MENTOR dalam Mentor Millenia berharap protege yakin dalam mengenakan pakaian dipilih di atas pentas untuk satu persembahan yang berkualiti secara menyeluruh.
MENTOR dalam Mentor Millenia berharap protege yakin dalam mengenakan pakaian dipilih di atas pentas untuk satu persembahan yang berkualiti secara menyeluruh.
AKIM percaya pada input mereka yang lebih arif dalam memilih gaya untuk protegenya.
AKIM percaya pada input mereka yang lebih arif dalam memilih gaya untuk protegenya.

Basyar Mustapha sempat ke belakang tabir untuk bertukar pendapat mengenai fesyen bersama tenaga pengajar Mentor Millenia.

Bakat, kerja kuat dan keperibadian sangat penting untuk menempa kejayaan dalam dunia seni persembahan. Begitu juga dengan penampilan dan fesyen yang sememangnya sinonim dengan bidang ini.

Penghibur sering menjadi tumpuan orang ramai dan sudah tentunya penampilan mereka menjadi perhatian. Malah, seorang penghibur hebat mempunyai identiti tersendiri serta menjadi ikutan peminat, lantas membuka banyak peluang lain untuk perkembangan karier mereka.

Dua penyanyi muda terkenal dan mentor rancangan Mentor Millenia, Hazama dan Akim bersetuju bahawa penampilan memainkan peranan penting dalam karier seni, malah dalam kehidupan sekalipun.

Hazama yang dilihat sebagai pelapis berbakat industri suara tanah air berpendapat, fesyen dan penampilan seseorang itu mewakili pemikiran dan imej keseluruhan mereka.

“Fesyen sangat penting dalam bidang seni persembahan, malah dalam dunia anak muda sekalipun. Untuk penghibur seperti penyanyi, fesyen bagaikan satu petunjuk mengenai pendirian dan muzik mereka.

“Sebagai penghibur, setiap perkara perlu dititikberatkan kerana kita sering berada di hadapan umum dan mestilah kita mahu dilihat berketrampilan sesuai dengan acara dihadiri.

“Apa yang penting, bagi saya dalam berfesyen adalah keselesaan dan keserasian kita menyarung pakaian atau fesyen itu.

“Jika selesa, kita rasa senang memakainya dan keyakinan perlu ada kerana memberi aura yang membuatkan kita nampak serba kena dan tidak kekok,” katanya.

Untuk penampilan protegenya, Fareez (Muhammad Fareez Hazwan),18, Mya, (Nurul Amira Mat Nasir), 20, dan Ebal (Iqbal Jaafar),20, Hazama mahu mereka belajar mengenali identiti sendiri secara berperingkat dan tidak mahu mereka nampak terlalu mencuba.

“Bagi saya, fesyen dipakai mestilah mengikut peredaran masa, namun masih boleh menyuntik elemen dan kesukaan sendiri supaya imej nampak lebih tersendiri.

“Untuk peserta wanita, saya rasakan tidak perlu imej seksi pun untuk menonjol kerana ramai penyanyi wanita yang berjaya tanpa perlu berpakaian menjolok mata tapi pandai bergaya dan kelihatan sentiasa segar,” kata Hazama.

Akim yang merupakan mentor kepada Meen (Yusmeerunafishah Yusof),20, Han (Muhammad Afeeq Farhan Zulkifli), 20, dan Ebba (Nur Saheeba Raja Iftikhar Ahmed Khan), 20, juga berpendapat, gaya dan fesyen perlu dititikberatkan oleh penghibur kerana melambangkan personaliti mereka.

“Mereka masih muda dan berpeluang mencari identiti mereka sendiri. Apa yang penting, mereka yakin dalam penampilan mereka dan tidak menjadi mangsa fesyen.

“Keselesaan penting untuk kita mudah bergerak dan gaya kita perlulah ada identiti tersendiri.

“Saya sendiri sangat sukakan pakaian denim dan ia menjadi identiti dan kegemaran saya untuk membuat persembahan. Jadi bagi saya, setiap orang perlu tahu apakah identiti mereka.

“Tahu mengenakan pakaian mengikut kesesuaian menjadi pelengkap identiti sebagai seorang penghibur.

“Apabila orang lain melihat kita berketrampilan, ia secara tidak langsung memberi aura positif dan penerimaan sebelum kita mula menghiburkan audien,” katanya

Menyentuh soal penampilan protege untuk persembahan, Akim percaya pada perkhidmatan penata gaya yang baginya lebih arif dalam menata rias protegenya.

“Saya memberi kepercayaan kepada penata gaya untuk memastikan peserta nampak berketerampilan dan sesuai dengan lagu yang dibawakan,” katanya.

Tip dapada Hazama dan Akim

- Perlu ikut peredaran masa.

- Suntik elemen kegemaran sendiri dalam berfesyen.

- Keselesaan sangat penting.

- Perlu yakin dalam membawa gaya tersendiri.

- Cari stail yang melambangkan diri dan muzik.

- Minta pendapat pihak yang tahu mengenai fesyen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2016 @ 10:04 AM