WAIE bersedia menjadi juruterbang pesawat komersial bersama syarikat penerbangan tempatan.
WAIE bersedia menjadi juruterbang pesawat komersial bersama syarikat penerbangan tempatan.
Nurul Husna Mahmud

Ketika kecil Nur Waie Hidayah Mohamad Rasidin mengakui dia suka mengenakan topi baldu hitam tersergam logo Syarikat Penerbangan Malaysia (Malaysia Airlines) milik bapanya, Mohamad Rasidin Kasan.

Meskipun tugas menerbangkan pesawat komersial membuatkan zaman kanak-kanaknya sering berjauhan dengan bapa, namun tidak sekalipun menjadikan dia jauh hati dengan kerjaya berkenaan.

Sebaliknya gadis manis berusia 22 tahun itu berasa bangga dapat mengikuti jejak langkah bapanya selain menempatkan diri sebagai antara kadet wanita pertama yang dilatih Malaysia Airlines.

Katanya, bapanya hanyalah anak petani kampung dari Tanjong Karang, Selangor yang mendapat tawaran menjadi juruterbang kadet bersama Malaysia Airlines dan kini boleh berbangga menerbangkan pesawat komersial ke serata dunia.

“Malaysia Airlines bukanlah asing kepada saya kerana bapa dulu juga seorang kadet di syarikat penerbangan ini. Bapa saya anak seorang petani dan dia sendiri jarang melihat kapal terbang.

“Tetapi, selepas mendapat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia cemerlang dan mendapat tawaran mengikuti pembelajaran sebagai kadet bawah tanggungan Malaysia Airlines pada 1992. Sejak itu dia berubah dan secara tidak langsung dapat meningkatkan taraf hidup keluarga termasuk kami yang ‘tumpang’ menikmati kesenangan.

WAIE tampak bergaya dengan persalinan sering dipakai juruterbang.
WAIE tampak bergaya dengan persalinan sering dipakai juruterbang.

“Kalau dengar cerita ‘baba’ menjadi juruterbang itu satu anugerah atau rezeki yang cukup besar. Dia selalu ingatkan saya mengenai kehidupan lalunya terutama yang hidup serba kekurangan sehingga terpaksa menggunakan pensel bersaiz jari kelingking, memakai kasut koyak dan baju lusuh membuatkan saya bersyukur sangat dengan peluang yang saya nikmati ketika ini.

“Justeru, setiap kali berdepan dengan kesukaran termasuk sewaktu pembelajaran di kolej penerbangan, saya hadapi semua cabaran itu memikirkan sokongan keluarga bapa termasuk ibu saya, Suraiyah Abdul Ghani yang sanggup berulang-alik dari Abu Dhabi dan Malaysia untuk menguruskan permohonan Lesen Juruterbang Komersial (CPL),” katanya.

Teruja dengar pengalaman bapa

Tidak menafikan satu ketika pernah keliru dengan bidang kerjaya yang ingin diceburi, namun dia akhirnya memutuskan juruterbang sebagai impian masa depan kerana teruja setiap kali mendengar pengalaman bapanya.

“Ada juga hasrat untuk ke bidang sains kerana menerima tawaran universiti, tetapi pada masa sama tawaran untuk menyambung pengajian ke kolej penerbangan juga tiba membuatkan saya tertarik untuk ke sana. Ibu saya antara individu yang teruja kerana padanya perempuan menerbangkan pesawat itu sesuatu menarik dan saya harus cuba.

“Selepas ujian DCA dan melalui proses pembelajaran getir selama 18 bulan, saya rasa ia pengalaman berbaloi terutama apabila berjaya mengendalikan pesawat pertama dan selamat mendarat, saya menjadi cukup teruja. Pesawat pertama saya ialah pesawat satu enjin model Piper dan kemudian diikuti pesawat dua enjin daripada model sama.

“Sejak itu saya sedar impian saya lebih besar iaitu mahu kendalikan pesawat komersial pula dan menjadikan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan impian untuk menggapai impian itu.

“Meskipun sebelum ini Malaysia Airlines tidak pernah merekrut kadet wanita, saya tidak rasa ia satu bebanan, sebaliknya menjadi motivasi selaku ‘batch’ pertama bersama dua rakan lain untuk membuktikan kemampuan wanita memecah dominasi lelaki dalam kerjaya juruterbang syarikat penerbangan utama negara,” katanya.

RUANG kokpit ialah tempat kesukaan Waie.
RUANG kokpit ialah tempat kesukaan Waie.

Kata Waie, antara ciri yang perlu ada pada juruterbang komersial wanita ialah memperkuatkan ketahanan mental dan fizikal.

“Cabaran saya ialah terpaksa berjauhan dengan keluarga dan itu satu perkata yang sangat sukar. Keluarga saya ketika ini menetap di Abu Dhabi kerana komitmen bapa dengan sebuah syarikat penerbangan berpangkalan di sana. Terpisah beribu batu bukanlah perkara mudah.

“Apatah lagi bidang yang saya pelajari ini disifatkan sangat mencabar malah membabitkan nyawa ribuan orang. Jadi saya perlu sentiasa bersedia dan menjadi seorang yang pantas membuat tindakan mahupun keputusan selain menguasai semua ilmu dengan sempurna. Keputusan perlu mengambil kira keselamatan dan risiko penumpang serta anak kapal lain.

“Kami perlu ingat beratus-ratus laman manual prosedur operasi dan itu perlu dihadam sebaiknya. Itu belum masuk aspek punat dan sistem yang berbeza untuk pesawat model berlainan. Jadi saya perlu gigih berlatih menjadi juruterbang yang baik,” katanya sambil tersenyum manis.

WAIE bangga menjadi kadet juruterbang wanita pertama Malaysia Airlines.
WAIE bangga menjadi kadet juruterbang wanita pertama Malaysia Airlines.

Waie juga berkata, cabaran lain termasuk faktor kewangan. Mengenangkan jerih perih ibu dan bapa yang sanggup memenuhi impian anak, membuatkan Waie nekad untuk lebih gigih berusaha. Mana tidaknya, untuk meneruskan minatnya dalam bidang ini, bapanya sehingga kini sudah membelanjakan tidak kurang RM370,000 bagi membiayai pengajian selain memiliki lesen CPL.

Berkongsi mengenai impian laluan penerbangan diidamkan, dia menyimpan hasrat untuk menerbangkan pesawat Boeing 787 melalui Malaysia ke Abu Dhabi ataupun Amerika Utara.

Malah dia berharap kehadirannya dalam keluarga MAS Airlines ini akan merintis lebih ramai lagi penyertaan wanita sebagai juruterbang pesawat komersial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Mac 2018 @ 2:54 PM