BUAT pecahan aliran kewangan.
BUAT pecahan aliran kewangan.
Muhamaad Razis Ismail


PENINGKATAN kos sara hidup kini menjadi antara topik perbualan hangat di mana-mana sahaja berikutan ramai yang terkesan.

Apa tidaknya, harga barang keperluan asas seperti minyak masak, tepung dan ayam yang meningkat atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan membuatkan ramai menarik nafas panjang.

Jika dahulu, dengan wang RM100, banyak barang keperluan boleh diperoleh. Bagaimanapun kini tidak lagi berikutan peningkatan harga barang berkenaan.

Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPEK), Profesor Madya Dr Azwan Abdullah berkata, situasi ini menyebabkan kuasa beli seseorang itu mengecil kerana berlaku kenaikan kos yang tidak selari dengan kenaikan gaji.

"Ia sepatutnya bergerak seiring untuk mengimbangi kesan kenaikan kos sara hidup.

"Bagaimanapun dalam konteks ini, ia menyebabkan kuasa beli pengguna itu semakin mengecil," katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, kenaikan harga adalah perkara di luar kawalan pengguna.

"Bagaimanapun, pengguna boleh membuat kawalan dengan membuat pengurusan dan perancangan kewangan sendiri.

"Kita boleh buat perancangan kewangan sebagai mekanisma kawalan antaranya melalui kawalan perbelanjaan kendiri dengan menyediakan catatan bagi setiap perbelanjaan perlu dilaksanakan dengan sumber kewangan yang tersedia.

"Kaedah ini juga secara tidak langsung membentuk disiplin dan kesedaran ahli isi rumah lain mengenai kepentingan pengurusan kewangan," katanya.

Menurutnya, dalam hal ini, perbincangan dalam keluarga amat penting supaya sistem kewangan keluarga berada dalam suasana kondusif.

"Sebagai ketua keluarga, bincang dengan isteri dan ahli isi rumah lain supaya kita dapat menyediakan bajet dan matlamat kewangan.

"Langkah ini dapat memberi kesedaran terhadap pengurusan kewangan bukan sahaja digerakkan secara sendirian malah mendapat sokongan daripada setiap ahli isi rumah yang lain.

AMALAN gaya hidup mestilah bersesuaian dengan kemampuan.
AMALAN gaya hidup mestilah bersesuaian dengan kemampuan.

"Apabila keadaan ini berlaku, keadaan 'kesihatan' kewangan keluarga akan berada dalam keadaan baik," katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa panduan pengurusan kewangan yang baik:

1.Amalan gaya hidup mestilah bersesuaian dengan kemampuan

Elakkan daripada membeli barang yang tidak diperlukan dan utamakan keperluan contohnya keperluan untuk menyediakan makanan, pendidikan dan kesihatan kepada keluarga.

Cuba peruntukan perbelanjaan berdasarkan keperluan yang perlu diutamakan seperti makanan, pakaian dan keperluan di tempat tinggal dan sebagainya.

Namun begitu amalan gaya hidup itu mempengaruhi perbelanjaan, jadi kita perlu buat penyesuaian gaya hidup dengan kos sara hidup yang semakin meningkat

BINCANG dengan pasangan supaya sistem kewangan keluarga berada dalam suasana kondusif.
BINCANG dengan pasangan supaya sistem kewangan keluarga berada dalam suasana kondusif.

2.Simpanan kecemasan

Simpanan untuk kecemasan sangat penting kerana kita memerlukan satu jumlah tabungan yang perlu kita peruntukan bagi menghadapi situasi yang tidak pasti dan di luar jangka.

Sebagai contoh apabila sama ada kita atau ahli keluarga sakit, kita perlu membiayai bil perubatan. Oleh sebab itu amat penting untuk mempunyai simpanan kecemasan.

3.Elakkan menggunakan kad kredit

Sebolehnya elakkan penggunaan kad kredit, sekiranya ia digunakan melebihi daripada kemampuan pada setiap bulan.

Sekiranya kita menggunakan kad kredit sebagai punca utama perbelanjaan dan tanpa disiplin yang tinggi, mungkin kita akan terperangkap dengan jumlah hutang lebih besar

4.Perlu seimbangkan pendapatan dengan perbelanjaan

Perancangan dalam perbelanjaan mungkin boleh dilihat dari segi keperluan untuk kehidupan seharian.

Jadi perlu ada perancangan perbelanjaan ini supaya keseimbangan pendapatan yang diperoleh selari dengan perbelanjaan.

Seboleh-bolehnya, kita perlu mempunyai elemen simpanan dan pelaburan dalam pendapatan yang diterima.

Jangan buat hutang atau gunakan pendapatan kita untuk membayar hutang lebih daripada 50 peratus dari keupayaan.

5.Dapatkan perlindungan takaful atau insurans

Seeloknya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, perlindungan sama ada takaful atau insurans penting dalam berdepan perkara yang tidak terduga.

Menerusi perlindungan ini, ia dapat membantu dari segi tanggungan bil hospital, kemalangan dan sebagainya.

Ia dapat mengurangkan bebanan tambahan yang terpaksa ditanggung apabila berlaku keadaan tidak dijangka.

6.Semak semula perbelanjaan

Sekiranya perbelanjaan itu boleh ditangguhkan sebagai contoh membeli kereta atau telefon baru, maka kita perlu berbuat demikian untuk menyesuaikan dengan keadaan ekonomi dan sumber pendapatan pada masa kini.

PROFESOR Madya Dr Azwan Abdullah
PROFESOR Madya Dr Azwan Abdullah

Perkara sebegini memerlukan perancangan dalam perbelanjaan untuk memastikan ekosistem kewangan kita menjadi lebih tersusun dan baik.

Perancangan kewangan perlu dizahirkan dalam bentuk tindakan bukan sekadar coretan di atas kertas. Biarpun agak perit, namun disiplin kewangan ini penting kerana pendapatan yang diperoleh bukan untuk diri sendiri malah untuk seisi keluarga.

7.Simpan resit pembelian

Apabila kita membeli sesuatu barangan, resit bayaran sebaiknya disimpan.

Resit ini adalah elemen penanda aras perbelanjaan. Melalui resit, kita boleh membuat analisa aliran tunai supaya sentiasa berada dalam keadaan baik.

8.Buat pecahan aliran kewangan

Pendapatan yang diperoleh boleh dibuat pecahan mengikut peratusan untuk memastikan aliran kewangan peribadi sentiasa dalam keadaan baik dan terkawal.

Sebagai contoh, anda boleh membuat pembahagian 50 peratus dari pendapatan untuk keperluan rumah dan perbelanjaan bulanan, 10 peratus untuk hobi, simpanan kecemasan (10 peratus), akaun pendidikan anak-anak (10 peratus) dan untuk ibu ayah dan tabung kebajikan (10 peratus).

Peratusan ini boleh dikecilkan sekiranya kita mengambil langkah-langkah penjimatan antaranya menggunakan pengangkutan awam berbanding menaiki kenderaan sendiri.

Untuk pembelian barang keperluan, buat satu senarai untuk mengawal perbelanjaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 7:00 AM