Foto hiasan
Foto hiasan
Suraya Roslan dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Negara dijangka memasuki fasa endemik Covid-19 pada penghujung Oktober ini selepas 80 peratus penduduk menerima dos lengkap vaksin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya menjangkakan tempoh dua bulan akan datang rakyat negara ini perlu hidup dengan virus berkenaan.

"Jika dilihat di Labuan dan Sarawak mereka sudah berada di fasa endemik, jadi saya boleh kata peralihan pandemik kepada endamik di negara ini pada penghujung Oktober ini.

"Kita perlu mula melihat untuk hidup dengan virus ini," katanya ketika sidang media perkembangan Covid-19 negara ini di Putrajaya, hari ini.

Khairy berkata, walaupun berjaya mengawal pandemik namun semua perlu bersedia untuk menerima kenyataan bahawa akan tiba masanya Covid-19 menjadi endemik.

"Oleh itu, kita mesti mengambil langkah-langkah untuk hidup bersama virus ini.

"Dengan adanya vaksinasi, usaha untuk melakukan perubahan kepada tingkah laku (behavioural change) dan usaha mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang berterusan, maka kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus Covid-19.

"Langkah ini akan membolehkan pelbagai sektor di dalam negara dibuka dan kehidupan kita dapat kembali berfungsi seperti sedia kala dalam norma baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 7:01 PM