KEDIAMAN jenis teres setingkat di Rimbun Aman menawarkan harga mampu milik.
KEDIAMAN jenis teres setingkat di Rimbun Aman menawarkan harga mampu milik.
Hafiz Ithnin


TINGGAL di kawasan bandar sudah semestinya memberi kelebihan dari segi gaya hidup, akses mudah ke tempat kerja dan pengangkutan awam yang lebih banyak.

Berdasarkan Laporan PropertyGuru DataSense pada suku pertama tahun lalu, gaya pembelian hartanah mula beralih ke kawasan luar bandar atau sub bandar.

Seremban, Negeri Sembilan turut menjadi lokasi perhatian pembeli hartanah dan populasi penduduknya semakin berkembang kerana ia terletak berhampiran ibu negara.

Justeru, sebagai pemaju hartanah, IJM Land baru-baru ini memperkenalkan kepada pembeli projek rumah teres setingkat di Rimbun Aman iaitu di sekitar pembangunan bersepadu, Seremban 2.

Harga ditawarkan bermula RM350,000 dengan keluasan bermula 971 hingga 1,135 kaki persegi. Setiap unit didatangkan dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Pengurus Besar Kanan Wilayah Tengah IJM Land, Datuk Hoo Kim See berkata, pada tahun ini juga IJM Land bakal melancarkan rumah teres dua tingkat iaitu Arena dan kedai dua tingkat, Ikon.

"Bersandarkan data yang diperoleh mengenai demografi pembelian rumah menunjukkan 78 peratus pembeli dari Negeri Sembilan, diikuti Selangor dan Kuala Lumpur 15 peratus yang turut menunjukkan gaya peningkatan. Selebihnya tujuh peratus dari negeri lain.

"Kadar transaksi di kawasan itu juga meningkat 39 peratus pada tahun lalu berbanding 2020. Minat pembeli juga mula berubah kepada hartanah yang lebih luas. Ia sekali gus memberi kesan kepada sambutan di Seremban," katanya.

DILENGKAPI kemudahan hijau untuk beriadah.
DILENGKAPI kemudahan hijau untuk beriadah.

Jelasnya, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, mereka yang tinggal di kondominium atau apartmen mempunyai pergerakan terhad di rumah sendiri.

"Jadi, pembeli mula beralih mencari hartanah teres yang menawarkan ruang peribadi lebih luas.

"Bagaimanapun, apa yang kami tawarkan di kawasan ini berbeza dari Kuala Lumpur iaitu ia terletak dalam pembandaran bersepadu untuk meningkatkan kualiti kehidupan penduduk," katanya.

Tambahan pula, Seremban 2 juga terletak di kawasan strategik terutama jaringan lebuh raya utama yang berdekatan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

Tidak sekadar itu, lokasi berkenaan juga mempunyai kemudahan komersial dan peruncitan yang sudah beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 7:00 AM