REKAAN dalaman moden dan selesa.
REKAAN dalaman moden dan selesa.
Hafiz Ithnin


Uda Holdings Berhad (Uda) peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset merangkumi pelaburan dan pengurusan harta, hospitaliti serta pengurusan fasiliti yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menyasarkan pelancaran apartmen servis ruang niaga fasa pertama Neu Pendington pada awal tahun depan.

Apartmen servis 25 tingkat yang adalah sebahagian daripada pembangunan Neu Pendington iaitu pembangunan bersepadu pertama di Sarawak itu menawarkan 347 unit kediaman dengan tiga jenis keluasan iaitu 650 kaki persegi (dua bilik tidur) serta 850 dan 1,100 kaki persegi (tiga bilik tidur).

Manakala ruang niaga dua tingkat yang mempunyai 30 unit itu berkeluasan 1,292 kaki persegi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Uda Datuk Sr Mohd Salem Kailany berkata, Uda sentiasa optimis memacu pembangunan hartanah serta meningkatkan urbanisasi dalam membentuk komuniti inklusif.

"Seiring perkembangan dalam perniagaan, Uda mengambil langkah proaktif melebarkan sayap ke Sarawak dalam usaha menggalakkan pemilikan hartanah seterusnya merancakkan lagi ekonomi setempat.

"Bagi menzahirkan hasrat itu, Uda komited menggiatkan pelaksanaan pembangunan Neu Pendington. Projek apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama itu mendapat kelulusan merancang dan kejuruteraan (AVTC) daripada State Planning Authority. Manakala kerja tanah dan infrastruktur bermula pada akhir Mei lalu," katanya.

Jelasnya, UDA turut menyasarkan jualan 30 peratus unit apartmen servis dan ruang niaga fasa pertama itu pada tahun depan.

Setakat ini, pendaftaran bagi unit kediaman berkenaan dibuka dan ia menerima sambutan menggalakkan khususnya daripada warga tempatan.

"Inisiatif Uda mewarnai pembangunan bandar Kuching ini selari dengan penjenamaan Uda iaitu 'L.I.F.E.' yang menekankan kepada ciri-ciri Legasi, Integrasi, Ketelitian dan Memperkasa seterusnya bergerak ke arah kelestarian.

"Apartmen servis Neu Pendington juga menawarkan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, kolam mandi kanak-kanak, jakuzi, gimnasium, trek joging, ruang dobi, tandas, bilik persalinan dan 'sky garden' (taman di atas bangunan)," katanya.

Selain itu, ia terletak di lokasi strategik berdekatan kawasan industri Pending Heights dengan akses mudah iaitu lima kilometer dari bandar Kuching, dua kilometer (km) dari Borneo Convention Centre Kuching, 10km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan 24km dari Kota Samarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 6:45 AM