JALANKAN kajian rumah yang bakal dibeli.
JALANKAN kajian rumah yang bakal dibeli.
Muhamaad Razis Ismail


MEMILIKI rumah pertama terutama pada usia yang masih muda adalah impian hampir setiap individu.

Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita yang masih bimbang untuk memiliki aset ini kerana memikirkan beban kewangan terpaksa ditanggung selama puluhan tahun.

Perunding hartanah, Ahmad Firdaus Mahmod berkata, berdasarkan pengalaman selama 10 tahun dalam bidang hartanah, dua perkara yang menjadi objektif pembelian rumah iaitu sama ada sebagai tempat tinggal atau pelaburan.

Katanya, bagaimanapun kepada golongan muda, perlu set di minda sebagai permulaan dinasihatkan pembelian rumah pertama sebagai pelaburan bukan rumah impian.

"Berdasarkan tangga gaji yang masih rendah, seeloknya pembelian rumah dibuat mengikut kemampuan supaya tidak terbeban di kemudian hari.

"Biasanya harga rumah akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan apabila tiba masanya rumah itu boleh dijual dengan harga lebih tinggi untuk mendapat rumah lebih baik di masa hadapan," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau turut berkongsi empat perkara yang perlu diambil kira sebelum memiliki rumah untuk dijadikan sebagai pelaburan.

"Pertama pastikan rumah itu boleh disewakan. Oleh itu pemilik rumah perlu buat kajian berapakah kadar sewaan dan siapa penyewa di kawasan terbabit.

"Ini dapat membantu, kita mengetahui potensi rumah itu untuk dijadikan sebagai pelaburan menguntungkan," katanya.

Selain itu, bakal pemilik perlu turun padang dan buat kajian sama ada rumah di kawasan terbabit memiliki potensi untuk dijual di masa hadapan.

JADIKAN pembelian rumah pertama sebagai pelaburan. - FOTO Google
JADIKAN pembelian rumah pertama sebagai pelaburan. - FOTO Google

DAPATKAN maklumat dari ejen hartanah dan penduduk setempat berkenaan potensi rumah.  - FOTO Google
DAPATKAN maklumat dari ejen hartanah dan penduduk setempat berkenaan potensi rumah. - FOTO Google

"Biasanya maklumat ini kita boleh dapat daripada ejen hartanah dan juga masyarakat sekitar," katanya.

Pada masa sama, perlu dipastikan, rumah yang bakal dibeli memiliki aliran tunai yang positif.

"Kiraan ini boleh dibuat sendiri oleh bakal pemilik rumah. Jika bernasib baik, individu terbabit bukan sahaja tidak perlu keluarkan wang untuk bayaran bulan rumah malah lebihan sewaan bulanan boleh menjadi pendapatan sampingan," katanya.

Tambahnya, yang terakhir, pembeli rumah perlu pastikan aset yang bakal dibeli kelak akan dapat dijual pada harga yang tinggi.

Menurutnya, perkara penting yang diperlukan adalah sentiasa lengkapkan diri dengan ilmu hartanah yang boleh diperoleh secara percuma di Internet, rakan dan keluarga yang lebih berpengalaman.

"Buat kajian sebagai langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kesilapan membeli hartanah.

"Selain itu, pengurusan kewangan juga mainkan peranan dan utamakan keperluan berbanding kehendak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 7:00 AM