PERUNDING Kesihatan dan Kecergasan Amlife Edward Yong (kanan) menunjukkan demonstrasi kepada wakil media
PERUNDING Kesihatan dan Kecergasan Amlife Edward Yong (kanan) menunjukkan demonstrasi kepada wakil media
Siti Zarinah Sahib

Kajian ke atas 7,500 responden mendapati wanita mempunyai risiko lebih tinggi berhadapan masalah sukar tidur atau insomnia berbanding lelaki. Penyelidikan terbitan Akademi Perubatan Tidur Amerika pada 2015 menunjukkan ramai wanita menderita insomnia dengan kadar nisbah satu daripada empat wanita mengalami masalah ini.

Berdasarkan kajian ini mereka dikaitkan dengan kesukaran tidur disebabkan perubahan paras hormon yang menyebabkan mereka keletihan dan sukar melelapkan mata. Keadaan ini ditambah bagi wanita yang haid terutama pada tiga hari terawal yang membuatkan masalah tidur menjadi lebih runcing.

Bagi wanita hamil pula terutama pada trimester ketiga, sukar tidur adalah perkara biasa. Ini disebabkan pergerakan bayi yang semakin membesar, sakit urat dan kejang otot membuatkan mereka tidak dapat baring dengan selesa sekali gus membuatkan waktu tidur terganggu. Sukar tidur juga turut dihadapi wanita berusia 50 tahun ke atas atau hampir menopaus yang berpunca daripada ketidakselesaan badan disebabkan rasa panas dan berpeluh sepanjang malam.

Pendapat ini dipersetujui pakar psikiatri dan pakar tidur dari Itali Profesor Dr Laura Palagini, yang mengatakan setiap orang menghabiskan sehingga satu pertiga hayat untuk tidur. Tidur adalah keperluan asas manusia dan penting untuk kesihatan secara keseluruhan.

Namun insomnia kini menjadi satu gangguan tidur umum dalam masyarakat moden, disebabkan gaya hidup dan juga tekanan. Penularan produk elektronik juga menyebabkan waktu tidur menjadi kurang yang memburukkan lagi keadaan.

“Berdasarkan kajian hampir 100 gangguan tidur ditemui dan insomnia adalah gangguan tidur paling umum dalam masyarakat moden. Kebanyakan gangguan tidur boleh diuruskan dengan bantuan pakar tidur. Bagaimanapun, hanya satu pertiga daripada penghidapnya mendapatkan bantuan dan perkhidmatan profesional,” katanya.

Dengan pengalaman lebih dua dekad di bidang penyelidikan biologi dan psikologi klinikal serta kepakaran dalam gangguan tidur, Dr Laura menjelaskan ritma harian waktu tidur bukan sahaja dikawal oleh faktor dalam badan tetapi juga luar badan, termasuk alam sekitar dan gaya hidup.

Selain faktor biologi, wanita lebih terdedah kepada gangguan perasaan seperti cemas dan murung, menyebabkan mereka lebih terdedah kepada masalah tidur. Berdasarkan kajian sains, bahan kimia yang terdapat di dalam otak turut terganggu disebabkan perubahan mood, seterusnya mengawal waktu tidur. Tidur nyenyak adalah satu daripada tiga elemen penting yang menentukan tahap kesihatan individu selain diet seimbang dan senaman secara tetap.

DR Laura
DR Laura

Individu yang tidak mendapat tidur secukupnya akan berhadapan masalah seperti obesiti dan diabetes, kelemahan sistem imun, gangguan psikologi seperti kemurungan, keresahan dan psikosis. Akhirnya, ia menjejaskan kesejahteraan dan kualiti hidup, produktiviti sosial dan kerja.

“Perubahan perasaan ini juga turut dikaitkan dengan peranan wanita menjaga anak kecil, menjadi pengasuh untuk ibu bapa mereka. Ada pula melakukan tugas berganda, menjaga anak-anak dan ibu bapa pada masa yang sama. Di samping itu, wanita yang bekerja lebih masa turut mengganggu masa tidur mereka,” kata Laura yang berucap dalam pameran penjagaan tidur bersempena Hari Tidur Sedunia 2018 anjuran Am Life International Sdn Bhd.

Pakar profesional perubatan barat Dr Koyabu Miki menjelaskan, gangguan tidur memberi kesan buruk kepada sistem imunisasi dan kesihatan wanita termasuk kesihatan mental, penyakit kardiovaskular dan juga Alzheimer. Kebanyakan penyakit gaya hidup mengakibatkan pesakit tidak dapat bergerak atau terlantar di katil. Namun terdapat cara merawatnya iaitu dengan berehat dan tidur menggunakan terapi keupayaan elektrik yang diperkenalkan kepada media pada hari itu.

Pameran bergerak

Presiden dan Pengasas Amlife Lew Mun Yee berkata, hasil kerjasama syarikatnya dengan Persatuan Tidur Sedunia dan beberapa organisasi berprestij dalam industri teknologi tidur memberikan manfaat kepada individu yang menghadapi masalah ini.

Pada tahun ini, Amlife melancarkan pameran bergerak dengan menganjurkan ceramah kesihatan, bengkel, petua dan penyelesaian di negara utama Asia Pasifik khususnya Taiwan, Singapura, Indonesia dan Malaysia

“Orang ramai mula memberi perhatian serius terhadap kualiti tidur kerana ia berkait secara langsung dengan kesihatan. Kesan gangguan tidur termasuk sakit kepala, kelesuan, sukar untuk berfikir dan memberi tumpuan, sakit bahu dan leher. Keadaan ini sudah tentu mengganggu kualiti kerja seseorang,” katanya.

Pada majlis pelancaran Amlife memperkenalkan kelengkapan tempat tidur secara semula jadi (terapi semula jadi tanpa ubat, tanpa suntikan, tidak invasif) untuk merangsang proses penyembuhan semula jadi badan. Produk penjagaan kesihatan tidur Amlife diiktiraf sebagai kelengkapan tempat tidur kesihatan perubatan yang pertama sepertinya di negara ini, yang dapat memberikan terapi pemulihan untuk pelanggan sama ada ketika tidur atau berehat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 2:31 PM