TAPAK penetasan telur penyu untuk melindungi telur sebelum menetas.
TAPAK penetasan telur penyu untuk melindungi telur sebelum menetas.
Muhamaad Razis Ismail


PULAU Penyu atau dikenali sebagai Pulau Selingan di Sandakan, Sabah adalah pulau terbesar dalam Taman Pulau Penyu.

Pulau Selingan antara tempat paling selamat bagi penyu mendarat dan bertelur kerana berada di bawah jagaan pihak Taman-Taman Sabah.

Dua pulau lagi yang termasuk dalam Taman Pulau Penyu adalah Pulau Bakungan Kecil dan Pulau Gulisan yang turut terkenal sebagai lokasi pendaratan penyu.

Terdapat dua jenis penyu yang biasa mendarat di pulau ini iaitu penyu hijau dan penyu karah atau sisik.

Pulau Selingan terletak di dalam kawasan perairan Laut Sulu iaitu lebih kurang 40 kilometer (km) dari pusat bandar Sandakan dan ia boleh dikunjungi orang ramai.

Terdapat sebuah pusat penjagaan dan penetasan bagi telur-telur penyu di pulau berkenaan yang dijaga rapi supaya tidak diambil atau dikacau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, kejernihan air laut yang berwarna kebiru-biruan menawarkan kehidupan terumbu karang yang indah dan terjaga sesuai untuk berenang, selam snorkel serta selam skuba.

Pada September tahun lalu, Sumiati Aris bersama rakannya berpeluang ke pulau itu untuk menyaksikan dengan lebih dekat bagaimana penyu bertelur.

Katanya, mereka bertolak dari Jeti Taman- Taman Laut Sabah jam 10 pagi bersama pelancong dari luar negara.

BALAI pameran antara kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di Pulau Selingan.
BALAI pameran antara kemudahan yang disediakan kepada pengunjung di Pulau Selingan.

"Perjalanan ke Pulau Selingan mengambil masa kira-kira sejam bergantung kepada keadaan cuaca. Alhamdulillah, perjalanan berjalan lancar dan selamat sampai di pulau terbabit sekitar 11 pagi.

"Sebaik tiba, kami terus ke kafe untuk pendaftaran masuk ke ruang penginapan dan menikmati makan tengah hari yang disediakan," katanya.

Menurutnya, kemudian mereka diberi kebebasan untuk melakukan aktiviti di sekitar pulau termasuk berjalan di sekitar pantai yang mempunyai pasir yang putih dan bersih.

"Bagaimanapun, pengunjung tidak dibenarkan berada di kawasan pantai antara jam 6 petang sehingga 6 pagi untuk mengelakkan gangguan kepada penyu yang ingin mendarat.

"Pada masa sama, pengunjung juga boleh menikmati kejernihan air laut dan keindahan terumbu karang dengan melakukan aktiviti berenang, selam snorkel serta selam skuba.

"Selain itu, pulau ini turut terkenal sebagai 'spot' tercantik untuk melihat matahari terbit dan terbenam. Bagaimanapun, pada hari itu kami tidak bernasib baik berikutan hujan lebat dan angin kuat," katanya.

Katanya, selepas makan malam pengunjung diminta berkumpul di restoran bagi menunggu panggilan daripada renjer sekiranya terdapat penyu mendarat untuk bertelur.

"Sementara menunggu, pengunjung disajikan dengan tayangan video dan selepas itu, kami berpeluang memasuki Balai Pameran yang menyediakan banyak maklumat terperinci mengenai penyu di Taman Pulau Penyu ini.

"Apabila pihak renjer melihat penyu mendarat, pengawal akan menghantar pengunjung ke tapak sarang ibu penyu bertelur.

"Pengunjung dilarang keras menggunakan lampu suluh atau menghidupkan 'flash' pada kamera kerana ia boleh mengganggu penyu yang ingin bertelur," katanya.

TELUR dipindahkan ke tapak penetasan penyu.
TELUR dipindahkan ke tapak penetasan penyu.

Sumiati mengakui sangat teruja apabila dimaklumkan terdapat seekor penyu sedang mendarat kerana ini adalah kali pertama melihat hidupan marin itu bertelur.

"Sebelum ini saya biasa melihat penyu berenang di laut namun ini adalah pengalaman yang cukup mengujakan apabila dapat melihat penyu bertelur dengan lebih dekat.

"Salah seorang renjer yang bertugas memaklumkan, penyu yang berusia kira-kira 40-an berukuran panjang 104.5 sentimeter (sm) dan lebar 92.5sm itu sebelum ini pernah mendarat dan bertelur di pulau ini berdasarkan tanda yang ada pada haiwan itu," katanya.

Tambahnya, sebaik ibu penyu kembali ke laut, renjer akan mengumpul telur dan memindahkannya ke tapak penetasan penyu.

"Telur itu ditanam semula di dalam lubang sedalam 75sm, ditutup dengan pasir dan dikelilingi jaringan plastik serta ditanda dengan nombor siri sarang, tarikh pengumpulan dan bilangan telur.

"Pada malam itu, sekitar jam 9.30 malam, kami juga diberi peluang melepaskan 63 anak-anak penyu ke laut. Saya difahamkan pada malam itu sahaja sebanyak 1,217 anak penyu dilepaskan ke laut," katanya.

Sumiati berkata, pada keesokan hari, sekitar jam 6 pagi, dia sekali lagi dapat melihat penyu yang baru selesai bertelur.

"Secara keseluruhan sepanjang dua hari satu malam di pulau itu nyata memberi pengalaman yang cukup bermakna sebagai pengembara.

ANTARA anak penyu yang dilepaskan.
ANTARA anak penyu yang dilepaskan.

"Pengunjung dapat melihat bagaimana penyu bertelur, telur dikumpulkan dan anak-anak penyu dilepaskan ke laut. Pengalaman ini dapat memberi kesedaran betapa perlunya kita terus menjaga alam sekitar dan tidak membeli telur penyu yang dijual supaya hidupan marin ini tidak pupus untuk tatapan generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:00 AM