Muhamaad Razis Ismail
razis@mediaprima.com.my


SEJAJAR dengan keadaan semasa, pemaju hartanah, IJM Land Berhad melancarkan pembangunan perumahan mampu miliknya yang terkini iaitu Rimbun Aman di Seremban 2 Heights yang memenuhi kehendak pembeli rumah dengan pakej yang lengkap.

Dibina di atas tanah seluas 16.9 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM125 juta, Rimbun Aman menawarkan 304 unit rumah teres satu tingkat dengan pegangan bebas pada harga bermula RM350,000.

Dengan lokasi yang strategik di dalam perbandaran Seremban 2, Negeri Sembilan yang semakin berkembang pesat, ia menawarkan kemudahan moden dan kemudahan bandar sambil mengekalkan ketenangan suasana sekeliling.

Rimbun Aman menawarkan kemudahan yang terbaik termasuk pusat kesihatan dan perubatan, kemudahan pendidikan, pusat komersial dan pusat membeli-belah terletak di kawasan persekitaran yang kondusif.

Seiring dengan seruan kerajaan untuk mewujudkan masyarakat sihat, Rimbun Aman juga berdekatan dengan kemudahan seperti S2 Club, Hill Park dan City Park serta Kepayang Hill.

Perjalanan berulang-alik ke Kuala Lumpur setiap hari kini akan menjadi lebih mudah, dengan adanya kemudahan akses keluar masuk tol yang menghubungkan pelbagai jalan utama terus ke Lebuhraya Utara Selatan selain jalan bebas tol yang berhubung terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2, hanya mengambil masa lebih kurang 45 minit.

Projek ini dilaksanakan untuk meringankan beban pembeli rumah, terutamanya mereka yang membeli hartanah buat kali pertama dan sesuai untuk keluarga muda moden.

Ia juga menepati cita rasa ibu bapa yang kini hanya tinggal berdua di mana mereka mampu memiliki rumah idaman dengan ruang yang praktikal dan lebih selesa.

Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, Datuk Hoo Kim See berkata, Rimbun Aman mencapai jualan yang amat memberangsangkan dalam masa dua hari pelancarannya.

PERUMAHAN yang sesuai untuk seluruh peringkat usia.
PERUMAHAN yang sesuai untuk seluruh peringkat usia.

Katanya, Perbandaran Seremban 2 amat mengalu-alukan kalangan keluarga untuk mencipta kenangan mereka di sini, lengkap dengan segala kemudahan yang diperlukan, menjadikan perbandaran Seremban 2 adalah tempat yang ideal untuk semua.

"Sebagai sebuah perbandaran yang pernah memenangi anugerah perbandaran terancang, pemilik Rimbun Aman akan menikmati pelbagai faedah dari segi kemudahan fasiliti yang disediakan.

"Rimbun aman bukan sahaja sebuah projek yang menjadi pilihan segenap peringkat usia, malah kadar pulangan masa hadapan yang baik juga adalah antara faktor utama untuk pembeli memiliki rumah di sini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyedari ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pembelian hartanah membabitkan komitmen tinggi.

"Prihatin dengan keadaan kewangan masyarakat, pembeli tidak perlu menanggung sebarang kos kemasukan, kerana semua kos seperti yuran undang-undang, duti setem untuk SPA dan pinjaman akan ditanggung oleh IJM Land.

"Selain itu, IJM Land juga menyediakan pakej pembayaran bulanan di mana pembeli rumah akan diberikan RM500 setiap bulan dari bulan berikutnya pengeluaran pertama dari pemodal sehingga serahan pemilikan kosong untuk unit dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Julai 2021 @ 5:21 PM