ELAKKAN kolam renang yang sesak.
ELAKKAN kolam renang yang sesak.
Muhamaad Razis Ismail


SEJAK dua tahun lalu, aktiviti berenang dianggap satu kemewahan yang sukar untuk dinikmati kerana ramai yang tidak mempunyai kolam renang di rumah.

Akibat pandemik, pusat sukan dan rekreasi terpaksa ditutup untuk memerangi penularan wabak Covid-19.

Memandangkan Malaysia sudah mencapai lebih daripada 90 peratus kadar vaksinasi dalam kalangan orang dewasa dan peralihan kita ke fasa endemik, kerajaan mengumumkan kelonggaran sekatan yang membolehkan kita menjalankan dan menyertai aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan luar dan separuh tutup seperti berenang.

Dengan kelonggaran sekatan di seluruh negara, ramai yang tidak sabar untuk berenang dan berendam dalam kolam renang sambil menyegarkan diri di bawah sinaran matahari bersama rakan dan keluarga.

Sungguhpun begitu, pandemik ini menyedarkan kita mengenai kepentingan penjagaan kebersihan terutama di kawasan awam bagi mengurangkan risiko jangkitan virus.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini tiada bukti yang menunjukkan bahawa Covid-19 boleh berjangkit melalui air ketika berenang.

Walaupun virus ini tidak terbukti sebagai penyakit bawaan air dan tidak mungkin merebak dalam kalangan manusia melalui aktiviti rekreasi air, garis panduan keselamatan dan sanitasi kolam yang betul tetap menjadi keutamaan.

Presiden Persatuan Perenang dan Jurulatih Renang Malaysia (Maswim), Richmond Ho berkata, untuk mengekalkan persekitaran air yang steril untuk kolam renang (terutama kolam awam), pembersihan menyeluruh, penapisan dan sanitasi adalah keperluan terpenting untuk melindungi diri kita daripada kuman dan bakteria yang berbahaya.

"Pembersihan kolam menjadi semakin penting untuk mengekalkan kebersihan air di samping melindungi badan dan kulit perenang, terutama kanak-kanak dan bayi daripada bahan kimia yang terkandung dalam air yang mampu menjejaskan kesihatan.

"Kolam renang awam memerlukan sistem sanitasi yang berkualiti untuk persekitaran air yang selamat dan sihat, untuk menyesuaikan tahap klorin mengikut standard yang selamat dan bersih untuk perenang," katanya.

Menurutnya, walaupun air kolam itu sendiri agak selamat dengan pembasmian kuman yang betul, perlu diingatkan bahawa terdapat risiko untuk jangkitan virus melalui titisan salur pernafasan apabila berada di tempat yang sesak akibat hubungan kontak rapat.

"Oleh itu, pengusaha kolam renang perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sama ada di dalam dan di luar kolam renang bagi memastikan keselamatan perenang dan kakitangan operasi," katanya.

Jelasnya, mereka yang merancang untuk berenang perlu juga memikul tanggungjawab masing-masing untuk memastikan keselamatan mereka dan anak-anak mereka yang tidak lagi divaksin.

Amalkan beberapa langkah berjaga-jaga untuk memastikan keselamatan diri dan orang ramai di kolam renang:

1. Bawa bersama pensanitasi tangan dan tisu sanitasi

Apabila berada di ruang awam, agak sukar untuk mengelak daripada menyentuh permukaan yang terdedah. Oleh itu, pastikan anda membasuh tangan selepas menyentuh apa-apa permukaan atau objek di kolam renang seperti pemegang tangga. Selain itu, anda juga dinasihatkan untuk lap meja dan kerusi menggunakan tisu sanitasi. Tidak ada salahnya untuk lebih berhati-hati demi kesihatan diri.

2. Bawa set peralatan renang anda sendiri

Apabila anda berseronok dalam kolam, sukar untuk mengelak daripada menyentuh hidung, mata dan mulut dengan tangan anda. Oleh itu, adalah disyorkan untuk membawa peralatan renang sendiri seperti gogal, papan tendang, pelampung dan sebagainya. Elakkan daripada meminjam peralatan ini daripada orang lain. Memandangkan virus Covid-19 mampu menular melalui titisan salur pernafasan dan permukaan yang dikongsi, ia tidak selamat untuk berkongsi peralatan dengan mereka yang bukan daripada keluarga dan rumah yang sama.

3. Penjarakan sosial dalam kolam

Penjarakan sosial perlu dikekalkan di dalam dan di luar kolam. Sambil berseronok dalam kolam, kita perlu memberi perhatian kepada penjarakan (sekurang-kurangnya enam kaki) antara orang di sekeliling kita pada setiap masa. Anda juga boleh menghubungi pasukan pengurusan kolam terlebih dahulu untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SOP dan had kapasiti mereka. Untuk menikmati keseronokan bersama rakan dan keluarga tanpa rasa bimbang mengenai kontak rapat dengan orang yang tidak dikenali, anda dinasihati untuk menempah slot untuk ke kolam persendirian demi persekitaran yang lebih selamat.

4. Pakai pelitup muka apabila di luar kolam

Pemakaian pelitup muka di tempat awam dan kawasan yang sesak dapat mengurangkan risiko jangkitan sambil mengelak penularan virus. Walaupun anda tidak boleh memakai pelitup muka dalam kolam, pastikan anda memakainya setiap kali anda berada di luar kolam untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:45 AM