EMOSI positif juga bantu ‘circle’ positif.
EMOSI positif juga bantu ‘circle’ positif.
Nurul Husna Mahmud


Antara faktor ibu bapa selesa anak bersekolah di rumah kerana bimbang dengan pengaruh rakan sebaya.

Pernah seorang ibu menyuarakan situasi anaknya terbabit dalam masalah moral akibat terdedah dengan 'circle' yang tidak sihat.

Katanya, anaknya itu hanya 'matang' apabila meningkat usia 19 tahun dan baharulah bersedia berada dalam kelompok masyarakat.

Melihat cara ibu itu berfikir, adakah 'circle' atau ruang lingkup masyarakat sekarang, krisis moralnya serius?

Pakar motivasi bebas dan juga Sekretariat Bimbingan Fitriah Insani, Fadhli Othman, berkongsi pendapat mengenai ruang lingkup sosial yang sihat sebenarnya bermula daripada didikan ibu bapa seawal usia kanak-kanak.

"Isu persahabatan tidak lari daripada skop pembelajaran dan pendidikan seksualiti yang mana berkaitan dengan lima elemen.

"Antara elemen itu adalah emosi dan sosial, justeru penting untuk positifkan emosi supaya sosial serta ruang lingkup terbentuk pada persekitaran anak juga positif," katanya.

Malah beliau menegaskan bahawa sokongan emosi yang positif adalah peranan penting ibu bapa yang mana menjadi tempat perlindungan anak-anak.

MEROTAN juga kaedah tidak wajar bagi ibu bapa untuk bantu bina kelompok sosial sihat.
MEROTAN juga kaedah tidak wajar bagi ibu bapa untuk bantu bina kelompok sosial sihat.

Namun perilaku segelintir ibu bapa yang mungkin memberi reaksi tidak wajar atau sesuai dengan keperluan emosi ketika itu membuatkan anak cenderung memilih saluran lain.

"Ibu bapa perlu mainkan peranan terbaik dan sesuai dengan keadaan serta suasana emosi anak ketika itu.

"Perbuatan mengganggu emosi anak seperti mengherdik, merotan dan menyakat anak sesuka hati perlu dielak ibu bapa.

"Ibu bapa perlu faham penzahiran kelakuan adalah bagaimana anak itu berinteraksi dengan emosi sendiri.

"Oleh kerana ibu bapa sendiri tidak memahami perkaitan ini disebabkan tiada skil keibubapaan. Jadi, apabila anak marah, ibu juga bereaksi marah atau ketika anak sedih, ibu menyakat lalu membuatkan emosi anak terganggu.

MERAIKAN perbezaan pendapat adalah tanda kematangan dalam persahabatan.
MERAIKAN perbezaan pendapat adalah tanda kematangan dalam persahabatan.

"Impak ketara anak tidak percaya dengan ibu bapa sendiri dan mencari saluran lain termasuk media sosial bagi mendapatkan sokongan emosi.

"Itu mendedahkan kepada ruang lingkup yang lebih berisiko apabila mereka mencari sokongan emosi daripada luar yang tidak jelas positif atau negatif," katanya.

Tambah Fadhli lagi, jika anak itu tadi mendapat sokongan positif, dia akan beremosi, bertingkah laku atau berkelakuan baik dan biasanya mencari rakan atau ruang lingkup yang setara.

"Jika ibu bapa sudah tanam atau bina emosi positif, dengan siapa dia berkawan atau bersosial, dia akan melihat nilai positif sebagai pilihan.

"Perlu tahu emosi, tingkah laku dan sifat positif itu akan dibawa sehingga ke dewasa," katanya.

FADHLI melihat ibu bapa sebagai pihak penting menyemai emosi positif supaya ruang lingkup sosial anak juga sama.
FADHLI melihat ibu bapa sebagai pihak penting menyemai emosi positif supaya ruang lingkup sosial anak juga sama.

Tambahnya lagi, senario ibu bapa dan ruang lingkup sosial masa kini juga berbeza dibandingkan zaman ibu bapa itu berada pada usia anak mereka.

"Ibu bapa perlu tahu minat, hobi dan kecenderungan anak. Ini penting kerana dengan itu apabila ibu bapa tahu kecenderungan atau minat anak ke arah yang salah mereka tahu cara menangkis bersesuaian dengan keadaan anak.

"Jika anak itu minat, hobi atau kecederungannya positif, ibu bapa perlu menyamakan minat anak dengan dirinya. Ini membantu pembentukan jati diri sekali gus ruang lingkup sosial yang sihat," katanya.

Selain itu Fadhli berkata, ibu bapa perlu tahu perkara trending terkini seperti media sosial. Dengan itu mereka tahu ruang lingkup sosial anak-anak.

"Pada masa sama, ibu bapa perlu ada skil keibubapaan dalam menangani anak-anak meskipun ada kalanya mereka berjauhan.

"Teknik keibubapaan penting kerana mereka tahu langkah wajar termasuklah mendekati anak dengan peranti dan media sosial terkini yang ada panggilan video dan sebagainya.

"Ia penting dalam membantu menjaga ukhuwah kekeluargaan. Apabila ada hubungan, kemudian komunikasi dan akhirnya wujud 'circle' positif," katanya.

Beliau turut menyatakan kematangan anak dalam persahabatan apabila adanya tiga kriteria ini:

I.Bersikap terbuka

Anak tidak ada prejudis terhadap kawan meskipun mengetahui kekurangan atau sebarang masalah.

II. Meraikan pandangan dan perbezaan.

Anak tidak ada skeptikal terhadap latar belakang rakannya dan lebih empati.

III. Berfikiran positif

Bersikap baik atau bersangka baik dengan rakannya.

Kesan daripada semua sikap ini, akan lahirnya rasa hormat dan persahabatan itu lebih harmoni.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 7:00 AM