HERBA seperti kulit kayu manis, bunga lawang atau cengkih boleh bantu tangani bau kurang menyenangkan.  - FOTO Google
HERBA seperti kulit kayu manis, bunga lawang atau cengkih boleh bantu tangani bau kurang menyenangkan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


MUSIM tengkujuh pasti mengundang rasa runsing dalam kalangan suri rumah kerana memikirkan pakaian menimbun dalam rumah.

Tiada pilihan, pakaian itu perlu dibasuh meskipun keadaan persekitaran tidak mengizinkan.

Ia merujuk kepada pancaran cahaya matahari yang tidak mencukupi, selain suhu rendah dalam kelembapan tinggi ketika musim hujan mengganggu proses pengeringan kain.

Kesannya, baju yang dicuci dan lembap akan menghasilkan bau kurang menyenangkan. Keadaan itu juga mendorong rasa kurang selesa apabila pemakai terpaksa mengenakan baju berbau hapak.

Meskipun tiada yang perasan akan bau hapak berkenaan, tetapi bagi yang mengenakan baju terbabit pasti tidak selesa kerana bau itu lebih teruk berbanding sebelum dicuci.

Justeru, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah baju berbau hapak. Penulis kongsikan empat tip yang boleh dilakukan menggunakan bahan yang mudah didapati di rumah.

Kaedah sama juga boleh digunakan bagi menangani masalah bau baju hapak yang tersimpan dalam almari terlalu lama.

SODA bikarbonat juga solusi mudah untuk atasi baju berbau. - FOTO Google
SODA bikarbonat juga solusi mudah untuk atasi baju berbau. - FOTO Google

1. Kopi

Kopi antara bahan yang mudah boleh didapati di ruang dapur anda. Selain menjadi minuman enak ketika musim hujan, kopi memiliki kelebihan dalam menyerap bau kurang menyenangkan. Kopi juga memiliki aroma yang istimewa memberi nilai tambah kepada bahan itu sebagai penyingkir bau hapak.

Kaedahnya ialah sediakan biji atau serbuk kopi. Isi dalam balang atau bekas bertutup. Tebuk di permukaan tutup bekas dan simpan di kawasan simpanan kain atau dalam almari.

2. Sabun buku

Sabun buku adalah alternatif mudah bagi menggantikan pewangi komersial dan boleh menjadi alternatif murah. Apatah lagi, sabun yang terdedah pada suhu bilik boleh mengeluarkan bau yang kuat.

Kaedah untuk menyelesaikan bau hapak baju ialah ambil sebuku sabun dan simpan dalam kain yang nipis. Letakkan sabun yang dibalut dengan kain nipis terbabit dalam almari atau di tempat simpanan kain.

3. Uncang herba

Isi uncang dalam herba yang memiliki aroma menarik seperti kulit kayu manis, bunga lawang atau bunga cengkih. Pilihan lain juga antaranya bunga atau tumbuhan herba yang mempunyai harum seperti serai dan daun pandan.

Kemudian gantung dalam almari atau tempat kain bagi menghindari bau hapak berterusan kepada pakaian.

4. Soda bikarbonat

Soda bikarbonat bersifat alkali sederhana yang boleh seimbangkan bau kuat termasuk bau hapak seperti susu masam atau ikan yang busuk.

Kaedahnya ialah boleh letakkan dalam bekas yang bertutup. Tebuk di bahagian penutup. Langkah lain yang berkesan juga ialah rendam soda dalam kain yang dibasuh dan jemur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:43 AM