PARUT tenggelam.
PARUT tenggelam.
Nor 'Asyikin Mat Hayin


PARUT boleh menyebabkan individu menjadi kurang keyakinan, lebih-lebih lagi jika kewujudannya di bahagian yang boleh dilihat orang ramai.

Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif MSU Medical Centre, Prof Dr Arman Zaharil berkata, lazimnya parut terjadi selepas berlaku luka di bahagian kulit.

Menurutnya, dalam proses penyembuhan luka, parut adalah proses ketiga iaitu proses yang terakhir.

"Ia adalah proses dinamik yang berlaku sehingga parut matang dalam tempoh enam bulan hingga setahun selepas luka sembuh.

"Parut boleh diklasifikasikan berdasarkan teksturnya. Ada parut timbul (hypertrophy), parut leper, renggang (widespread), berbunga-bunga (keloid) dan tenggelam (ice pick)," katanya.

Ditanya adakah parut boleh hilang dengan sendirinya, beliau berkata, parut yang terbentuk tidak boleh hilang, tetapi kesannya boleh dikurangkan atau disorok di tempat senang disembunyikan daripada pandangan.

"Contoh, di dalam rambut, hidung atau mulut. Selain itu, ingin saya tegaskan pembedahan plastik tanpa meninggalkan parut adalah tidak benar.

"Namun, rawatan ini boleh mengurangkan kesan parut, lebih-lebih lagi apabila rawatan laser ini digunakan untuk merawat parut tidak normal seperti parut timbul dan parut bunga-bunga," katanya.

Menurut Dr Arman, selepas luka sembuh, terdapat rawatan parut untuk mengurangkan kesannya.

PARUT timbul.
PARUT timbul.

"Antara cara yang mudah ialah dengan melembapkan parut menggunakan pelembap atau gel silikon.

"Atau boleh gunakan apa-apa jenis pelembap, tetapi lebih baik jika gel silikon," katanya.

Dr Arman berkata, gel silikon boleh memerangkap kelembapan kulit. Oleh itu, kulit atau parut akan sentiasa menjadi lembap.

"Melalui cara ini, ia dapat mengurangkan pudar dan mematangkan kesan parut dengan lebih cepat," katanya

Menyentuh rawatan bagi parut timbul, beliau berkata, ada dua jenis parut timbul iaitu hypertrophy dan keloid.

"Semasa parut ini belum membesar, kami sarankan jalani rawatan terapi tekanan menggunakan kaedah 'pressure garments' atau pakaian yang ketat serta mengurut parut.

PARUT renggang.
PARUT renggang.

"Kaedah mengurut parut bukan dilakukan sekali seminggu oleh tukang urut, sebaliknya, pesakit melakukan sendiri urutan ini di rumah setiap hari
iaitu selama 15 hingga 30 minit. Memadai dalam tempoh ini dan lakukan sehingga parut tenggelam atau rata semula," katanya.

Menurutnya, bagi parut berbunga-bunga, rawatan paling berkesan ialah menggunakan suntikan steroid.

Bagaimanapun, kata Dr Arman, rawatan itu perlu dilakukan berulang sehingga kesan parut menjadi rata.

"Tidak dinafikan suntikan ini ada kesan sampingan, tetapi pada tahap minimum kerana dos steroid digunakan adalah terlalu rendah.

PARUT berbunga-bunga.
PARUT berbunga-bunga.

"Oleh itu, pesakit jangan takut untuk mendapatkan rawatan berkenaan. Tambahan pula, rawatan dilakukan oleh pakar berkelayakan," katanya.

Selain itu, ada tanggapan menganggap makan kicap menyebabkan parut menjadi hitam.

"Stigma ini masih diperkatakan hingga kini dan sebenarnya ia adalah mitos semata-mata. Setakat ini, tiada penemuan daripada kajian saintifik membuktikan perkara berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 6:40 AM