APARTMEN kos sederhana cukup strategik di Bandar Tasik Permaisuri Cheras.
APARTMEN kos sederhana cukup strategik di Bandar Tasik Permaisuri Cheras.
Nurul Husna Mahmud


KETIKA Nur Aliah Mohd Nor, 29, membeli rumah pertamanya di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras, dia melihat prospek hartanah itu sebagai pelaburan.

Katanya, kedudukan apartmen tiga bilik berkeluasan 650 meter persegi itu cukup strategik kerana dalam kawasan ibu kota Kuala Lumpur selain dikelilingi pelbagai kemudahan penting dari sekolah, bangunan kedai sehinggalah akses pengangkutan awam.

Meskipun unit sekunder, kata Nur Aliah, dia percaya pelaburan lebih RM200,000 bagi mendapatkan rumah itu satu pelaburan baik bagi menjana hasil bulanan pasif yang lebih baik untuk masa depan.

"Saya membeli unit ini dengan bantuan ejen hartanah, Muhammad Syamim Munizar, 30. Beliau pada saya antara ejen hartanah yang terbaik kerana bukan sahaja membantu penjualan unit, malah turut memberi nasihat dalam pembelian rumah.

"Maklumlah saya ini usahawan dan perniagaan ada pasang surutnya. Apabila saya membuat pembelian aset, saya mahu rumah itu boleh jana keuntungan dan sebagai sokongan berbanding bebanan kewangan.

RUANG rumah masih dalam keadaan baik dijaga pemilik dahulu.
RUANG rumah masih dalam keadaan baik dijaga pemilik dahulu.

"Pada saya penting sekali dalam pembelian rumah ialah memastikan komitmen bulanan pembiayaan tidak membebankan sehingga 'menyedut' simpanan sedia ada," katanya yang juga pengasas platform 'mentoring' usahawan digital Chettakiomey itu.

Tambah Nur Aliah, dalam memiliki hartanah, dia turut melatih diri segi disiplin bagi mengukur kemampuan diri dalam komitmen bulanan bagi pembiayaan rumah.

"Sebenarnya bank boleh beri semaksimum mungkin pinjaman, tetapi bakal pemilik rumah perlu ada kesedaran dan 'ukur baju di badan sendiri.' Pengalaman saya sebelum membeli unit ini, saya kukuhkan simpanan selain kemas kini komitmen sendiri setiap bulan.

"Jika saya sasarkan unit hartanah dengan harga tertentu, saya mula buat anggaran iaitu persiapan deposit setidak-tidaknya 30 peratus daripada harga rumah kemudian latih diri menyimpan setiap bulan kadar pembiayaannya.

KEMUDAHAN parkir masih selesa.
KEMUDAHAN parkir masih selesa.

"Selepas setahun tiada isu seperti 'terganggu' jadual pembayaran, baru saya buat tinjauan harga rumah bersesuaian dengan kemampuan, " katanya.

Menjelaskan mengenai keistimewaan rumah dibelinya itu, selain kedudukan, kata Nur Aliah, persekitaran termasuk kejiranan menjadi elemen yang dipertimbangkan.

NUR ALIAH bersama unit kediaman dibeli.
NUR ALIAH bersama unit kediaman dibeli.

"Sebenarnya pembelian rumah bagi setiap individu sangat subjektif dan mengikut cita rasa masing-masing. Saya juga lebih lihat persekitaran sama ada selamat atau kejiranan yang harmoni.

"Maklumlah saya ini bujang dan pengalaman kurang menyenangkan ketika duduk di flat membuatkan saya lebih teliti mengenai rumah bagaimana yang perlu dibeli meskipun sebagai pelaburan.

"Saya letakkan kedudukan saya di tempat penyewa terutama sudah berkeluarga di mana ciri-ciri keselamatan sebagai keutamaan. Itu antara 'bonus point' unit hartanah saya mendapat permintaan bakal penyewa," katanya.

RUANG bermain penduduk.
RUANG bermain penduduk.

Dalam memiliki kelebihan itu, kata Nur Aliah, tidak menolak cabaran mendapatkan penyewa antara yang dihadapinya.

"Saya cuba iklankan sendiri untuk penyewaan, tetapi sukar temui sehingga saya menghubungi ejen yang biasa saya berurusan.

"Dia bantu cari penyewa dan kemudian cabaran lain iaitu kerenah penyewa apabila tahu tuan rumah bujang dan perempuan, mereka ini akan ambil mudah.

"Saya belajar hadapi ragam mereka dan lebih bersikap tegas terutama dalam peraturan penyewaan seperti termaktub jelas dalam kontrak.

"Penting untuk pastikan bagi pihak saya iaitu pemilik dan penyewa jelas dengan tanggungjawab masing-masing supaya menghormati hartanah disewa," katanya.

Meskipun ia rumah 'lama' kata Nur Aliah, rumah itu dijaga baik pemilik sebelumnya dan dia hanya melakukan kerja menghias bagi keselesaan penyewa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 6:00 AM