TUDUNG bawal yang boleh dipakai mengikut gaya diinginkan.
TUDUNG bawal yang boleh dipakai mengikut gaya diinginkan.
Hajahfarhana Tarmudi

Kesukaran mendapatkan busana Muslimah terutama tudung atau selendang yang patuh syariah dan sopan mendorong Farah Fakhira Fakhrulruzi menghasilkan sendiri khimar di bawah jenama, Effira Exclusive yang ditubuhkan bersama suami, Effi Aizat Musa .

Baginya, rekaan khimar perlulah menitikberatkan ciri menutup aurat, labuh, longgar dan menggunakan kain tidak jarang. Selepas menyedari pemakaian khimar yang memenuhi ciri berkenaan, tercetus idea untuk menghasil rekaannya sendiri.

“Khimar adalah tudung yang labuh melepasi dada sama ada di bahagian depan atau belakang. Ia juga dikenali sebagai pakaian atas atau penutup kepala dan dada wanita.

“Kebanyakan tudung di pasaran tidak begitu labuh seperti khimar dan belum ramai pereka fesyen yang menawarkan rekaan sedemikian kepada Muslimah.

KHIMAR sesuai untuk individu yang mementingkan gaya sederhana dan sopan.
KHIMAR sesuai untuk individu yang mementingkan gaya sederhana dan sopan.

“Saya banyak melakukan rujukan daripada rekaan khimar yang terdapat di pasaran Indonesia dan Timur Tengah bagi memastikan rekaannya menepati cita rasa diri sendiri serta pengguna,” katanya.

Jelasnya, bagi menarik lebih ramai Muslimah mengenakan tudung labuh berkenaan, rekaannya diberikan suntikan moden namun pada masa sama masih mengekalkan konsep kesederhanaan dan patuh syariah.

Selain itu, bagi memberi kelainan pada rekaan khimar berkenaan, ia dijahit dengan dwiton iaitu warna berbeza di bahagian luar dan dalam agar pemakai boleh mengubah gaya diinginkan dalam masa berbeza.

KHIMAR sesuai untuk individu yang mementingkan gaya sederhana dan sopan.
KHIMAR sesuai untuk individu yang mementingkan gaya sederhana dan sopan.

Pilihan warna yang disediakan adalah terhad iaitu warna pastel atau rona lembut agar penampilan tidak terlalu menonjol. Penggunaan fabrik sifon, sifon krep dan satin memastikan agar tudung tidak jarang, namun pada masa sama selesa dipakai sepanjang hari.

Bagi mempelbagaikan cita rasa fesyen khimar, jenama berkenaan turut memperkenalkan tudung bawal labuh dalam koleksi terkini. Ia menggunakan fabrik aritachi sepenuhnya kerana cirinya yang lembut, ringan, beralun serta selesa digayakan mengikut cuaca di negara ini.

Dua jenis tudung bawal yang diperkenalkan iaitu ‘puzzle’ dan ‘instant’ boleh digayakan pelbagai peringkat usia daripada kanak-kanak seawal usia 10 tahun hingga dewasa kerana ukurannya yang tidak terlalu labuh atau pendek.

EFFI (kiri) dan Farah berganding bahu memperkenalkan tudung patuh syariah.
EFFI (kiri) dan Farah berganding bahu memperkenalkan tudung patuh syariah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 10:41 AM