KANAK-KANAK boleh diberi pendedahan awal ketika usia mereka dua tahun.
KANAK-KANAK boleh diberi pendedahan awal ketika usia mereka dua tahun.
Muhamaad Razis Ismail


MENULIS antara kemahiran penting yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak seawal usia empat tahun.

Untuk menulis, perkara asas yang perlu ditekankan adalah cara memegang pensel dengan betul.

Bagaimanapun mendidik anak-anak menulis dan memegang pensel, kelihatan seperti sesuatu yang tidak penting sehingga mereka mengalami kesukaran di sekolah disebabkan gagal menguasai kemahiran asas ini.

Jurupulih cara kerja, Siti Aisyah Rozalli berkata, sebenarnya seawal usia dua tahun, ibu dan ayah sudah boleh mula memberikan anak 'bermain dengan pensel.'

Namun, pada usia ini anak-anak akan memegang pensel dengan cara yang belum bersedia untuk menulis.

"Tapi, pendedahan kepada aktiviti 'pencil and paper' sudah boleh mula diberikan, tanpa penekanan kepada kaedah.

"Pendedahan pada usia ini adalah untuk membiasakan kanak-kanak dengan alatan pensel," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak-anak seharusnya sudah boleh mula memegang pensel dengan pegangan yang betul pada usia antara lingkungan empat hingga lima tahun.

SUKAR menulis dengan kemas, antara tanda anak memegang pensel dengan salah.
SUKAR menulis dengan kemas, antara tanda anak memegang pensel dengan salah.

"Pada ketika ini, kanak-kanak yang berkembang secara normal sudah mula boleh mendengar arahan dengan lebih baik dan sudah mula boleh diajak berbincang kerana kemahiran sosial dan komunikasi mereka juga lebih baik.

"Jadi, pendedahan mengenai memegang pensel yang betul boleh mula diberikan pada usia itu dengan syarat, mereka perlu dididik dengan kaedah yang betul, tanpa meletakkan tekanan pada anak-anak sepanjang proses mendidik itu berlaku," katanya.

Menurutnya, pegangan pensel yang betul dan efisien akan mempengaruhi kemampuan anak-anak untuk menulis dengan cekap, boleh dibaca, tidak cepat penat dan kurang risiko tercicir ketika menyalin dari papan hitam di sekolah.

Kebiasaannya apabila anak sering mengadu penat semasa menulis, jari sakit semasa menulis dan susah untuk menulis dengan kemas, itu adalah antara tanda anak mungkin memegang pensel dengan salah.

"Ibu bapa juga boleh kenal pasti masalah ini dengan melihat tulisan anak yang sukar dibaca, terlalu menekan dan terlalu cair pada kertas," katanya.

Untuk melatih anak, ibu bapa perlu meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari untuk memberikan latihan pegangan pensel pada anak.

"Latihan pegangan pensel pula, perlu dilakukan berpandukan kepada keperluan anak.

PERKEMBANGAN memegang pensel mengikut usia.
PERKEMBANGAN memegang pensel mengikut usia.

"Anak berusia tiga hingga empat tahun, biasanya perlu dilatih lebih banyak pada kekuatan dan koordinasi motor kasar (kawalan keseimbangan dan postur), kemahiran motor halus, penghasilan garisan asas serta eksplorasi multisensori.

"Manakala anak berusia empat hingga lima tahun, biasanya perlu lebih banyak latihan memori otot, memori penglihatan, koordinasi motor halus, penghasilan bentuk-bentuk asas dan huruf mudah selain masih perlukan banyak eksplorasi multisensori," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa aspek yang perlu ditekankan ketika latihan pegangan pensel termasuk kawalan keseimbangan dan postur tubuh serta ominansi tangan (anak guna tangan kanan atau kiri)

"Selain manipulasi dalam tangan (bagaimana anak menggerakkan pensel dalam tangan), cara genggaman pensel dan kekuatan serta koordinasi motor halus turut diambil kira.

"Jangka masa fokus dan perhatian anak serta kawalan emosi anak juga perlu dititik beratkan," katanya.

Beliau berkata, terlalu terburu-buru memaksa anak yang belum bersedia dari sudut asas kemahiran pergerakan motor halus, untuk menulis dengan betul antara kesilapan yang dilakukan ibu bapa.

"Selain itu, terdapat ibu bapa yang terlalu lewat mendedahkan anak dengan pensel. Selain menggunakan pensel bersaiz besar ketika melatih anak usia tadika menulis huruf.

DEDAHKAN anak dengan pensel sejak kecil.
DEDAHKAN anak dengan pensel sejak kecil.

"Terdapat juga ibu bapa yang tidak peka dengan cara anak memegang pensel, sehingga anak mudah berasa penat dan hilang motivasi menulis serta melatih anak tanpa menekankan 'good handwriting habit' ketika proses latihan," katanya.

Katanya, cabaran timbul berkemungkinan disebabkan masalah kecelaruan sensori anak, integrasi refleks dan kekuatan serta koordinasi otot menulis anak.

"Masalah pada penguasaan kemahiran motor kasar dan motor halus anak-anak juga antara penyebab kepada permasalahan ini," katanya.

Justeru itu, pengasas bersama Gym Academy Child Development Center (GymCademy) menyarankan ibu bapa bertemu jurupulih cara kerja yang menyediakan perkhidmatan intervensi menulis untuk kanak-kanak untuk mengenal pasti punca sebenar anak sukar memegang pensel.

"Jurupulih cara kerja mempunyai instrumen khusus untuk melakukan penilaian kefungsian menulis anak.

"Mungkin anak mempunyai masalah yang lebih besar dan hanya boleh dikesan melalui penilaian pakar terapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 7:00 AM