MENIKMATI keindahan Tasik Attabad.
MENIKMATI keindahan Tasik Attabad.
Amy Roshilla Abdul Ghani

Pakistan cukup dikenali sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai tarikan unik.

Menyaksikan dari kaca televisyen sahaja sudah cukup mengujakan apatah lagi apabila berpeluang melihat dan merasai pengalaman melancong ke negara terbabit.

Penulis bersama keluarga yang tinggal di Islamabad mengambil peluang untuk ke beberapa lokasi menarik di utara negara ini pada Ramadan dan Aidilfitri lalu.

Kami memulakan perjalanan dari Skardu ke Lembah Hunza yang memakan masa tiga jam melalui lebuh raya Karakoram.

Sebelum itu, kami singgah sebentar di Cold Desert yang juga dikenali sebagai Gurun Katpana tidak jauh dari lokasi tempat kami menginap.

Gurun ini dikenali sebagai Cold Desert kerana pada musim sejuk, sebahagian dari gurun ini dilitupi dengan salji.

Sebaik tiba di Lembah Hunza, kami terus ke tempat penginapan di Hotel Eagle's Nest Hunza di Duikar Valley.

Ketika berada di Lembah Hunza, kami melawat beberapa tempat bersejarah seperti Altit Fort yang terbina sejak 1,100 tahun lalu.

ANAK bermain pasir di Cold Desert.
ANAK bermain pasir di Cold Desert.

Kami bersyukur kerana pemandu pelancong, Altaf sangat akrab dengan penduduk setempat. Jadi, kami berkesempatan beramah mesra dengan penduduk tempatan.

Penduduk di sini sangat menjaga wanita. Jadi, agak sukar untuk orang luar berkomunikasi dengan mereka.

BERPELUANG masuk dalam rumah berusia 420 tahun di Kampung Altit.
BERPELUANG masuk dalam rumah berusia 420 tahun di Kampung Altit.

Selain itu, juga kami berpeluang melihat sendiri rumah milik seorang penduduk di Kampung Altit berusia 420 tahun yang kini dijaga generasi keempat keluarga itu.

Kami turut melawat ke Baltit Fort berhampiran pekan Karimabad. Kubu berusia lebih 700 tahun ini tersenarai dalam Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) World Heritage Tentative sejak 2004.

BERAMAH mesra dengan penduduk di Altit Fort Village.
BERAMAH mesra dengan penduduk di Altit Fort Village.

Selanjutnya, kami ke Lembah Hopar yang terletak 10 kilometer dari Nagar Khas, bandar utama, Lembah Nagar.

Lembah Hopar adalah pusat kepada glasier spantik dan hopar (hopper) glasier serta menjadi kem asas bagi pendaki untuk ke mendaki ke puncak lebih tinggi yang dilitupi glasier yang digelar Hispar Muzlagh.

Pulang dari Lembah Hopar, kami kembali ke hotel untuk makan malam. Selepas berehat, kami keluar semula mencari buah tangan untuk dibawa pulang. Kami tidak lupa mencuba kek aprikot yang sangat popular di Hunza.

Pengalaman paling berharga dan tidak dapat penulis lupakan adalah menyambut Aidilfitri di Hunza dengan suasana yang sangat berbeza dari Islamabad.

GAMBAR berlatarkan glasier sepanjang hampir satu kilometer di Hopar Village.
GAMBAR berlatarkan glasier sepanjang hampir satu kilometer di Hopar Village.

Kami tetap menyambut Aidilfitri dengan berbaju raya lengkap, bersarapan ketupat dan rendang sebelum bertolak ke Khunjerab Pass iaitu laluan gunung setinggi 15,397 kaki di pergunungan Karakoram.

Kedudukannya sangat strategik kerana berada di sempadan utara Pakistan (daerah Hunza dan Nagar di Gilgit-Baltistan) dan di sempadan barat daya China (Xinjiang).

Khunjerab Pass juga adalah lintasan sempadan antarabangsa tertinggi di dunia. Selain itu, ada juga mesin pengeluaran wang automatik (ATM) tertinggi di dunia yang ditadbir Bank Negara Pakistan dan 1Link.

Bercuti di Hunza, tidak lengkap jika tidak melawat Passu Cones yang menjadi satu daripada mercu tanda kebangaan Hunza yang terletak di antara dua glasier.

PENULIS bersama anak di Khunjerab Pass.
PENULIS bersama anak di Khunjerab Pass.

Seperti yang diceritakan Altaf, Passu dipinjam dari perkataan Turki yang bermaksud air sejuk manakala Cones adalah nama gunung di lingkungan Karakoram.

Nama Cones diberi kerana bentuk gunung-ganang di sekelilingnya yang berbentuk kon aiskrim.

Malam terakhir di Hunza, kami menginap di Luxus Hotel yang benar-benar menghadap penghujung Tasik Attabad. Keindahan tasik ini tidak boleh dipertikaikan walaupun ada kisah sedih di sebalik kewujudannya apabila ia terbina secara tidak sengaja sejak Januari 2010 disebabkan tanah runtuh besar yang menyekat aliran sungai Hunza.

Kejadian ini menenggelamkan sekurang-kurangnya tiga kampung iaitu Attabad Payeen, Attabad Bala dan Sarat dan mengorbankan 20 nyawa penduduk kampung.

Kini, selepas lebih 12 tahun, Tasik Attabad menjadi salah satu daya tarikan pelancong dengan air tasik yang menghijau kebiruan dan dikelilingi gunung-ganang yang tersergam indah.

Pelancong juga dapat melakukan aktiviti sukan air seperti menaiki bot, jet ski dan mencuba aktiviti berkayak.

Percutian berakhir di Gilgit kerana dari sana, kami melalui perjalanan udara untuk kembali ke Islamabad.

Di Gilgit kami bermalam di Heaven Lodge yang terletak di sebelah Sungai Gilgit dengan ditemani bunyi air sungai mengalir.

Selain itu, keistimewaan hotel ini adalah ia dipenuhi pokok buah-buahan pelbagai jenis.

Memandangkan pada ketika itu musim ceri dan penghujung musim buah oren, jadi kami berpeluang memetik buah ini terus dari pokok.

Beberapa hari bercuti di utara Pakistan ini rasanya terlalu singkat. Belum lagi kapal terbang berlepas, hati sudah mula berasa rindu. Jika diberi peluang sudah pasti penulis ingin lagi ke sana.

Kepada yang ingin bercuti ke Pakistan, penulis nasihatkan anda menggunakan khidmat pemandu pelancong yang diiktiraf kerana lebih selamat, perjalanan akan lebih teratur kerana mereka lebih arif dengan keadaan di sana.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 7:00 AM