Kuala Lumpur: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengkaji cadangan untuk menggunakan wang zakat bagi menebus semula tanah rizab orang Melayu yang tergadai.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata, satu kajian akan dilakukan dan cadangan terbabit akan dibawa kepada majlis fatwa negeri untuk dibincangkan.

“Bila ada cadangan seperti ini, kita kena bawa ke majlis fatwa negeri untuk dibincangkan...sekiranya ia ke arah kemaslahatan (faedah) umat, satu kajian harus dilakukan. Buat masa ini, di negeri Selangor belum lagi mempraktikkannya,” katanya pada majlis penyerahan sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS, di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas cadangan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pada 27 Oktober lepas supaya wang zakat digunakan untuk menebus semula tanah rizab Melayu yang tergadai agar keluasannya tidak berkurangan.

Menurut Harussani, walaupun wang zakat tidak boleh digunakan bagi tujuan selain daripada membantu golongan asnaf yang layak, dalam keadaan sekarang, wang zakat boleh digunakan.

Pada hari yang sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilaporkan sebagai berkata, cadangan itu wajar dikaji setiap majlis agama Islam negeri kerana ia amat praktikal dalam menjaga hartanah orang Melayu.

“Satu cadangan yang amat praktikal dalam menjaga hartanah orang Melayu, tetapi kita perlu ingat hak zakat dan baitulmal termaktub di bawah hak kerajaan negeri,” kata Jamil Khir.

Terdahulu, Mohamed Izam mewakili LZS menyerahkan bantuan zakat RM1.2 juta kepada tabung kebajikan pesakit di 13 hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bagi meringankan beban pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Farida Mohd Ali.

Farida ketika berucap pada majlis yang sama berkata, Kementerian Kesihatan menggalakkan pembabitan lebih banyak badan korporat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 4:00 AM