BEG jut saiz kecil sesuai dijadikan barangan cenderamata.
BEG jut saiz kecil sesuai dijadikan barangan cenderamata.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

BAHAN yang diperlukan hanya kertas tisu, gam, pengilat dan beg jut dengan jumlah kos keseluruhan sekitar RM15 sahaja.

Namun siapa sangka, semua itu boleh menghasilkan perhiasan kraftangan menarik, beg jut yang boleh dijual pada harga puluhan ringgit di pasaran tempatan.

Penulis berkesempatan mengikut bengkel menghasilkan beg jut menarik itu sempena Fiesta Bunga Pahar di Hulu Langat, Selangor.

Bengkel anjuran Persatuan Skil Wanita (PeLITA) Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Hulu Langat dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Dun Dusun Tua itu turut disertai lebih 30 peserta dari seluruh Selangor.

Menurut tenaga pengajarnya, Nor Aien Zakaria, beg jut bukan sahaja aksesori hiasan untuk wanita, malah sesuai dijadikan barangan cenderahati khususnya untuk majlis perkahwinan atau acara rasmi.

Katanya, untuk menghasilkan hiasan beg jut yang menarik tidak memerlukan kemahiran melukis seperti yang dibayangkan kebanyakan orang sebaliknya hanya kertas tisu bercorak unik.

SEBAHAGIAN daripada peserta bengkel hiasan beg jut di Hulu Langat.
SEBAHAGIAN daripada peserta bengkel hiasan beg jut di Hulu Langat.

"Biasanya, kertas tisu import bercorak bunga-bungaan yang menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja cantik, malah berkualiti dan tahan lama.

"Manakala untuk pemilihan beg pula, terpulang kepada cita rasa individu itu sendiri sama ada mahu saiz besar atau sebagainya, katanya.

Menurut Nor Aien, kertas tisu itu dilekatkan menggunakan gam pelekat khas pada beg dan kemudian perlu dikemaskan dengan pengilat.

Untuk memastikan ia cepat kering pula, pengering rambut boleh digunakan dan perlu dihalakan ke seluruh kawasan yang dilekatkan kertas tisu berkenaan.

PESERTA khusyuk menyapu gam khas sebelum melekatkan kertas tisu pada beg jut.
PESERTA khusyuk menyapu gam khas sebelum melekatkan kertas tisu pada beg jut.

Katanya, setiap hiasan pada beg jut itu boleh disiapkan dalam masa dua jam sahaja bergantung kepada ketekunan individu itu sendiri.

"Jika dihasilkan dengan teliti dan dijaga dengan baik, beg jut yang dihiasi kertas tisu itu boleh bertahan bertahun lamanya.

"Suri rumah boleh mempelajari cara untuk dekorasi beg jut kerana ia mempunyai kelompok penggemar tersendiri dan boleh dijual bagi menambah pendapatan, katanya.

Peserta, suri rumah dari Gombak, Azrina Mohd Aziz, 45, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk menyertai bengkel yang diadakan secara percuma itu untuk menambah kemahiran kraftangannya.

PEMILIHAN kertas tisu corak bunga-bungaan menjadikan hiasan lebih menarik.
PEMILIHAN kertas tisu corak bunga-bungaan menjadikan hiasan lebih menarik.

Katanya, beg jut kini semakin mendapat perhatian tidak kira tua atau muda.

"Saya mahu menghasilkan koleksi beg jut sendiri untuk dipasarkan suatu hari nanti, tetapi sebelum itu perlu memperbanyakkan ilmu bagi memastikan produk yang dihasilkan lain daripada yang ada di pasaran.

"Ia bukan mudah, tetapi tidak juga terlalu susah kerana apa yang penting, perlu ada ketekunan dan fokus.

Semoga impian itu menjadi kenyataan suatu hari nanti, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 7:00 AM