RONA jingga sesuai dipadankan dari pagi hingga ke malam.
RONA jingga sesuai dipadankan dari pagi hingga ke malam.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Bagi mereka yang sudah biasa dengan pakaian berona tanah atau natural, kadang-kala untuk menyarung busana berwarna lebih menonjol terasa aneh bukan? Apatah lagi, jika warna itu seakan 'sebatu' orang boleh nampak kelibat si pemakainya.

Perunding Fesyen, Faizal Hamid berkata, sebenarnya tiada masalah untuk menyarung sesuatu busana berona yang kelihatan berbeza terutama warna-warna yang menonjol seperti jingga.

Jelasnya, rona jingga terang dan berani seperti tangerine (oren mandarin yang kemerah-merahan) atau jingga neon antara warna paling menyerlah dalam aliran fesyen.

"Namun begitu, jika anda tidak biasa memakai rona jingga, pastikan memilih rona jingga yang paling sesuai.

"Paling istimewa, terdapat spektrum rona jingga untuk setiap emosi dan warna kulit. Variasi nama yang menggambarkan warna jingga seperti tangerine, mandarin, oren, persimmon, tangelo, vermillion, lobak merah, saffron, peach dan karang," katanya.

GAUN jingga antara yang menarik untuk dipadankan.
GAUN jingga antara yang menarik untuk dipadankan.

Jelasnya, mengikut teori warna, jingga adalah rona yang cukup ceria, bertenaga dan menyegarkan. Jingga cukup menyerlah dan pasti menarik perhatian. Ia adalah simbol kekuatan, ketahanan dan tenaga fizikal. Jingga dapat memberikan mood atau aura ceria, penuh aspirasi dan kreativiti.

"Jingga cukup sinonim dengan musim panas, namun sedikit suntikan rona jingga pasti dapat menghangatkan hari-hari pada musim sejuk. Manakala jingga dalam tona perang seperti karat, terracotta dan labu, indah digayakan untuk musim luruh. Rona lembut jingga kemerahan seperti peach, karang dan salmon membawa aura feminin yang cukup sofistikated untuk setiap musim," katanya.

MEMAKAI rona jingga dapat menonjolkan diri.
MEMAKAI rona jingga dapat menonjolkan diri.

Panduan gaya dalam rona jingga

• Jika anda tidak pasti berkenaan jingga atau pun apa juga warna, sila pegang pakaian atau fabrik di sebelah wajah anda. Jika wajah anda secara automatik kelihatan segar, maksudnya warna itu sesuai dengan anda.

• Gaya, tekstur dan estetik dalam rona jingga boleh membawa anda daripada pagi hingga ke malam, sama ada gaya sporty atau sofistikated, pastinya rona jingga dapat mendefinisikan gaya individualiti anda.

• Apabila anda memakai pakaian dalam warna yang terang dan berani seperti jingga, pastikan menggayakannya dengan cukup berkeyakinan. Dinasihatkan juga agar anda mengamalkan konsep transisi secara perlahan, jika anda baru mahu mencuba warna yang baru, contohnya, cuba dahulu gayakan aksesori yang kecil, beg atau skaf dalam warna itu, selepas itu jika selesa barulah cuba gayakan padanan lain.

• Bagi yang berani mencuba, dapatkan tali pinggang, beg atau kasut dalam jingga neon.

MEMAKAI pakaian berlapis jingga perlu padanan warna yang sesuai.
MEMAKAI pakaian berlapis jingga perlu padanan warna yang sesuai.

• Top dalam warna jingga dengan potongan dan perincian yang menarik seperti ropol, lipatan dan kedutan dapat mengalihkan pandangan supaya tertumpu pada wajah serta bahagian atas badan. Begitu juga sebaliknya jika anda mahu pandangan tertumpu pada bahagian bawah badan, pakailah skirt atau seluar dalam rona jingga atau terang.

• Untuk gaya urban, dapatkan seluar jingga yang dipadankan dengan jumper motif haiwan, beg genggam dan cermin mata hitam saiz besar.

• Bagi yang gemari inspirasi 'maskuliniti,' dapatkan pantsuit dalam rona jingga - lengkapkan dengan gaya solekan berani, kasut platform dan beg genggam saiz besar.

• Pilih siluet skirt atau gaun potongan A-line dan kasut tumit tinggi untuk gaya retro ceria.

• Gaun dalam rona jingga cukup mewah dan anggun dipakai sesiapa sahaja. Ia cukup luar biasa apabila digayakan di atas karpet merah. - aksesori dalam rona emas atau perak paling menarik digayakan dengan gaun jingga.

• Gabungan rona citrus, seperti kuning terang dan jingga cukup sempurna untuk gaya ringkas dan siluet minimal.

• Kombinasi merah dan jingga jika kena gaya dapat menyerlahkan konsep ultra-feminin pada si pemakainya.

• Merah, kuning dan jingga, atau merah, biru dan jingga adalah kombinasi warna yang cukup mengujakan.

• Untuk gaya tropika, padan warna jingga dengan hijau. Atau gabungkan dengan merah jambu atau merah.

• Padankan jingga dengan putih untuk gaya minimal yang menarik.

‘ADUNAN’ top berwana jingga dan putih
‘ADUNAN’ top berwana jingga dan putih

• Namun begitu, kombinasi yang paling selamat adalah adalah dalam tona neutral - putih, krim dan kuning air atau hitam, biru kelasi atau kelabu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:45 AM