Pemaju hartanah, Kumpulan JL99 memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM709 juta bagi membangunkan projek mega fasa kedua JL Legacity @ KL North.
Projek 99 Legend itu membabitkan pembangunan servis apartmen yang menampilkan 55 fasiliti mewah pada harga berpatutan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff Lee berkata, projek itu dibangunkan di tanah berkeluasan 1.71 hektar dengan mempunyai 1,214 unit kediaman 57 tingkat termasuk lima penthouse.
Katanya, ia sebahagian daripada keseluruhan pembangunan JL Legacity yang terletak di Jalan Kuching bersebelahan bulatan Batu Caves atau lebih dikenali sebagai KL North.
"Projek fasa pertama kami iaitu 99 Residence kini hanya tinggal 35 unit belum terjual dan dijangka siap dibina hujung tahun ini.
"Bagi 99 Legend pula, binaan cerucuk sudah mula dijalankan pada tahap 50 peratus dan projek itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 48 bulan (menjelang 2027)," katanya.
Menurutnya, harga Perjanjian Jual beli (SPA) bermula dari RM478,250 bagi kediaman berkeluasan 735 kaki persegi; 880 kaki persegi (RM572,500); 1,050 kaki persegi (RM689,150) dan 1,152 kaki persegi (RM761,320).
Beliau berkata, harga bayaran bulanan RM1,900 hingga RM3,000 dan pembeli Bumiputera boleh menikmati insentif antara enam hingga lapan peratus.
"Setiap unit kediaman yang mempunyai dua hingga empat bilik mengikut spesifikasi itu disediakan dua hingga tiga lot parkir manakala 'Crown Penthouse' disediakan lima hingga 10 parkir.
"Selain 20 Unique Selling Point (USP), 99 Legend dilengkapi teknologi canggih luar negara seperti butang lif tanpa sentuh, pengecaman plat kereta (tanpa kad akses), bilik simpanan penghantaran makanan dan bungkusan tanpa interaksi kurier penghantaran, ruang pengecasan kenderaan elektrik (EV) dan penapis air berpusat, " katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut memperuntukkan RM20 juta bagi membina 'flyover' eksklusif bagi memudahkan akses penghuni dan pelawat melalui Jalan Lingkaran Tengah Kedua (MRR2).
"Selain itu, dua kolam renang khas iaitu Iconic Shark Beach bertemakan Pantai Bersama Pasir dan Exclusive Rooftop Infinity Sky Pool dengan pemandangan KLCC.
"Menerusi projek ini, kami turut menyediakan dua kali cabutan bertuah 'You can be a millionaire' berjumlah RM3 juta kepada pembeli bagi memenangi wang tunai masing-masing RM1 juta," katanya.
Lee berkata, kumpulan secara keseluruhannya memperuntukkan GDV berjumlah melebihi RM2 bilion bagi pembangunan JL Legacity termasuk fasa ketiga membabitkan pembangunan bercampur.