AKTA sewaan kediaman dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan sewaan kediaman.
AKTA sewaan kediaman dapat membantu menyelesaikan masalah berkaitan sewaan kediaman.
Muhamaad Razis Ismail


PADA Mac lalu, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Sewaan Kediaman dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata, akta itu akan mengawal masalah yang wujud dalam sektor sewaan kediaman yang pada ketika ini tiada undang-undang khusus membuat pemantauan.

Antara perkara terkandung dalam RUU yang dirangka adalah berkaitan perjanjian sewaan kediaman, tanggungjawab penyewa dan pemilik rumah serta tindakan penguatkuasaan.

Selain itu, RUU ini turut menyediakan prosedur tindakan dan mekanisme penyelesaian sekiranya wujud sebarang pertikaian dalam urusan sewaan kediaman.

Langkah ini dilihat memberi sinar baharu dalam mewujudkan garis panduan lebih jelas berkenaan sewaan kediaman, sekali gus dapat menyelesaikan konflik berpanjangan pemilik dan penyewa.

Mengulas lanjut berkenaan perkara itu, Pensyarah Bidang Harta Tanah Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Sr Muhamad Saiful Alizan Nordin berkata, akta sewaan kediaman perlu disegerakan memandangkan pemilikan rumah berada pada tahap kritikal, sewaan menjadi alternatif utama bagi ramai individu dan keluarga di Malaysia.

"Sekiranya alternatif (sewaan) ini tidak dilindungi pelaksanaannya, masalah yang dihadapi pada hari ini akan berterusan.

"Ia termasuk harga sewa dan keluasan ruang sewaan yang tidak masuk akal, pertikaian tanggungjawab pemilik dan penyewa serta konflik antara pemilik dan penyewa," katanya.

MENYEWA rumah menjadi alternatif utama bagi ramai individu dan keluarga di Malaysia.
MENYEWA rumah menjadi alternatif utama bagi ramai individu dan keluarga di Malaysia.

Menurutnya, penyewa perlu menganggap rumah sewa seperti rumah sendiri dan bertanggungjawab memastikan premis digunakan dalam keadaan baik serta memenuhi semua tanggungjawab yang digariskan.

"Pemilik dan bakal pemilik pula perlu sedar, pelaburan harta tanah membabitkan pengurusan keuntungan serta risiko jangka panjang.

"Jadi, kedua-dua aspek ini perlu ditekankan supaya nasib penyewa dan pemilik rumah sama-sama dapat dibela," katanya.

Beliau berkata, sekiranya akta ini dapat diwujudkan, banyak permasalahan berkaitan sewaan kediaman dapat diatasi, sekali gus menjadikan pasaran sewaan lebih stabil.

KINI pemilik dan penyewa dilindungi hak mereka melalui Perjanjian Penyewaan.
KINI pemilik dan penyewa dilindungi hak mereka melalui Perjanjian Penyewaan.

"Melalui akta sewaan kediaman, terma kontrak penyewaan dibuat mengikut garis perundangan.

"Pada masa sama, konflik pemilik-penyewa dapat dilunaskan mengikut saluran perundangan yang betul," katanya.

Jelasnya, sehingga kini tiada akta spesifik berkaitan sewaan di negara kita.

"Sejak ia dimansuhkan, tiada lagi pihak mengawal harga sewa di Malaysia. Pemilik dan penyewa dilindungi hak mereka melalui Perjanjian Penyewaan (Tenancy Agreement).

DAPAT membela pemilik rumah yang mempunyai penyewa dari ‘neraka’.
DAPAT membela pemilik rumah yang mempunyai penyewa dari ‘neraka’.

"Memandangkan tiada akta khusus, terma perundangannya masih kabur dan tidak seragam serta memungkinkan berlaku penganiayaan kepada salah satu atau kedua-dua pihak," katanya.

Katanya, kesalahan utama yang biasa dilakukan berkaitan sewaan kediaman apabila pemilik dan penyewa mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

"Penyewa biasanya melakukan beberapa kesalahan seperti culas membayar sewa, tidak menjaga harta kediaman dengan baik seperti merosakkan struktur rumah.

"Di pihak pemilik pula, kebiasaannya mereka tidak mengambil endah mengenai setiap aduan berkaitan tanggungjawab tuan rumah. Malah, ada juga yang mengabaikan membayar cukai pintu, cukai tanah sehingga rumah terpaksa disita," katanya.

Justeru itu, beliau berharap RUU akta sewaan yang bakal dibentang ini dapat merangkumi keseluruhan fasa penyewaan (Pra Penyewaan, Semasa Penyewaan dan Pasca penyewaan).

RUU sewaan kediaman dijangka dibentang tahun depan sedia mekanisme penyelesaian pertikaian urusan sewaan.
RUU sewaan kediaman dijangka dibentang tahun depan sedia mekanisme penyelesaian pertikaian urusan sewaan.

"Akta ini perlu dilaksanakan segera untuk melindungi kedua-dua pihak iaitu pemilik dan penyewa.

"Nasib penyewa dapat terbela dan tidak lagi dianiaya dengan terma yang tidak munasabah manakala pemilik juga dilindungi dari sebarang kerugian serta tidak mengaut untung yang berlebihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:30 AM