ADA kemudahan kolam renang.
ADA kemudahan kolam renang.
Nurul Husna Mahmud

Turun naik pasaran hartanah dipengaruhi 'pasang surutnya' permintaan berbanding penawaran yang semestinya lebih tinggi ketika pandemik.

Bagi memastikan kelangsungan sektor hartanah dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, inisiatif diambil kerajaan, pemaju dan institusi kewangan ialah dengan menawarkan pelbagai rebat serta skim yang dapat menyokong milikan hartanah terutama pemilik rumah pertama seperti Azrizaila Mohd Zuki, 32.

Menurut Azrizaila yang juga kakitangan di sebuah bank di ibu negara, dia dan suami, Waseen Firdaus Mohamed Ibrahim, 32, sudah mencuba lebih dari tiga kali untuk membeli pelbagai jenis kediaman sebagai aset pertama sejak setahun yang lalu.

Hanya pada percubaan keempat iaitu pada Disember 2020 lalu, dia berhasil membeli sebuah unit kondominium berkeluasan 850 kaki persegi di Bangi, Selangor

"Saya dan suami memang merancang dalam tempoh setahun dua ini perlu ada rumah sendiri bagi membekalkan persekitaran yang sihat dan selesa untuk anak.

FASILITI iaitu taman permainan selesa bagi pemilik sudah berkeluarga.
FASILITI iaitu taman permainan selesa bagi pemilik sudah berkeluarga.

"Kami pernah menyewa kondominium kemudian berpindah ke rumah teres bagi memudahkan urusan menjaga arwah bapa mentua yang tinggal bersama kami ketika itu.

"Pengalaman berpindah-randah itu pada saya meletihkan dan apatah lagi memikirkan anak sulung bakal menginjak alam persekolahan tidak lama lagi. Jika berterusan menyewa pada saya ia tidak sihat untuk anak-anak selain terpaksa berpindah di kejiranan yang jauh dan baru ,"katanya.

Tambah Azrizaila, kos sewa yang makin meningkat juga antara faktor dia bertekad membeli kediaman sendiri. Katanya menyewa lebih lima tahun dengan kadar sewaan lebih RM1,000 sebulan dirasakan lebih berbaloi jika dilaburkan pada kediaman sendiri.

RUANG bilik tidur yang selesa.
RUANG bilik tidur yang selesa.

"Saya rasa tempoh lima tahun menyewa itu sudah cukup lama dan dengan situasi kewangan termasuklah gaji lebih stabil menyebabkan saya berasa satu keperluan untuk membeli kediaman sendiri.

"Namun, cabaran mula datang apabila tiga kali percubaan untuk pembelian rumah pertama tidak berjaya. Faktor komitmen tinggi selain gaji yang ada tidak mencukupi bagi melayakkan saya memiliki aset berkenaan. Sehinggalah bertemu dengan ejen hartanah sekarang yang sanggup membantu dalam menguruskan dokumen sehingga pembiayaan diluluskan," katanya.

TERDAPAT kemudahan gimnasium.
TERDAPAT kemudahan gimnasium.

Bagi pemilik rumah pertama sepertinya, banyak hal berkaitan pembelian hartanah kurang difahami terutama dalam urusan permohonan pembiayaan.

Dia tiada tempat rujukan sehinggalah ejen terbaru yang banyak memberi panduan terutama hal berkait dengan dokumentasi sekali gus melancarkan proses kelulusan pembiayaan perumahan.

"Tidak mudah disangka sebenarnya untuk membeli kediaman apatah lagi di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur kerana nilai hartanah tinggi. Kalau pembeli baru tiada tempat rujukan dan tiada langsung pengetahuan mengenai pembelian hartanah, mereka akan berdepan dengan pelbagai isu terutama hal berkait dengan pemohonan pembiayaan perumahan.

"Mujurlah situasi ketika ini pandemik, ejen yang menguruskan pembelian rumah saya memaklumkan terdapat skim tertentu dan juga rebat ditawarkan membolehkan saya layak membeli kediaman. Urusan pembelian kali ini dimudahkan apabila tiada deposit selain pelan pembayaran yang banyak memihak kepada pembeli," katanya.

AZRIZAILA dan suami mahu memiliki kediaman sendiri bagi menyokong perkembangan dan persekitaran lebih stabil untuk anak-anak.
AZRIZAILA dan suami mahu memiliki kediaman sendiri bagi menyokong perkembangan dan persekitaran lebih stabil untuk anak-anak.

Kata Azrizaila, lebih mengujakan kediaman itu turut memiliki fasiliti seperti kolam renang dan gimnasium selain terletak di kejiranan yang moden.

"Saya gembira dengan pilihan membeli kediaman ini kerana berada dengan lokasi dicari iaitu sebelah selatan Lembah Klang selain memiliki akses lebuh raya yang turut memudahkan urusan ulang alik ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

"Fasiliti ditawarkan termasuklah kolam renang, gimnasium dan juga kawalan keselamatan pintu masuk utama juga antara faktor saya membeli kediaman di sini," katanya.

Saranan Azrizaila, bagi bakal pemilik kediaman selain kerap melakukan tinjauan harga dan lokasi kediaman, mereka juga perlu tahu tahap kewangan dan persiapkan dokumen diperlukan dalam membantu mempercepatkan proses milikan hartanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Ogos 2021 @ 6:25 AM