlebih dahulu untuk membantu diri keluar dari tekanan yang dihadapi.

RUMAH tangga turut terjejas.
RUMAH tangga turut terjejas.

"Rawatan boleh datang dalam bentuk kaunseling bagi kes yang ringan ataupun rujukan ke pakar psikiatri bagi kes yang lebih serius seperti kemurungan dan risiko membahayakan diri. Dari situ doktor akan menentukan rawatan spesifik yang diperlukan bergantung kepada tahap keseriusan masalah yang dihadapi," katanya.

Beliau berkata, dalam menangani masalah ini, semua pihak bermula dari individu sehingga pihak berkuasa perlu mengambil berat.

"Perlu ada mekanisme yang efektif dalam mengesan individu berisiko, meningkatkan akses bantuan, mengutamakan bantuan kewangan yang lestari kepada individu terkesan, ambil berat golongan rentan seperti wanita, ibu tunggal dan golongan muda.

"Sediakan lebih banyak fasiliti kerajaan dengan akses kaunseling sebagai penampan bagi menampung bebanan rujukan ke klinik pakar psikiatri. Badan bukan kerajaan (NGO) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), institusi agama dan wakaf perlu menggembleng tenaga untuk bersama-sama membantu.  

"Masyarakat perlu mengambil tahu kebajikan jiran dan keluarga jauh, hulurkan bantuan, jangan stigma individu yang memerlukan bantuan psikiatri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2022 @ 7:00 AM