RUMAH teres setingkat untuk didiami ketika bersara.
RUMAH teres setingkat untuk didiami ketika bersara.
Nurul Husna Mahmud


PEMBELIAN rumah pertama tidak semestinya untuk diduduki serta-merta sebaliknya segelintir pemilik melihat ia sebagai pelaburan atau kediaman dihuni ketika bersara.

Secara tidak langsung ia mempengaruhi pemilihan jenis rumah dan lokasi iaitu terletak di kawasan pinggir bandar atau lokasi yang lebih menenangkan.

Itu antara faktor dipertimbangkan Nur Annis Md Noor, 36, dan suami, Mohd Faresh Firdauze Omar, 36, ketika membeli rumah pertama mereka di Teluk Intan, Perak.

Kata Nur Annis Md Noor, suaminya memilih untuk membeli rumah di kampung halaman kerana mempunyai perancangan berpindah atau bersara di bandar itu.

"Teluk Intan adalah kampung suami dan kebetulan ketika mencari rumah, pemaju memaklumkan memiliki projek yang sama di Teluk Intan.

"Harganya jauh lebih murah berbanding di Setiawan, tetapi kualiti dan keluasan hampir sama iaitu rumah teres setingkat.

"Kedudukan perumahan itu juga tidak jauh dari kemudahan seperti hospital dan sekolah iaitu kira-kira 15 minit perjalanan menjadikan faktor kami tertarik memilikinya," katanya.

KETIKA menerima kunci.
KETIKA menerima kunci.

Kata Nur Annis lagi, rumah setingkat berkeluasan 121 meter persegi (20 x 65 kaki persegi) itu dibeli atas kesedaran perlu ada rumah sendiri untuk kehidupan lebih stabil terutama apabila berkeluarga.

"Suami tekad memiliki rumah sendiri apabila dia jatuh sakit pada September 2018. Dia menghidapi kanser darah dan menjalani rawatan sehingga bebas kanser pada awal 2019.

"Sebelum ini kami tinggal bersama keluarga mentua di ibu kota. Sebaik sembuh dia tekad beli rumah kerana bimbang memikirkan nasib saya serta anak-anak.

"Proses membeli rumah pertama mudah kerana suami yang juga penjawat awam menggunakan skim pembiayaan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LLPSA)," katanya.

Tambah Nur Annis, kelebihan pembeli rumah pertama yang membenarkan 100 peratus pinjaman dan percuma yuran guaman memudahkan lagi urusan pembelian rumah berkenaan.

Baru sahaja menerima kunci dari pemaju 12 November lalu, kata Nur Annis, rumah terbabit disewakan terlebih dahulu kerana masih menetap di Kuala Lumpur.

KELUARGA teruja apabila rumah pertama kediaman bertanah.
KELUARGA teruja apabila rumah pertama kediaman bertanah.

"Suami masih bekerja di Kuala Lumpur dan kami kebetulan baru sahaja berpindah ke rumah sewaan bawah kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Persiapan untuk rumah baru ringkas sahaja iaitu kemudahan asas seperti lampu, kipas dan gril kerana mahu disewakan dahulu.

"Persiapan tambahan, kami menyediakan RM10,000 untuk kerja pendawaian dan pemasangan gril," katanya.

Manfaat lain turut dinikmati Nur Annis dan suami menerusi pembelian rumah terbabit ialah kemudahan termasuk perancangan pemaju mendirikan bangunan perniagaan dan kemudahan komuniti.

"Sebenarnya ejen yang menguruskan pembelian rumah kami turut memaklumkan tidak perlu bimbang kerana projek ini membabitkan pembangunan sub-bandar baharu.

"Kawasan itu akan memiliki 1,900 rumah dan apabila siap seluruh fasa iaitu fasa satu hingga tiga, masjid dan rumah kedai serta dewan komuniti juga akan dibangunkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 6:30 AM