GUNAKAN moratorium kewangan sebagai simpanan atau pelaburan. - FOTO Google
GUNAKAN moratorium kewangan sebagai simpanan atau pelaburan. - FOTO Google
Muhamaad Razis Ismail

DALAM berdepan pandemik Covid-19 dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masyarakat negara ini perlu bijak dalam menguruskan kewangan dengan meletakkan perbelanjaan kepada sesuatu yang lebih berobjektif ketika dilanda bencana.

Malah anda juga perlu tahu menilai wang yang dikeluarkan sama ada tujuan keperluan atau sekadar memenuhi kehendak.

Pensyarah Kanan (Perbankan & Kewangan Islam) Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Azwan Abdullah berkata, kewangan perlu diuruskan secara berhemah dengan meletakkan faktor keperluan sebagai keutamaan yang perlu dilaksanakan dahulu.

ELAKKAN terlalu leka membeli barang di dalam talian. - FOTO Google
ELAKKAN terlalu leka membeli barang di dalam talian. - FOTO Google

"Keperluan asas yang perlu dipenuhi adalah seperti makanan, pakaian, kesihatan dan keselamatan, perlu dipenuhi sepanjang tempoh bencana ini seperti kelaziman biasa.

"Pada masa sama, pengguna perlu menangguhkan pembelian yang sekadar memenuhi kehendak untuk elakkan pembaziran," kata Felo Penyelidik di Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (Inspek) UMK itu, ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia sangat prihatin dengan nasib rakyat dengan mengambil beberapa langkah termasuk mengumumkan bantuan kepada semua peringkat lapisan masyarakat.

"Antaranya menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan moratorium kewangan selama enam bulan tanpa caj tambahan," katanya.

PERLU utamakan keperluan. - FOTO Google
PERLU utamakan keperluan. - FOTO Google

Tambahnya, pengguna perlu memanfaatkan bantuan ini dengan membuat penstrukturan wang untuk disesuaikan dengan keperluan ketika bencana.

"Pengguna perlu bijak dalam berjimat cermat dan menggunakan sumber kewangan yang ada untuk melunaskan hutang seperti kad kredit, tunggakan bil utiliti dan sebagainya.

"Selain itu, pengguna perlu manfaatkan moratorium sebagai unsur simpanan atau pelaburan untuk digunakan di masa hadapan.

"Contohnya membeli emas sebagai pelaburan atau sebagai tabungan haji, persaraan dan pendidikan anak-anak," katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan, orang ramai supaya mengelakkan pembaziran menerusi pembelian barang yang tidak diperlukan di platform talian.

"Kadangkala ada pengguna yang leka melayari media sosial, portal pembelian Internet dengan membuat perbelanjaan mungkin tidak diperlukan.

"Keadaan ini dibimbangi mengakibatkan dana kewangan yang ada mengalir tanpa sedar dan akhirnya aliran tunai pengguna berada dalam keadaan defisit," katanya.

Bagaimanapun, Dr Azwan berkata, portal Internet ini sebenarnya memberi manfaat sekiranya diuruskan dengan baik contohnya untuk menjelaskan bil dan pembelian yang diletakkan sebagai keutamaan.

Tambahnya, semua perkara ini terpulang kepada kebijaksanaan isi rumah dalam menentukan perbelanjaan sedia ada.

"Perlu tentukan keperluan yang penting dengan menyedari wang yang digunakan memberi kesan dan nilai supaya tidak berlaku pembaziran, pembelian lalai dan sebagainya.

"Perancangan kewangan yang baik melalui kaedah muhasabah kewangan dapat membantu isi rumah melaksanakan perbelanjaan dengan berhemah," katanya.

COVID-19 akibatkan tekanan kewangan. - FOTO Google
COVID-19 akibatkan tekanan kewangan. - FOTO Google

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 6:30 AM