ONG ketika melawat tapak projek di Kelana Jaya.
ONG ketika melawat tapak projek di Kelana Jaya.

GLOMAC Bhd, optimis projek pembangunan bercampurnya, Plaza Kelana Jaya membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM347 juta akan siap sepenuhnya menjelang suku keempat tahun ini.

Pengurus Besar Kanan, Projek Glomac, Ong Chee Howe berkata, projek itu mula dibangunkan pada 2018 dan setakat ini 85 peratus sudah siap.

Katanya, Plaza@Kelana Jaya mempunyai dua blok kediaman 31 tingkat membabitkan 696 unit apartmen servis dan 16 unit kedai pejabat.

"Saiz unit kediaman antara 450 hingga 750 kaki persegi dan hampir 90 peratus daripadanya sudah habis terjual.

"Kami tidak menyangka mendapat sambutan pembeli rumah terutama unit yang bersaiz 450 kaki persegi habis terjual.

"Projek ini yang pertama di bawah Glomac menawarkan pejabat kecil rumah kecil (Soho) berkeluasan 450 kaki persegi, tetapi kami tampilkan dengan rekaan unit kediaman serta mempunyai dua bilik.

"Unit ini disasarkan kepada golongan muda yang mahu membeli hartanah kediaman di kawasan bandar pada harga mampu milik atau untuk pelabur yang mahu menyewakannya kepada pelancong dengan kadar harian.

"Selain itu, semua unit Soho kami yang menghadap pemandangan tasik dan padang golf habis dibeli sepenuhnya.

"Menariknya, pembangunan ini berstatus bebas pegangan," katanya kepada media sempena sesi lawatan tapak projek Plaza@Kelana Jaya di sini.

Menurutnya, antara kemudahan yang ditawarkan di Plaza@Kelana Jaya termasuk kolam renang dewasa dan kanak-kanak, jakuzi, taman permainan, gelanggang separuh untuk futsal, laluan joging, gimnasium, surau, bilik bacaan dan ruang untuk tadika dan taska.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 7:00 AM