TEH hitam minuman yang turut memberi kebaikan dalam kesihatan.
TEH hitam minuman yang turut memberi kebaikan dalam kesihatan.
Nurul Husna Mahmud

Teh adalah minuman cukup klasik apabila ia menjadi pilihan untuk dinikmati setiap pagi dan petang.

Rasa kelat dan beraroma membuatkan minuman ini suatu yang cukup mengasyikkan dan varietinya pelbagai mengikut kesukaan masing-masing.

Salah satunya teh hitam yang dipercayai mempunyai kelebihan jika pengambilan dijadikan rutin setiap hari.

Berdasarkan beberapa kajian dilakukan mendapati kandungan kimia semula jadi dalam teh membantu memberikan kebaikan kepada tubuh kita.

Berikut lima kebaikan diperoleh jika sering menikmati minuman berkenaan setiap hari.

1. Kebaikan pada usus

Dalam satu penemuan mengenai kebaikan teh hitam mendapati kandungan polifenol yang terdapat dalamnya membantu menjaga usus yang sihat dengan menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan menghalang pertumbuhan bakteria 'jahat' seperti salmonella.

Sifat teh hitam anti-mikrob yang membunuh bahan berbahaya dan meningkatkan bakteria usus serta imuniti dengan memperbaiki lapisan saluran pencernaan.

2. Boleh mengurangkanrisiko strok

Strok masih menjadi penyebab utama kematian penduduk dunia dan semestinya langkah pencegahan pilihan terbaik dalam menangani masalah berkenaan.

Satu kajian mengenai kebaikan teh hitam dilakukan terhadap 74,961 sampel selama 10 tahun berdasarkan tabiat minum teh berkenaan sebanyak tiga hingga empat cawan boleh mengurangkan risiko strok sehingga 32 peratus.

Dalam satu kajian berasingan terhadap lebih 190,000 peserta pula, mendapati mereka yang mengambil tiga cawan teh boleh mengurangkan risiko 21 peratus untuk menghidapi strok berbanding mereka minum kurang satu cawan teh sehari.

3. Kurangkan kandungan gula dalam darah

Bagi mereka yang mengamalkan teh hitam kosong kebaikan menyamai pengambilan teh hijau apabila dikatakan mampu menurunkan kandungan gula dalam darah.

Teh hitam dikatakan dapat meningkatkan penggunaan insulin dalam badan dan satu kajian tabung uji mendapati teh hitam meningkatkan aktiviti insulin 15 kali ganda.

MAMPU mengekang pertumbuhan tumor pesakit kanser payudara.
MAMPU mengekang pertumbuhan tumor pesakit kanser payudara.

4. Kurangkan risiko kanser

Polifenol dalam teh hitam membantu mencegah kelangsungan hidup sel barah. Berdasarkan satu kajian mendapati kesan kandungan bahan itu membantu mengatur pertumbuhan sel barah dan mengurangkan pengembangan sel baru.

Satu penemuan lain mendapati polifenol membantu mengatasi penyebaran tumor payudara.

5. Meningkatkan fokus

Kandungan asid amino, L-theanine meningkatkan aktiviti alfa di otak yang mana membantu memberi fokus yang baik. Meskipun teh mengandungi kafein seperti kopi namun kombinasi bahan itu dengan L-theanine memberi konsentrasi yang lebih stabil.

TINGKATKAN fokus.
TINGKATKAN fokus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 6:30 AM