USAH ambil ringan, kecederaan akibat terjatuh dan sebagainya boleh beri kesan pada telinga.
USAH ambil ringan, kecederaan akibat terjatuh dan sebagainya boleh beri kesan pada telinga.
Oleh Hafiz Ithnin

BIMBANG dan panik. Pelbagai andaian mula berlegar di minda apabila mendapat tahu anak tersayang mengalami hentakan, ditampar atau terjatuh terutama sekiranya ia membabitkan bahagian sekitar muka, kepala dan telinga.

Ibu bapa mahupun penjaga yang berdepan dengan situasi itu tentu saja ligat memikirkan kesan yang bakal dialami si kecil tersayang.

Mengupas mengenai situasi itu Pegawai Perubatan Sarjana Pembedahan Telinga, Hidung, Tekak, Kepala & Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ezairy M Sallih berkata, perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan sama sekali tanpa mengambil sebarang tindakan pantas.

“Apabila saya mendapat kes rujukan yang membabitkan masalah pendengaran akibat kecederaan seperti ditampar, terhentak atau terjatuh, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah bertanya kepada pesakit bagaimana keadaan pendengaran mereka.

“Adakah berlakunya perbezaan sebelum dan selepas insiden terjadi? Ini sangat penting bagi doktor mengenal pasti sama ada kecederaan yang dialami sudah memberi kesan kepada pendengaran pesakit atau pun sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, dia begitu kecewa dan sedih sekiranya ada di antara ibu bapa dan pesakit sendiri yang mengambil remeh perkara seperti itu.

“Ada kes di mana pesakit terjatuh atau ditampar dengan kuat namun tidak dirujuk kepada hospital atau klinik selepas berminggu-minggu lamanya bahkan ada juga sehingga berbulan-bulan.

PEMERIKSAAN telinga perlu dilakukan oleh pakar sekiranya kanak-kanak mengalami masalah telinga. - Gambar hiasan
PEMERIKSAAN telinga perlu dilakukan oleh pakar sekiranya kanak-kanak mengalami masalah telinga. - Gambar hiasan

“Paling membimbangkan sekiranya kejadian itu sudah pun memberi kesan kepada telinga dan pendengaran pesakit kerana kecederaan dalaman sangat sukar untuk dikenal pasti dan memerlukan pemeriksaan terperinci,” ujarnya.

Tambah Dr Ezairy, sekiranya pesakit mengadu mengalami masalah pendengaran selepas ditampar, mengalami kemalangan, terjatuh dan sebagainya, maka beberapa struktur di dalam telinga perlu diperiksa untuk mengenal pasti sebarang kecederaan yang berlaku.

“Ada kecederaan yang hanya membabitkan bahagian luar sahaja dan tidak organ di bahagian lebih dalam. Saya akan menggunakan alat khas seperti ‘otoscope’ untuk memeriksa dengan lebih terperinci masalah yang terjadi di dalam telinga pesakit.

“Selain daripada kecederaan di bahagian luar, trauma dan kecederaan yang kuat juga boleh mengakibatkan luka pada salur luar telinga pesakit. Darah yang terkumpul di kawasan ini juga boleh mengeras dan akhirnya mengakibatkan pesakit tidak dapat mendengar dan ia amat membimbangkan,” katanya.

Bahkan untuk kes yang lebih teruk, ia boleh mengakibatkan kebocoran kepada gegendang telinga pesakit.

“Ada beberapa keadaan di mana ibu bapa boleh mengenal pasti sendiri kesan tamparan atau hentakan mungkin telah menyebabkan kebocoran dan luka pada gegendang telinga anak.

“Antaranya pesakit mengalami kurang pendengaran selepas kejadian berlaku. Ada yang mungkin merasai telinga seperti tersekat atau berdesing tanpa henti selain cecair keluar daripada salur telinga yang dimulai dengan darah akibat luka yang berlaku,” katanya.

Untuk kes yang tidak mendapat rawatan dan pemeriksaan awal bersama doktor, ia boleh menyebabkan kes terbiar begitu sahaja ‘neglected case.’

Pesakit atau ibu bapa sendiri mungkin juga tidak mengetahui anak mereka sebenarnya mengalami masalah pendengaran. Ada juga kes di mana pesakit itu sendiri tidak menyedarinya atau mungkin mereka sedar tetapi terlalu takut untuk memberitahu kepada

ibu bapa.

Sedarlah ibu bapa jika masalah ini tidak ditangani awal dan dalam masa sama sebenarnya anak anda sedang mengalami masalah kebocoran pada gegendang telinga, ia boleh mengganggu proses pembelajaran dan perkembangan akademik mereka.

Lihat beberapa implikasi buruk yang boleh berlaku antaranya anak-anak yang mengalami masalah pendengaran tidak dapat menumpukan perhatian penuh di dalam kelas.

Pesakit juga akan kerap mengalami masalah jangkitan pada telinga. Setiap minggu atau setiap hari pasti ada cecair keluar daripada telinga. Ada kalanya mengeluarkan bau yang busuk apabila jangkitan sudah berlaku. Ini boleh berlaku apabila anak mengalami kebocoran pada gegendang telinga dan mudah mengalami jangkitan pada telinga luar dan bahagian tengah.

Akibat masalah jangkitan pada telinga, anak juga akan kerap mengalami selesema dan demam, lebih kerap jatuh sakit dan tidak dapat hadir ke sekolah.

Dr Ezairy berkata, oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, perkara seperti yang dinyatakan amat perlu diberi perhatian demi masa depan anak tersayang.

“Jika ada anak yang mengalami apa-apa kecederaan di kawasan muka, kepala dan telinga, perhatikan beberapa simptom yang saya sebutkan sebelum ini. Segala masalah akan lebih mudah ditangani jika dikenal pasti pada peringkat awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 6:47 AM