BAU durian bukan disukai semua orang.
BAU durian bukan disukai semua orang.
Nurul Husna Mahmud


DURIAN sememangnya menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia kerana rasa lemak manis selain aroma 'tengik' semerbak.

Tatkala musim durian memuncak, peminat pastinya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan raja buah itu biarpun hanya dibawa pulang untuk dinikmati di rumah.

Namun ia mengundang sedikit cabaran apabila peminat durian berdepan pasangan atau anak-anak yang tidak menyukai baunya. Ada antara mereka 'alah' hinggakan tercium baunya sahaja mendorong rasa pening dan mual.

Baunya yang kuat itu boleh meninggalkan 'jejak' dalam kereta, ruang kediaman termasuk peti ais meskipun sudah disimpan dalam bekas makanan bertutup.

Penangan bau ini boleh mengundang rasa kurang selesa terutama isi rumah yang tidak sekepala dalam menikmati buah berkenaan.

Kali ini WM ingin dikongsikan tip yang boleh dicuba oleh peminat buah eksotik itu bagi meredakan bau 'menyengat' di ruang tertentu.

1. Gunakan kopi

Pendekatan ini banyak dilakukan oleh kedai yang menjual minyak wangi untuk memulihkan kembali deria bau pengunjungnya.

Berdasarkan konsep yang sama, peminat durian boleh bancuh secawan dan biarkan di atas meja. Boleh juga gunakan biji atau serbuk kopi yang dimasukkan di dalam bekas terbuka untuk diletakkan di ruang sama.

Jika dibiarkan seketika, aroma kopi harum dikatakan dapat menutupi bau durian yang 'menyengat' dan hasil lebih baik apabila ia lebih kerap dilakukan.

2. Petua Tangkai Durian

Tangkai durian menjadi penanda untuk tahu durian berkenaan baru atau lama berdasarkan getah serta warna di atas pangkal tangkai yang berwarna putih.

Dalam tip menghilangkan bau durian terutama dalam kereta, petua orang tua dahulu turut mengatakan tangkai durian perlu dipatahkan atau belah di bahagian tengah.

Lebih baik jika serpihan tangkai diselitkan pada jejaring pendingin hawa supaya berfungsi sebagai penyegar bagi meneutralkan bau durian terbabit. Petua ini diguna pakai pada mereka yang membawa pulang durian tanpa dikopek kulitnya.

3. Menggunakan roti

Untuk kiriman dan menghilangkan bau durian dalam ruang adalah berbeza. Jika kiriman durian, anda perlu balut pek dengan roti di sekelilingnya bagi menutup bau.

Namun jika ia membabitkan ruang dalam dapur atau kereta biarkan beberapa keping roti di kawasan berkenaan untuk beberapa hari sehingga bau hilang.

Tidak dinafikan 'helah' ini berkesan apabila roti dikatakan mampu menyerap bau seperti mana span menyerap air.

4. Guna air basuhan pangsa durian

Pangsa durian dikatakan menghilangkan rasa panas badan apabila minum air yang diletakkan di dalamnya. Begitu juga bagi menghilangkan bau durian.

Bagi kebanyakan petua dikongsi jurujual durian di tepi jalan, biasanya mereka akan sediakan pangsa dan air cucian tangan untuk pelanggan yang menikmati raja buah itu di gerai jualan.

Tetapi dalam tempoh pandemik ini tiada lagi dibenarkan menikmati buah-buahan itu di tepi jalan, sebaiknya lakukan di rumah. Lebih baik lagi jika sediakan air lemon untuk bilasan kedua bagi memastikan tiada bau yang melekat pada tangan.

5. Bilas mulut dengan teh hijau atau air kelapa

Jangan lupa bau nafas kerana makan boleh mengundang rasa kurang senang dalam ahli keluarga yang tidak menyukainya.

Sebaiknya minum air kelapa atau teh hijau yang dikatakan mampu meneutralkan bau durian dengan aroma yang lembut.

Kebaikan lain, kelapa mahupun teh boleh menjadi penawar iaitu menyejukkan rasa panas badan selepas menikmati buah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 6:40 AM