ANTARA rekaan beg yang dihasilkan daripada daun nanas.
ANTARA rekaan beg yang dihasilkan daripada daun nanas.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BUAH kegemaran ramai, nanas sememangnya kaya pelbagai khasiat dan digunakan secara meluas masakan.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa serat daripada daunnya banyak kegunaan dan boleh dikitar semula serta diproses menjadi benang fabrik.

Bunyinya agak mustahil namun itu inovasi oleh gadis kreatif, Asna Nabihah Aziz, 29, yang menghasilkan pelbagai produk termasuk kain meter daripada benang serat daun nanas.

Anak bongsu daripada empat beradik dari Johor Bahru itu memilih daun nanas untuk dikomersialkan memandangkan negeri Harimau Selatan itu adalah pengeluar buah berkenaan di negara ini.

Asna Nabihah berkata, dia mendapatkan daun nanas dari beberapa kawasan di negeri itu terutama Pontian dan Ulu Tiram sebelum diproses di bengkelnya di Kampung Sinaran Baru, Johor Bahru.

Katanya, daun nanas diproses secara manual untuk membuang klorofil dan hanya seratnya yang digunakan.

"Keseluruhan tempoh memproses daun nanas menjadi serat tidak lama iaitu sekitar satu hari sahaja.

SERAT daun nanas yang dikomersialkan.
SERAT daun nanas yang dikomersialkan.

MENGUMPULKAN daun nanas sebelum diproses.
MENGUMPULKAN daun nanas sebelum diproses.

"Satu kilogram serat yang diperoleh boleh menghasilkan 10 meter fabrik dan apa yang istimewanya, ia lebih tahan lama dan tidak mudah rosak berbanding material pembuatan biasa," katanya.

Pengarah dan juga Pengasas Nature Renascent yang memasarkan produk di bawah label Palmy itu berkata, syarikatnya sudah hampir 10 tahun berkecimpung dalam industri kraf tangan menghasilkan produk daripada serat daun nanas.

Namun, hanya tiga tahun lalu, graduan Sarjana Muda Kejuteraan Pengurusan Perniagaan itu memperkenalkan jenama Palmy bagi memasarkan produknya ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

Kata Asna Nabihah, sehingga kini lebih 10 produk dikeluarkan iaitu fabrik meter, pakaian, aksesori seperti pelbagai jenis beg, bingkai, buku nota, penanda buku, 'key chain', poskad dan pelekat magnet.

Terbaharu, ada pelanggan yang turut menempah kain meter serat nanas untuk dijadikan sebagai pakaian pengantin.

"Alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan jenama ini juga mempunyai pelanggan setianya sendiri.

"Insya-Allah jika tiada aral, kami akan melebarkan pasaran ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah tidak lama lagi," katanya.

Menurut Asna Nabihah, produk yang dihasilkan daripada bahan semula jadi dan kitar semula mudah diterima di pasaran luar khususnya AS dan Eropah berbanding di negara ini.

ASNA Nabihah. FOTO Fathil Asri & ihsan Asna Nabihah Aziz
ASNA Nabihah. FOTO Fathil Asri & ihsan Asna Nabihah Aziz

"Sesuai dengan harganya, fabrik dan pakaian yang dihasilkan daripada benang serat nanas sememangnya berkualiti.

"Produk lain seperti beg, buku nota, 'key chain' juga dijual pada harga berpatutan," katanya yang turut menyertai pameran Hari Kraf Kebangsaan di Kompleks Kraftangan, Mac lalu.

Melihat daripada sambutan yang diterima, Asna turut membuka sebuah galeri di Warisan Bamboo Village bagi membolehkan orang ramai mengenali lebih dekat produk keluarannya.

Kata Asna Nabihah jika ada rezeki, dia juga bercadang untuk membuka galeri kedua di ibu negara tahun depan selain turut merancang membuka cawangan pertamanya di luar negara.

Katanya, berdasarkan pengalaman, 'mat salleh' sebenarnya lebih menghargai produk unik dan menjaga alam sekitar seperti keluaran syarikatnya.

"Bukan menidakkan, tetapi masyarakat kita masih mempunyai persepsi tersendiri terhadap jenama tempatan.

"Biarpun kualiti setanding jenama luar, tetapi disebabkan buatan Malaysia, ia sering dipandang sepi.

"Namun, jika jenama dan produk ini diterima baik di luar, lebih mudah untuk memikat hati pengguna tempatan, "katanya.

Berkat usaha yang tidak pernah jemu, Asna Nabihah kini mampu berbangga kerana syarikat dan jenama itu memenangi pelbagai pengiktirafan antaranya Anugerah Emas Industri Petani pada tahun lalu, Anugerah Perak Hari Inovasi (2019), Anugerah Kecemerlangan Pop Up Asia (2019) dan banyak lagi.

ASNA Nabihah menunjukkan cara memproses daun nanas untuk menjadi serat benang.
ASNA Nabihah menunjukkan cara memproses daun nanas untuk menjadi serat benang.

BEG tangan menarik.
BEG tangan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2020 @ 7:00 AM