ASPEK keselesaan turut diambil kira.  FOTO: Ihsan Siti Nadiah Ahmad Zamlus
ASPEK keselesaan turut diambil kira. FOTO: Ihsan Siti Nadiah Ahmad Zamlus
Hartini Mohd Nawi

MEMBELA 10 ekor kucing bukan halangan buat pencinta pokok hiasan ini untuk menata hias ruang kediamannya dengan gaya pilihan sejuk mata memandang.

Baginya ilmu penataan dan mengambil tahu karakter haiwan itu juga penting supaya idea dekorasi yang dizahirkan benar-benar menarik tanpa diganggu gugat si comel.

"Waktu mula-mula nak tanam pokok, macam-macam kisah kami dengar betapa tak serasinya pokok dengan kucing.

"Ada kisah kucing makan daun, kucing pecahkan pasu. Tapi kami tetap cuba, sebab tak cuba tak tahu kan? Tak sangka hampir setahun pokok-pokok hiasan memenuhi ruang dalam rumah, kucing-kucing saya memang tak ganggu.

"Antara sebabnya ialah kami sediakan barang mainan yang cukup dan ada pokok yang boleh si comel makan, pokok khas untuk kucing," nada ceria Siti Nadiah saat memulakan bicara bagaimana pokok hiasan itu tidak diganggu kucing-kucingnya.

Ternyata terapi yang lahir daripada ruang dalaman yang unik dengan aura semula jadi itu membuatkan kediaman milik Siti Nadiah Ahmad Zamlus, 35 dan suami Mohd Noor Farid Mohd Alwi, 35, nyata punyai keindahan tersendiri.

TETAMU yang bertandang pasti teruja dengan idea dekorasi ini.
TETAMU yang bertandang pasti teruja dengan idea dekorasi ini.

HIJAU di segenap ruang.
HIJAU di segenap ruang.

Menceritakan detik awal sebelum ruang dalaman kediamannya itu tampak berbeza seperti sekarang, Siti Nadiah mengakui dia dan suami gemar melihat pokok-pokok hijau di kafe dan hotel.

"Hobi kami pun memang akan cari kafe atau hotel yang unik ada hiasan dalaman pelik tak macam hotel biasa. Salah satu ciri-cirinya adalah dihias dengan pokok-pokok yang menghijau.

"Jadi untuk rumah, bermula tahun lepas (2019), emak bagi hadiah pokok lidah mertua. Nak tak nak, kena juga jaga pokok tu dalam rumah.

"Bermula dari situ terus yakin untuk tanam lagi banyak pokok dalam rumah walaupun ramai yang kata susahnya nak tanam sebab takut cahaya tak cukup.

PENJAGAAN untuk setiap tanaman juga menjadi keutamaan Siti Nadiah dan suami.
PENJAGAAN untuk setiap tanaman juga menjadi keutamaan Siti Nadiah dan suami.

RUANG tampil sempurna dengan penataan unik.
RUANG tampil sempurna dengan penataan unik.

SAUJANA hijau di segenap ruang kediaman Siti Nadiah.
SAUJANA hijau di segenap ruang kediaman Siti Nadiah.

"Oleh sebab rasa yakin dan ditambah dengan info yang dibaca melalui buku, Google dan media sosial, akhirnya sekarang ada lebih 50 pokok dalam rumah sahaja. Dekat bahagian luar (balkoni) ada pokok-pokok keladi dalam 10 pokok," kata anak kelahiran Temerloh, Pahang ini.

Malah katanya pokok hiasan itu turut dibeli di nurseri yang terletak di Sungai Buloh, Selangor dan bagi pokok 'pelik,' lain dari yang lain biasanya dia membeli di atas talian seperti di Instagram.

Baginya, jika sudah mula menanam pokok, pelbagai aspek perlu diambil kira dari segi karakter dan penjagaan. Ini bagi mengekalkan keindahan pokok bukan hanya selepas beberapa hari dibeli saja.

"Nak tanam pokok ni bukan sekadar minat atau ikut-ikutan, tapi kita kena belajar.

"Termasuklah dari Internet, buku dan paling penting pengalaman daripada orang yang tanam pokok.

AKSESORI hiasan lebih kelihatan unik dengan kehadiran tanaman menjalar.
AKSESORI hiasan lebih kelihatan unik dengan kehadiran tanaman menjalar.

"Sebab tanpa ilmu itu, mungkin pokok yang kita sayang itu akan mati. Sekarang dalam Facebook pun dah ada kumpulan pasal pokok hiasan dalam rumah, dari situ ramai yang akan berkongsi pengalaman," katanya.

Memperincikan reka letak pokok hiasan, kata Siti Nadiah, dia dan suami menata hias segenap ruang dalaman kondominium itu dengan tanaman hidup.

Tambahan pula hobi menanam pokok dalam rumah ni sebenarnya hasil kerjasama mereka berdua.

"Kami kongsi pokok apa yang kami suka, pergi kedai pokok sama-sama, tanam dan susun atur pun dibuat dengan idea satu sama lain.

"Pada masa sama, hobi ini pun mampu eratkan hubungan satu sama lain. Sekarang balik rumah pun sangat menyeronokkan sebab kepala yang berat selepas seharian kerja pun jadi ringan tengok pokok-pokok yang hijau dalam rumah," katanya yang bekerja sebagai wartawan.

SITI Nadiah dan suami berkongsi minat yang sama.
SITI Nadiah dan suami berkongsi minat yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2020 @ 7:02 AM