PERLU dipelihara dalam bekas tertutup.
PERLU dipelihara dalam bekas tertutup.
Nurul Husna Mahmud


Lain dulang lain kaki, lain orang lain hati. Itu boleh digambarkan berkaitan minat seseorang dalam memiliki haiwan peliharaan.

Terdapat sebahagian pemilik meminati spesies 'mikro' dari keluarga Araknida untuk dijadikan koleksi atau haiwan kesayangan.

Antara yang tidak ketinggalan adalah kala jengking yang memiliki kelompok peminat tersendiri.

Bagi yang berhasrat ingin memulakan hobi menyimpan atau memelihara koleksi serangga berbisa ini, mereka boleh cuba mendapatkan spesies seperti berikut;

1. 'Asian Forest Scorpion' atau dikenali sebagai Heterometrus longimanus atau The Black Emperor.

Spesies Heterometrus ini boleh hidup sehingga lapan tahun dalam kotak simpanan bertutup.

Spesies ini dikatakan lebih 'tenang' berbanding spesies lain, tetapi masih berbahaya dan boleh menjadi menyengat apabila terkejut.

Racun mereka diketahui lebih buruk daripada sengatan lebah dan boleh menyebabkan kerengsaan (bengkak dan disusuli sakit berdenyut) selama beberapa hari.

Disebabkan kelakuan yang agresif, tidak digalakkan melepaskan bebas atau diletakkan dalam bekas terbuka.

Kala jengking ini hidup dalam suhu bilik iaitu di antara 21 hingga 32 darjah celsius dengan kelembapan sekitar 80 hingga 90 peratus.

Spesies ini boleh membesar sehingga 13 sentimeter sesuai untuk peminat kala jengking saiz besar.

EMPEROR scorpion kala jengking terbesar.
EMPEROR scorpion kala jengking terbesar.

2. Emperor Scorpions

Sesuai dengan namanya spesies kala jengking ini antara terbesar di dunia dan sangat popular dalam kalangan peminat.

Apa yang membuatkan spesies ini sesuai dengan mereka yang baru berjinak untuk pelihara kala jengking ialah racun lebih ringan.

Digambarkan bisa sengatan kala jengking ini setara dengan sengatan lebah.

Emperor Scorpions boleh hidup sehingga lapan tahun dan berasal dari Afrika Barat iaitu iklim panas.

Bagaimanapun, habitat perlulah dalam lubang atau tindihan batu yang redup.

Suhu ideal 24 hingga 27 darjah Celsius dengan kelembapan 60 hingga 75 peratus.

Emperor Scorpions jarang menggunakan penyengat walaupun ketika diberi makan kerana ia mempunyai pengepit yang sangat kuat.

WARNA badan perang kekuningan seakan warna pasir gurun boleh dilihat pada spesies Desert Hairy.
WARNA badan perang kekuningan seakan warna pasir gurun boleh dilihat pada spesies Desert Hairy.

3. Desert Hairy

Warna kala jengking ini sesuai dengan persekitaran padang pasir. Spesies kala jengking ini berasal dari Amerika Utara dan dalam lima tahun kebelakangan ini popular sebagai serangga peliharaan.

Hayat kala jengking Desert Hairy boleh hidup sehingga 20 tahun dan sangkar atau kotak simpanan perlulah tertutup dengan persekitaran

80 peratus pasir dan 20 peratus tanah liat kerana ia suka membuat lubang.

Jangan gunakan pasir sahaja sebaliknya gunakan batu dan kulit kayu atau kayu hanyut.

Kelembapan juga rendah sekitar 50 hingga 55 peratus dan boleh tinggal dalam suhu bilik 24 hingga 32 darjah Celsius.

TAMPAK gerun tetapi gemar menyorok.
TAMPAK gerun tetapi gemar menyorok.

4. Flat Rock

Kala Jengking dari spesies ini pilihan yang baik jika pemilik yang baru memiliki hobi memelihara kala jengking langsung tidak memegangnya.

Ini disebabkan karakter spesies kala jengking ini agak pemalu dan cenderung melarikan diri daripada sentuhan manusia.

Ia cenderung untuk tidak menggunakan ekor mereka (sama dengan Emperor Scorpion) dan makan dengan mengepit mangsa menggunakan penyepit yang kuat.

Spesies yang berasal dari Afrika Selatan juga hanya boleh hidup hingga tujuh tahun, sekali gus menjadikan kala jengking ini paling singkat hayatnya.

Tahap kelembapan sekitar 50 sahaja dengan suhu 24 hingga 26 darjah Celsius. Racun Flat Rock Scorpion adalah ringan dan tidak menyebabkan banyak kerengsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Disember 2022 @ 6:12 AM