Nurul Husna Mahmud


TIDAK terlintas langsung pereka busana dan kostum etnik, Harry Shari atau nama sebenarnya Hairilnizam Shahri, 40, untuk mencipta kontroversi menerusi busana direkanya.

Dia menerima komen pedas netizen mengenai busana digayakan ratu muzik etnik kreatif, Noraniza Idris dalam poster konsert artis itu baru-baru ini sebagai 'usikan manja' supaya dia terus kuat berkarya.

Busana itu pada umumnya mahu menonjolkan susuk 'srikandi' yang elegan disaluti elemen mewah, tapi dikatakan menyamai busana yang sesuai digayakan untuk poster Tahun Baharu Cina.

Bagi pereka yang memulakan perjalanan dalam bidang rekaan fesyen sejak 2018 itu, reaksi netizen memberi makna eksperimennya terhadap penghasilan busana mewakili tiga etnik utama di Malaysia itu berjaya direalisasikan.

"Komen orang mengenai rekaan busana saya itu boleh diterima satu penanda aras bahawa eksperimen saya untuk mengangkat tiga etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India dalam satu busana berjaya.

"Idea atau perincian etnik itu saya realisasikan pada bahagian tertentu rekaan iaitu perhiasan kepala itu dikenakan sebagai aksesori adalah gaya sering dipakai wanita Melayu.

"Perincian burung merak pada aksesori kepala termasuk ukiran mahkota sering dikenakan penari opera Cina dapat dilihat pada aksesori sama.

"Bajunya ada elemen campuran Melayu dan Cina yang mana potongan utama adalah mengikut gaya srikandi Melayu sementara perincian labuh pada lengan adalah motif kemewahan seperti kita lihat pada gaun hanfu iaitu busana tradisional masyarakat Cina," katanya.

 WAYANG kulit jadi tema dalam rekaan kostum untuk Sang Ratu.
WAYANG kulit jadi tema dalam rekaan kostum untuk Sang Ratu.

Pemilihan warna merah berbenang emas itu semestinya melambangkan ciri-ciri kemewahan dan keanggunan wanita dalam persalinan itu.

Memiliki cita rasa unik dalam sentuhan kostum etnik, kata Harry Shari, idea segar itu diperoleh menerusi ilham dari pemerhatian dan pemahaman konsep dipilih.

"Berbanding busana dipakai orang biasa atau untuk pakaian harian, saya lebih teruja mereka busana atau kostum pertandingan.

"Malah, trek rekod dalam rekaan busana, saya sendiri bermula dengan tawaran untuk hasilkan kostum kebangsaan untuk wakil Malaysia Miss Grand.

"Rekaan saya menerima reaksi positif dari peminat fesyen luar dan mungkin mereka lebih menghargai karya kreatif.

"Bagi masyarakat tempatan busana dihasilkan mungkin terlalu 'sarat' atau pelik diterima.

"Kesimpulannya karya busana banyak saya dapat permintaan untuk pertandingan atau konsep 'avant-garde', tetapi mahu cita rasa etnik tempatan," katanya.

Kata Harry Shari, projek pertamanya ialah pada 2018 menerusi karya kostum berinspirasikan Puteri Langkasuka.

"Projek pertama saya berjaya menangi adalah rekaan untuk wakil Miss Grand Malaysia pada 2018.

"Cabaran semestinya saya ini yang bukan datang dari bidang rekaan fesyen perlu belajar dari 'kosong' untuk hasilkan kostum.

KERJA hakiki adalah sebagai kontraktor pendawaian.
KERJA hakiki adalah sebagai kontraktor pendawaian.

"Latar belakang saya ialah jurusan elektrik dan bergelar kontraktor elektrik sebagai kerjaya sepenuh masa.

"Cuma perkara yang mendorong saya menghasilkan busana ialah apabila saya sukakan kerja seni dan berjaya hasilkan kostum unik dengan efek menarik lalu dihargai penggiat fesyen atau industri.

"Situasi itu membuatkan saya jatuh minat dan kini menjadikan ia pendapatan sampingan," katanya.

Meskipun tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang rekaan fesyen, bakat Harry terserlah apabila berupaya menyiapkan busana atau kostum etnik itu sekitar satu hingga tujuh hari sahaja.

"Saya rasa teruja apabila benda yang saya bayangkan boleh terhasil dan itu dibantu teknologi iaitu mesin jahit sekarang lebih mudah digunakan.

"Orang yang tidak pernah menjahit seperti saya boleh siapkan kostum dalam tempoh tujuh hari siap dengan 'prop.'

"Saya rasa bakat dalam bidang ini juga satu anugerah kerana saya biasanya menghasilkan baju mengikut bayangan dan cantuman digambarkan pada kepala.

"Cuma kebelakangan ini hasil lebih baik, saya akan padankan pada patung untuk dapat gambaran lebih baik apabila baju siap nanti," katanya.

Tambah pereka yang turut memiliki tiga cahaya mata itu, inspirasinya kebanyakan berdasarkan seni dan budaya etnik tempatan.

"Saya pernah hasilkan karya bertemakan kuda kepang, wau dan banyak lagi. Saya berhasrat hasilkan motif membabitkan Melaka pula.

"Setakat ini idea saya untuk hasilkan kostum berinspirasikan pelanduk, kereta lembu atau beca.

"Sebagai anak tempatan saya mahu mengangkat keunikan negeri sendiri di mata dunia menerusi penghasilan busana atau kostum etnik ini," katanya yang berasal dari Tehel, Bemban, Melaka.

Lebih membanggakan, minatnya itu mendapat sokongan isteri, Nur Farhana Ahmad Yaccob, 35, dan rakan sekerja dalam menyiapkan sesuatu projek kostum bagi pertandingan fesyen tertentu.

"Sebelum ini saya bimbang orang tidak dapat menerima atau faham karya atau kerja tangan saya dalam menghasilkan kostum etnik.

"Tapi, melihat setiap pertandingan atau rekaan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat dunia dan Asia, busana saya hasilkan berjaya mendapat tempat kelima terbaik.

"Ia menjadi pencetus untuk saya terus berkarya. Saya berharap satu hari nanti lebih ramai dapat melihat bakat dan menghargai kostum saya hasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 6:30 AM