Nurul Husna Mahmud


KEBANYAKAN orang Asia yang memiliki kulit sawo matang dan gelap mudah mendapat parut hitam berbanding lain-lain bangsa.

Jadi tidak hairanlah apabila organ itu tercedera atau terkopek, mudah sahaja meninggalkan kesan parut yang kurang ‘elok’ pada pandangan mata.

Kesan parut dialami kebanyakan daripada mereka ialah parut hitam dan tidak dinafikan menjejaskan keyakinan individu sehingga mendorong segelintir memilih menjalani rawatan estetik bagi menangani masalah itu.

Menurut Doktor Perubatan Estetik, Kulit dan Rawatan Lazer Dr Nazelia Thibroni, masalah parut terutama di bahagian muka mengundang resah pesakit sehingga menyebabkan ibu bapa turut terkesan sama.

RAWATAN laser antara kaedah digunakan merawat parut.
RAWATAN laser antara kaedah digunakan merawat parut.

“Lagi awal rawatan parut dilakukan, lagi cepat proses pemulihan. Parut yang di bawah tempoh dua tahun mudah ditangani.

“Mengenai parut pula, ada tiga jenis membezakan daripada bentuk dan segi rawatan diberikan iaitu parut trauma, parut timbul dan parut jerawat hitam atau bopeng. Parut timbul biasanya boleh dilihat pada bekas suntikan vaksin Bacillus Calmette-GuÈrin (BCG)

“Namun dalam kalangan yang menjalani rawatan parut, saya perasan ‘trend’ semasa yang melakukannya ialah bagi menangani masalah parut jerawat. Paling muda pesakit saya ialah 16 tahun bagi rawatan laser.

“Sedia maklum tempoh untuk parut pulih secara dalaman sepenuhnya sekitar 28 hingga 42 hari dari

pada rawatan seperti laser. Meskipun saya sarankan rawatan perlu dilakukan awal, tetapi terdapat kekangan bagi pesakit kanak-kanak.

“Rutin pesakit menjalani rawatan laser biasanya akan mengambil ubat kebas untuk tahan sakit dan perlu menunggu 30 minit sebelum ia memberi kesan, barulah rawatan boleh dilakukan.

SUNTIKAN rejuran inovasi dalam merawat parut menggunakan DNA salmon.
SUNTIKAN rejuran inovasi dalam merawat parut menggunakan DNA salmon.

“Jadi apabila ada pesakit berusia 3 tahun dibawa keluarganya untuk laser kulit, secara peribadi saya terpaksa memberi opsyen lain kerana memikirkan kesesuaian daripada segi kesabaran kanak-kanak itu perlu menunggu lama untuk prosedur terbabit.

“Selain itu, saya bimbang kanak-kanak ini tidak dapat menangani kesan sampingan daripada prosedur rawatan seperti rasa kurang selesa selepas rawatan selain disiplin aspek penjagaan remeh,” katanya.

Menjelaskan bagi rawatan parut, purata bagi masalah parut biasa seperti parut jerawat, menjalani lima hingga lapan sesi sudah boleh lihat perubahan pada kulit.

PARUT timbul boleh jadi setempat atau yang tersebar (keloid).
PARUT timbul boleh jadi setempat atau yang tersebar (keloid).

Malah untuk mereka berkemampuan selain mempunyai keperluan khas seperti yang ada masalah ekzema, kata Dr Nazelia terdapat revolusi terbaru iaitu penemuan estetik dari Korea iaitu ‘polynucleotide’ iaitu sel DNA (asid deoksiribonukleik) dari ikan salmon membantu mempercepatkan proses pemulihan kulit menerusi kaedah merangsang kolagen.

“Rawatan ‘booster’ lebih pantas dan tidak dinafikan mahal berbanding dengan prosedur rawatan lain tetapi manfaat bukan sahaja merawat parut dengan lebih efektif ia juga membantu mereka yang berisiko mengalami komplikasi rawatan daripada laser boleh memilih kaedah ini.

REMAJA sensitif dengan parut jerawat.
REMAJA sensitif dengan parut jerawat.

“Datang dalam bentuk gel, ia akan disuntik kepada bahagian parut dan biasanya boleh lihat perubahan tekstur kulit lebih baik kerana dalam peranan merawat parut ia juga membantu mengimbangi masalah minyak pada muka selain mengekalkan kelembapan kulit.

“Kalau dulu kaedah kita dengar menerusi rawatan plasenta, tetapi bagi rawatan ‘booster’ yang menggunakan DNA salmon ini lebih baik dan halal.

“Malah mereka mengambil suntikan ini tidak akan mengalami masalah seperti rasa kulit kasar seperti ‘kertas pasir’ atau rasa gatal kesan sampingan kulit lama mengelupas gantikan kulit baru (baby skin) seperti mereka menjalani rawatan lazer,” katanya merujuk hanya ada kesan suntikan boleh ditutup dengan solekan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 6:30 AM