TERLETAK di laluan utama bandar Johor Bahru.
TERLETAK di laluan utama bandar Johor Bahru.
Nurul Husna Mahmud


Lokasi yang strategik antara faktor penting yang dipertimbangkan dalam usaha memiliki rumah sama ada untuk diduduki mahupun sebagai pelaburan.

Ia termasuk tidak jauh dari tempat kerja, terletak dalam kawasan bandar selain dikelilingi kemudahan dan infrastuktur penting yang membantu memberi nilai tambah kepada hartanah terbabit.

Itu antara faktor diambil kira Nur Adibah Mohd Izam, 34, apabila membuat keputusan untuk memiliki unit di Residensi Prima Tebrau, Johor Bahru sebagai aset hartanah pertama meskipun bekerja di Kuala Lumpur ketika itu.

"Faktor utama saya memilih untuk membeli rumah di situ kerana lokasi atau kedudukannya dalam kawasan bandar.

KEMUDAHAN seperti taman kanak-kanak turut terdapat di kawasan perumahan berkenaan.
KEMUDAHAN seperti taman kanak-kanak turut terdapat di kawasan perumahan berkenaan.

"Terletak di laluan utama jalan bandar dan tidak jauh dengan pintu masuk sempadan Johor dan Singapura, saya jangkakan hartanah ini memberi kebaikan baik untuk diduduki atau sebagai pelaburan," katanya.

Tambah Nur Adibah, dia membeli rumah itu untuk dijadikan sebagai persinggahan atau kemudahan menginap apabila dia dan adik-beradiknya pulang ke kampung.

"Saya turut memikirkan perancangan membeli rumah di Johor itu sebagai kemudahan untuk keluarga jika saya dan adik-beradik ingin pulang ke kampung.

"Dari sudut pandangan lain ketika saya membeli rumah berkenaan, saya berharap ia boleh dijadikan rumah persaraan atau diduduki jika ingin menetap di Johor pada masa akan datang.

"Ketika ini disebabkan saya sudah berkahwin dan memiliki perniagaan di Selangor, rumah ini terpaksa disewakan terlebih dahulu. Saya jangkakan pulangan yang baik dapat diperoleh kerana kedudukan rumah ini yang strategik," katanya.

RUANG dalam unit rumah luas dan selesa.
RUANG dalam unit rumah luas dan selesa.

Kata Nur Adibah lagi, rumah yang memiliki keluasan sekitar 91 meter persegi itu juga selesa untuk dihuni bagi golongan berkeluarga.

"Rumah ini juga memiliki keluasan selesa bagi penghuni atau pemilik sudah berkeluarga. Mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan ada balkoni.

"Rumah ini juga dilengkapi infrastruktur seperti taman permainan awam, surau, trek riadah selain beberapa unit lot komersial.

"Penghuni rumah ini tidak perlu pergi jauh dan boleh menggunakan kemudahan itu. Ia bukan sahaja lebih selesa, malah aspek keselamatan juga terjamin kerana semua kemudahan berada dalam kawasan rumah," katanya.

Mengenai cabaran untuk memiliki rumah terbabit, kata Nur Adibah, proses untuk memiliki unit itu sebenarnya rumit kerana bekerja di Kuala Lumpur ketika itu.

"Ketika membeli rumah berkenaan pada 2017, saya masih bekerja di Kuala Lumpur. Saya banyak ulang-alik antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru bagi urusan rumah.

"Projek perumahan ini juga bawah inisiatif kerajaan, jadi ketika hari undian juga saya perlu turun ke Johor Bahru untuk mengetahui unit mana," katanya.

Cabaran lain turut hadapi dalam milikan rumah terbabit termasuk penyerahan kunci bagi unit kediaman terbabit baru sahaja dilakukan tahun lalu.

"Saya terima kunci baru pada tahun lalu selepas menandatangani perjanjian jual beli 2017.

"Projek ini tertangguh atas faktor tidak dapat dielakkan. Tetapi, saya lega kerana ia selesai dan saya boleh lakukan kerja ubah suai sebelum ia boleh diduduki atau disewa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 6:14 AM