SUAMI turut bantu Anisa dalam melatih anak ke tandas.
SUAMI turut bantu Anisa dalam melatih anak ke tandas.
Nurul Husna Mahmud


LATIHAN ke tandas antara didikan penting dalam perkembangan awal kanak-kanak dan kebiasaannya ibu bapa menghadapi kesukaran untuk memperkenalkan rutin itu.

Maklumlah kanak-kanak yang kebiasaannya mengenakan lampin pakai buang terpaksa mulakan tabiat baru dengan membuang air besar dan kecil sendiri.

Sudah semestinya mereka tidak selesa dan kesannya mudah meragam ketika dalam proses latihan itu selain ibu bapa terpaksa berdepan kesukaran menguruskan anak tanpa bantuan lampin pakai buang.

Mengakui satu proses yang panjang dan mencabar, ibu kepada tiga cahaya mata, Aida Hatini Nan, 36, berkata dia dan suami, Suhail Abd Rahman, 37, perlu ada kesepakatan dalam memberi penekanan kepada latihan ke tandas.

"Saya dan suami dalam hal mendidik anak-anak terutama latihan tandas cukup menitik beratkan mengenai adab dan etika ke tandas bersesuaian dengan budaya serta agama kita.

"Sejak usia tiga tahun anak saya diberi pendedahan awal supaya tidak lagi mengenakan lampin pakai buang dan diajar ke tandas dengan tertib yang betul.

"Pendek kata arahan baik datang dari suami atau saya, mestilah sama supaya anak jelas dengan peraturan serta tertib ketika mereka dalam latihan ke tandas," katanya.

Kepentingan memberi pendedahan awal latihan ke tandas pada anak bukan sahaja anak itu sendiri lebih cepat berdikari malah memudahkan urusan pengasuh dan pusat jagaan yang menjaga anaknya.

"Saya rasa penting ibu bapa sendiri beri latihan ke tandas seawal mungkin kerana itu membantu tugas pengasuh atau di pusat asuhan.

GUNAKAN Kaedah memujuk untuk memastikan anak selesa dengan rutin baharu.
GUNAKAN Kaedah memujuk untuk memastikan anak selesa dengan rutin baharu.

"Saya mempunyai anak lelaki dan perempuan, mereka perlu sedar antara perbezaan jantina serta tahu batas pergaulan.

"Saya ajar mereka supaya masuk ke tandas atau bilik air dahulu baru buka pakaian supaya orang tidak nampak alat sulit mereka.

"Tutup pintu ketika masuk ke tandas selain tidak berdiri ketika kencing antara perkara saya dan suami kerap ingatkan.

"Apabila di sekolah guru tadika pula ajar mengenai bacaan doa, kami ibu bapa teruskan amalan itu di rumah menyebabkan anak-anak tahu apa perlu mereka lakukan sehinggalah ke dewasa," katanya.

Kata Aida, proses itu dilakukan secara konsisten dalam tempoh sebulan termasuk sering bertanya keinginan untuk ke tandas kepada anaknya.

AIDA dan suami tetapkan peraturan jelas dalam melatih anak ke tandas.
AIDA dan suami tetapkan peraturan jelas dalam melatih anak ke tandas.

"Awal latihan dulu, selalu jugalah kena jemur tilam selain perlu salin tidak kurang daripada lima seluar sehari kerana anak tidak pandai kawal lagi.

"Tetapi saya tidak putus asa, begitu juga suami. Alhamdulillah didikan itu lekat pada anak-anak dan segala saya asuh dengan suami diamalkan anak sehingga menjadi contoh kepada sepupu atau rakan sebaya," katanya.

Sementara itu bagi peniaga dalam talian, Anisa Mohd Som, 36, berkata, sesi melatih anak ke tandas ini cukup beremosi baik ibu bapa mahu pun anak-anak.

"Pengalaman saya ketika melatih dua anak, Ibrahim Rizqi, 6 dan Umar Rizqi, 3, agak beremosi juga sebab anak mudah meragam kerana mereka tidak suka menunggu ketika kencing atau membuang air besar.

"Latihan ke tandas ini waktunya juga tidak konsisten sebab bergantung kepada keinginan anak mahu kencing atau membuang air besar.

"Memang kena ada kesabaran tinggi selain perlu rajin menerangkan kepada anak-anak apa itu latihan ke tandas," katanya.

Bagi anak bongsunya, Tiara Aisya berusia satu tahun enam bulan, dia sudah mulakan latihan itu awal atas faktor mahu anak lebih berdikari.

"Anak perempuan yang bongsu pula saya sedang melatih dia ke tandas ketika ini kerana mahu dia lebih berdikari," katanya.

ANAK -anak perlu diberi arahan jelas dan konsisten
ANAK -anak perlu diberi arahan jelas dan konsisten

Sementara itu Perunding Klinikal Psikologi Pusat Psikologi dan Rehabilitasi Atfal Jannah, Azlina Mohamad Ghaffar berkata, latihan ke tandas cukup penting dalam mengasuh anak-anak mengenai menjaga kehormatan diri.

Latihan itu sudah boleh diberi seawal usia mula berjalan iaitu satu tahun ke atas dengan kaedah yang betul terutama dalam penggunaan istilah memperkenalkan alat sulit kepada anak-anak.

"Saya tekankan kepada ibu bapa latihan ke tandas boleh didedahkan seawal mungkin kepada kanak-kanak iaitu ketika mereka sudah mula berjalan dan bagi kanak-kanak istimewa juga perlu dilatih sebelum usia tujuh tahun.

"Persiapan ini penting kerana itu pendedahan awal terhadap seksual dan sosial yang mana pada teori perkembangan anak mula mengenal perbezaan jantina mereka ketika usia tiga tahun.

"Ketika latihan ke tandaslah ibu bapa semai nilai penting mengenai menjaga kehormatan diri yang mana menerangkan mengenai keperluan menjaga kebersihan selain memelihara daripada disentuh, dilihat atau dipertontonkan orang lain," katanya.

Tambahnya lagi, kesilapan ibu bapa pula kerap dilihat ketika melatih anak dalam rutin ke tandas, ialah penggunaan bahasa digunakan menerangkan organ sulit mengelirukan.

"Bahasa digunakan ibu bapa menerangkan alat sulit juga tidak tepat sebagai contoh 'bebird' atau 'karipap' menyebabkan anak keliru serta terdedah kepada individu berisiko.

KANAK-kanak istimewa tidak terkecuali daripada latihan ke tandas.
KANAK-kanak istimewa tidak terkecuali daripada latihan ke tandas.

"Perlu ditekankan perbuatan membenarkan orang lain memegang atau bermain alat sulit juga suatu yang kesalahan melainkan oleh ibu bapa, pengasuh dan doktor bagi tujuan membersih dan merawat sahaja," katanya.

Seperti kanak-kanak keperluan khas, latihan ke tandas juga penting dan jika ibu bapa tidak mempunyai kapasiti perlu merujuk kepada pakar terapi.

"Bagi anak-anak normal, latihan ke tandas tidaklah serumit anak-anak istimewa. Pengalaman saya mengendali kes kanak-kanak istimewa mereka perlu dilatih selama setahun untuk berdikari ke tandas.

"Ibu bapa perlu sedar seperti anak normal perkembangan seksual anak istimewa juga tetap berlangsung dan bagi melindungi mereka terutama daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab, latihan ke tandas adalah proses sangat penting.

"Ini membantu kawalan diri daripada melakukan perkara tidak sepatutnya dan memudahkan mereka menguruskan diri sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 7:00 AM