SERBUK teh hijau dicampur bersama pemutih telur dan beras kisar boleh jadi pupur muka. - FOTO Google
SERBUK teh hijau dicampur bersama pemutih telur dan beras kisar boleh jadi pupur muka. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


TEH hijau antara minuman tradisi yang diamalkan kebanyakan negara Asia kerana terdapat kepercayaan ia mengandungi bahan yang dapat memberi kebaikan kepada tubuh dan kesejahteraan mental.

Malah ada tinjauan terhadap 40 ribu golongan dewasa di Jepun mendapati mereka yang mengamalkan tabiat minum teh hijau lima kali sehari boleh membantu memanjangkan hayat.

Justeru kajian ke atas minuman semula jadi itu dijalankan beberapa saintis dan menemui beberapa bahan aktif terdapat pada daun teh berkenaan yang dikatakan mempunyai kebaikan terhadap kesihatan.

Bahan aktif itu tetap kekal meskipun melalui beberapa proses penyediaan sehingga menjadi minuman. Nutrien dalam minuman itu juga masih mampu membantu memberi kebaikan kepada tubuh.

Ciri-ciri antioksidan dari kandungan polifenol dalam teh hijau juga biasanya terdapat dalam sumber hijau lain seperti bayam dan brokoli.

Polifenol sangat penting dalam membantu meningkatkan metabolisme dan mencegah kerosakan sel pada sistem tubuh.

Kebaikan lain teh hijau iaitu memiliki kadar kafein memadai untuk membantu memperbaiki fungsi otak selain kandungan L-theanine turut mencegah masalah saluran darah yang mengalir ke otak daripada tersumbat.

Impak yang sama terhadap kesihatan wajah apabila menggunakan bahan berasaskan teh hijau dalam bahan penjagaan kecantikan. Berikut beberapa amalan yang boleh dilakukan pembaca menggunakan bahan terbabit:

UNCANG teh boleh menjadi terapi mata yang lebam atau sembap. - FOTO Google
UNCANG teh boleh menjadi terapi mata yang lebam atau sembap. - FOTO Google

1. Serbuk teh hijau

Serbuk teh hijau dicampur bersama pemutih telur dan serbuk beras, boleh menjadi pupur muka lebih organik tanpa penggunaan bahan kimia. Kaedah penyediaan mudah iaitu ambil tiga sudu besar teh hijau dicampur bersama sebiji telur yang mana bahagian putih sahaja diambil.

Kemudian letakkan beras sudah dikisar. Gaul sebati dan pastikan tekstur bahan terbabit seperti likat. Sapukan pada muka dan biarkan 15 minit. Kemudian bilas dengan air suam dan basuhan kedua dengan air sejuk.

2. Air teh hijau

Bancuh air teh seperti penyediaan minuman. (Kira-kira 500 mililiter dengan seuncang teh hijau).

Kemudian biarkan air menjadi suam dan bilas muka seperti biasa. Amalkan seminggu sekali untuk hasil yang lebih baik.

3. Sisa uncang teh hijau

Jangan buang uncang teh hijau selepas penyediaan minuman. Sebaiknya sejukkan di dalam peti sejuk kira-kira enam jam.

Kemudian keluarkan uncang berkenaan dan letakkan di kelopak mata. Ini boleh mengurangkan masalah mata lebam atau bengkak di awal pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 January 2022 @ 6:47 AM