ELAK menilai ketika mereka membuat kesilapan.
ELAK menilai ketika mereka membuat kesilapan.
Nurul Husna Mahmud


APABILA usia anak semakin meningkat, keyakinan diri antara skil penting dalam menjamin kelangsungan hidup mereka untuk bersosial dengan masyarakat.

Keyakinan diri dibentuk menerusi rasa percaya terhadap kemampuan sendiri dalam apa juga keadaan terutama ketika menghadapi konflik atau situasi yang tidak menyenangkan.

Skil ini boleh disemai bermula dengan pengalaman berdepan kegagalan bagi mendorong mereka menjadi lebih kental mengharungi cabaran

Berikut antara kaedah yang boleh dilakukan ibu bapa dalam membantu anak-anak menyedari potensi dan mengukuhkan kemahiran keyakinan diri:

1. Ibu bapa perlu tonjolkan keyakinan diri untuk diteladani anak-anak

Meskipun tidak berasa yakin dengan setiap keputusan diambil dalam urusan seharian, namun di depan anak-anak perlu bersikap positif.

Jika berdepan situasi cemas, ibu bapa perlu mainkan peranan yang baik seperti berfikir secara rasional dan tenang supaya anak-anak boleh mencontohi sikap berkenaan.

Rasa takut itu perlu tetapi jangan keterlaluan terutama apabila ada anak -anak yang memerhati ketika itu. Fokuskan minda kepada penyelesaian selain amalan positif apabila berdepan dengan krisis.

JADIKAN diri sebagai contoh buat anak-anak.
JADIKAN diri sebagai contoh buat anak-anak.

2. Jangan melatah dengan kesilapan mudah atau kecil

yang dilakukan anak anda

Bantu kanak-kanak melihat bahawa kesilapan boleh berlaku kepada semua orang dan nilai penting ialah mereka belajar daripada pengalaman.

Orang yang mempunyai keyakinan diri tidak akan melihat kegagalan itu menghalang kejayaan mereka. Sebaliknya itu satu permulaan kepada kejayaan diri.

IBU bapa perlu menjadi pendengar yang baik.
IBU bapa perlu menjadi pendengar yang baik.

3. Beri galakan kepada anak-anak mencuba sesuatu yang baharu

Tidak hanya tertumpu kepada satu bidang yang anak-anak cemerlang semata-mata, sebaliknya pelbagaikan aktiviti dan skil baharu.

Kaedah ini bukan sahaja melatih anak berdepan dengan konflik malah dalam masa sama membuatkan mereka mengetahui potensi diri yang pelbagai. Secara tidak langsung anak-anak akan berasa yakin.

4. Beri pujian terhadap usaha anak

Meskipun anak-anak tidak berjaya menyiapkan tugasan dengan sempurna. Peranan ibu bapa adalah membimbing sehingga anak itu berjaya melakukannya dengan lebih baik.

Usaha mereka itu perlu diiktiraf dan ibu bapa yang memberi reaksi positif terhadap perlakuan itu membuatkan mereka lebih yakin. Biasanya anak yang diiktiraf mengenai usaha mereka berasa lebih positif terhadap diri sendiri dan rasa yakin terbentuk secara semula jadi.

KANAK-kanak perlukan keyakinan diri untuk bersosial.
KANAK-kanak perlukan keyakinan diri untuk bersosial.

5. Beri ruang mereka untuk ekspresi diri

Setiap anak mempunyai karakter yang unik pada diri masing-masing. Sebaiknya beri ruang untuk anak ekspresi diri termasuk peluang untuk meluahkan emosi dengan positif.

Sesekali perlu ada ruang untuk anak-anak mengetuai rutin seperti membaca doa ketika makan selain diberi tanggungjawab untuk mengajar saudara mereka yang lebih kecil.

Jika mereka mempunyai pendapat, beri ruang untuk diluahkan supaya emosi atau rasa tidak puas hati itu didengari dengan rasa hormat oleh ibu bapa. Ini ibarat menjaga 'air muka' mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 6:30 AM