RUANG tamu yang selesa.
RUANG tamu yang selesa.
Nurul Husna Mahmud


CAJ guaman bagi urusan pembelian rumah dilihat satu bebanan bagi pemilik rumah pertama meskipun ia unit kos rendah.

Pengalaman itu dikongsi Shaiful Rizuan Jeffri, 24, yang terpaksa membelanjakan tidak kurang RM9,000 untuk mendapatkan khidmat guaman bagi urusan pembelian kediaman pertamanya iaitu pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Permas Jaya, Johor Bharu pada Julai tahun lalu.

Kata Shaiful Rizuan, secara peribadi, nilai itu terlalu tinggi bagi membayar kos guaman terutama golongan atau pasangan muda yang mahu memiliki kediaman. Seharusnya ada rebat atau mekanisme tertentu dikaji terutama dalam kos guaman bagi pembeli rumah kos rendah atau rumah pertama.

"Realiti untuk pembeli rumah pertama, mereka perlu mempunyai simpanan yang kukuh untuk membeli rumah meskipun bagi rumah atau pangsapuri kos rendah.

"Harga pasaran untuk kediaman di bandar utama termasuk lokasi rumah saya iaitu di Bandar Permas Jaya, Johor Bharu, bagi pangsapuri kos rendah tidak kurang dari RM150 ribu dan itu cabaran bagi kami yang baru sahaja memulakan hidup berkeluarga atau bekerja.

RUANG dapur dalam kediaman Shaiful Rizuan.
RUANG dapur dalam kediaman Shaiful Rizuan.

"Pengalaman saya sendiri, terpaksa sediakan wang pendahuluan rumah kira-kira RM16 ribu. Kos guaman juga agak tinggi iaitu RM9,000 bagi saya yang membeli rumah kos rendah selain terpaksa menanggung kos urusan dengan kerajaan negeri bagi meluluskan milikan kediaman terbabit kira-kira RM2,000.

"Modal awal atau jumlah simpanan saya belanjakan kira-kira RM30,000 iaitu hampir 20 peratus daripada nilai rumah yang saya beli. Ini memberi gambaran pada usia 20-an, mereka yang merancang untuk memiliki kediaman pertama perlu menabung dan menyimpan seawal mungkin bagi merealisasikan impian itu," katanya.

PANGSAPURI kos rendah di Bandar Permas Jaya menjadi  pilihan Shaiful Rizuan sebagai rumah pertama.
PANGSAPURI kos rendah di Bandar Permas Jaya menjadi pilihan Shaiful Rizuan sebagai rumah pertama.

Tambah Shaiful Rizuan, pembeli rumah pertama juga perlu pertimbangkan kos luar jangka lain termasuk kos baik pulih atau ubah suai kediaman supaya ia selesa diduduki.

"Bagi rumah pertama ini saya beli kerana lokasinya tidak jauh dari tempat kerja selain kemudahan tersedia diurus selia sebaiknya termasuk kemudahan pengawal keselamatan, terdapat petak parkir diperuntukkan khas untuk setiap unit dan kedai runcit dalam kawasan pangsapuri.

PERSEKITARAN yang diurus dengan baik.
PERSEKITARAN yang diurus dengan baik.

"Selain itu saya fikirkan pelaburan untuk memiliki kediaman kos rendah itu berbaloi kerana terletak dalam lokasi strategik di bandar Johor Bharu.

"Biarpun terpaksa keluarkan simpanan saya dan juga isteri bagi kerja-kerja ubah suai rumah, kos itu masih boleh diterima kerana memikirkan faktor lain seperti kejiranan dan kawasan persekitaran juga bersih serta selamat," katanya.

Bagi mengurangkan beban atau kos perlu ditanggung ketika membuat pembelian kediaman pertamanya itu, Shaiful Rizuan turut mencari tawaran atau inisiatif membantu pembeli pertama.

"Saya beruntung ketika membeli rumah ini, institusi kewangan yang saya berurusan menawarkan bayaran balik deposit rumah menerusi Skim Rumah Pertamaku.

"Malah saya dapat kembali wang deposit dan itu digunakan bagi keperluan untuk membeli barang rumah dan juga kerja-kerja ubah suai rumah.

"Jika tidak melabur untuk memiliki aset hartanah sekarang, saya bimbang harga rumah akan menjadi bertambah tinggi dan sukar dimiliki apatah lagi bandar ini lokasinya berhampiran dengan Singapura," katanya.

Nasihatnya terhadap golongan muda supaya mengurus tadbir kewangan sendiri dengan baik termasuk menabung dan belajar mengumpul aset untuk masa depan lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 6:35 AM