SENTIASA memastikan kuda dalam keadaan baik.
SENTIASA memastikan kuda dalam keadaan baik.
Nazdy Harun


BIASANYA sukan lumba kuda dimonopoli peserta lelaki namun berbeza bagi wanita dari Terengganu ini yang menjadikan sukan lasak itu sebagai kerjaya.

Kebolehan dan bakat yang dimiliki Fatin Naimah Mohd Zahri menjadikannya antara pelumba kuda yang disegani dalam sukan terbabit.

Kini pada usia 23 tahun, Fatin Naimah sudah menjuarai 15 kejohanan lumba kuda dianjurkan di negara ini.

Malah pada usia 17 tahun, dia pernah menerima tawaran menjadi pelumba daripada seorang pemilik kuda lumba dari Singapura namun ibunya tidak membenarkan memandangkan masih bersekolah.

Fatin Naimah berkata, dia membiasakan diri dengan kuda sejak berusia empat tahun berikutan keluarganya memelihara haiwan berkenaan.

Dari situ timbul minat untuk bergiat lebih serius dalam sukan berkuda dan ketika berusia sembilan tahun dia mula menyertai perlumbaan kuda.

"Menjadi seorang pelumba memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tinggi selain perlu mengekalkan berat badan yang ideal bagi meringankan beban pada kuda ketika perlumbaan.

"Selalunya saya akan menyertai kategori campuran kerana kebiasaannya penyertaan peserta wanita sangat sedikit atau tiada langsung.

FATIN Naimah berada di atas kuda sebelum menyertai acara endurance pada kejohanan Sultan Cup, di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.
FATIN Naimah berada di atas kuda sebelum menyertai acara endurance pada kejohanan Sultan Cup, di Lembah Bidong, Setiu, Terengganu.

"Pernah dalam satu pertandingan perlumbaan kuda di Kelantan, hanya saya saja wanita manakala selebihnya terdiri daripada peserta lelaki

"Namun saya tidak berasa kekok dan rendah diri untuk bersaing dalam sukan yang dimonopoli lelaki ini. Malah mereka juga menerima kehadiran saya dengan hati yang terbuka ," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Buruk, Terengganu, baru-baru ini.

Menurutnya, dia menggunakan lima kuda untuk berlumba yang masing-masing diberi nama Putih, Dewi, Puteri, Putera dan Zidan.

"Selain menjadi joki, saya amat meminati sukan berkuda. Saya pernah menyertai pertandingan endurance kategori 40 kilometer di Lembah Bidong, Setiu dan ketika usia 14 tahun saya pernah membuat persembahan 'show jumping' di Terengganu Ekuestrian Resort.

TIDAK kekok beraksi di atas kuda miliknya.
TIDAK kekok beraksi di atas kuda miliknya.

"Pada pertandingan endurance di Lembah Bidong pada 2017 saya memenangi tempat ketiga bagi kategori yang saya sertai namun jiwa saya tetap pada kuda lumba yang memerlukan ketangkasan ketika beraksi," katanya.

Katanya, sepanjang terbabit dengan sukan lasak itu, risiko kecederaan tidak dapat dielakkan sehingga dia pernah terbabit dengan kemalangan sebanyak lapan kali.

"Paling serius apabila saya terjatuh dan diheret kuda dalam pertandingan spring di Kejohanan Sultan Cup 2017 di Lembah Bidong.

"Dalam kejadian itu, kaki saya terkena batu dan menyebabkan kecederaan serius sehingga terpaksa menerima 13 jahitan. Saya dinasihatkan doktor supaya tidak menyertai sukan yang lasak itu sehingga pulih sepenuhnya.

"Bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat untuk kembali menunggang kuda," katanya

MEMANFAAT kepakaran dalam sukan berkuda untuk menjana pendapatan.
MEMANFAAT kepakaran dalam sukan berkuda untuk menjana pendapatan.

Menurutnya, dia bersyukur, ibunya, Zaleha Awang, 61, dan bapanya, Mohd Zahri Ismail, 64, adalah tulang belakang baginya kerana banyak memberi dorongan buatnya untuk menceburi dunia joki lumba kuda.

"Abang saya, Mohd Hafizi menjadi jurulatih peribadi sepanjang berkecimpung dalam dunia lumba kuda dengan menjadikan pesisir pantai Batu Buruk, sebagai lokasi latihan sebelum perlumbaan," katanya.

Jelasnya, dia pernah mencuba disiplin lain di dalam sukan berkuda namun jiwanya tetap menjurus kepada perlumbaan.

"Perlumbaan spring atau pusingan lap amat memberi kepuasan namun sukan yang dimonopoli golongan lelaki itu lebih besar peluang kerjaya di luar negara," katanya.

Ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang serius, sukan berkuda tidak dapat dianjurkan dan dia banyak menghabiskan masa di rumah.

"Hanya selepas kelonggaran diumumkan kerajaan, saya kini membawa kereta kuda di kawasan Pantai Baru Buruk, sebagai wadah untuk rekreasi kepada pengunjung ke kawasan itu," katanya.

Katanya, kereta kuda klasik yang dibawanya itu dibina sendiri oleh abangnya.

"Abang saya mengambil masa selama beberapa bulan untuk menyiapkan kereta kuda berkenaan dan kini ia sebagai salah satu tarikan pelancong untuk menaiki kereta kuda di Pantai Batu Buruk.

"Selain digunakan sebagai produk pelancongan, kereta kuda itu juga turut ditempah untuk pelbagai program termasuk majlis persaraan dan perkahwinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:00 AM