FORMASI batuan menarik Three Sisters di Blue Mountains.
FORMASI batuan menarik Three Sisters di Blue Mountains.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BIARPUN ramai pelancong dari Malaysia dikatakan serik ke Australia lantaran proses imigresennya yang ketat, bagi penulis negara berkenaan bagaikan rumah kedua untuk masyarakat Asia.

Sebelum ini, penulis pernah berkunjung ke Melbourne dan Gold Coast, namun Sydney lebih istimewa kerana bandar raya itu menawarkan pelbagai tarikan tersendiri.

Kunjungan penulis bersama suami ke kota yang terkenal dengan bangunan ikonik, Opera House itu dirancang rapi kerana kami mahu meluangkan masa mengunjungi pelbagai tempat dalam masa enam hari.

Sebaik penerbangan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney Kingsford Smith, pengunjung luar seperti biasa perlu melalui proses imigresen dan kastam.

Alhamdulillah, proses dipermudahkan meskipun kami turut ditanya beberapa soalan asas seperti menetap di hotel mana, berapa lama, tarikh penerbangan balik, jumlah wang yang dibawa dan lokasi yang mahu dikunjungi.

Melepasi kaunter kastam juga tidak mendatangkan masalah kerana semua makanan (yang dibenarkan dibawa masuk) sudah disenaraikan dan selepas selesai semua, kami mengambil teksi menuju je hotel

di tengah bandar.

PENULIS di hadapan bangunan Opera House yang menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan.
PENULIS di hadapan bangunan Opera House yang menjadi tumpuan pelancong dan penduduk tempatan.

Perjalanan dari lapangan terbang ke pusat bandar (CBD) mengambil masa tidak sampai 30 minit dan selepas mendaftar masuk serta berehat seketika, kami berjalan-jalan sekitar hotel untuk mencari kedai makanan halal.

Kami turut mendapatkan kad Opal bagi memudahkan perjalanan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api mahupun tren.

Hari kedua, kami keluar hotel seawal jam 6 pagi untuk ke Stesen Kereta Api Central bagi meneruskan perjalanan ke Katoomba, iaitu stese

n terdekat ke kawasan pergunungan, Blue Mountains.

Perjalanan menggunakan kereta api intercity dua tingkat mengambil masa hampir dua jam dan ia turut berhenti di beberapa stesen utama.

LALUAN dari Bondi Beach menuju Mackenzie Point.
LALUAN dari Bondi Beach menuju Mackenzie Point.

Di Blue Mountains pengunjung berpeluang melihat formasi batuan unik, Three Sisters di Echo Point Lookout, menaiki kereta kabel (berlantai kaca) ke Scenic World, melihat landasan kereta api tercuram di dunia (world steepest railway) dan persembahan tarian puak Aborigine di Waradah Aboriginal Centre.

Sebelum pulang ke hotel, kami singgah seketika di Masjid Auburn Gallipoli, Auburn yang dibuka pada 1999 selain terkenal dengan seni bina klasik Kerajaan Uthmaniyah dan digunakan masyarakat Islam keturunan Turki di negara berkenaan.

Kami juga tidak melepaskan peluang menikmati pemandangan indah sebelah malam di sekitar Opera House, Harbour Bridge dan Darling Harbour. Pengunjung tidaklah terlalu ramai kerana ketika itu tengah minggu dan cuaca pada awal Ogos juga agak sejuk.

Hari ketiga, kami kembali lagi ke Opera House dan jambatan ikonik itu untuk bergambar kenangan dan bersiar-siar di lokasi menarik sekitarnya.

Sesekali, pandangan kami beralih tumpuan kepada feri dan kapal persiaran mega yang turut melalui kawasan itu untuk mengambil serta menurunkan penumpang.

Pengunjung berpeluang bersiar-siar menaiki kapal persiaran termasuk melihat kawasan ikan paus jinak dan menikmati hidangan sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam menerusi pelbagai pakej menarik yang disediakan pengusaha pelancongan tempatan.

Jika berkunjung ke sini, jangan lepaskan peluang menikmati keindahan taman, Royal Botanic Gardens berhampiran Opera House.

BANDAR Katoomba yang perlu dilalui jika mahu ke Blue Mountains.
BANDAR Katoomba yang perlu dilalui jika mahu ke Blue Mountains.

Taman hijau yang seluas sayup mata memandang itu cukup tenang dan turut menjadi lokasi joging ramai pelancong mahupun penduduk tempatan.

Berada di taman ini nyata berbeza daripada kesibukan kota Sydney, ia turut membuat penulis dan suami 'ralit' menikmati keindahan taman yang menghadap teluk cetek, Farm Cove.

Pada sebelah malamnya, kami tidak melepaskan peluang mengunjungi Bourke Street iaitu antara lokasi popular untuk kaki shopping kerana terdapat deretan kedai jenama terkenal.

Dalam pada itu, tak lengkap kunjungan ke Sydney jika tidak menjejakkan kaki di pantai popular, Bondi Beach yang juga antara lokasi kegemaran penduduk tempatan.

Pantai berteluk itu bukan saja terkenal sebagai kawasan bersantai malah lokasi meluncur dan riadah untuk seisi keluarga terutama sepanjang laluan pejalan kaki tepi laut menuju ke Mackenzie Point.

Bagi yang ingin mendapatkan cenderamata untuk dibawa pulang, tiada lokasi paling sesuai melainkan Paddy's Market yang menyediakan ratusan kedai cenderahati dengan harga berpatutan.

Jika anda pernah berkunjung ke Australia, konsep dan suasana di Paddy's Market sama saja seperti pasar cenderamata lain seperti Fremantle's Market di Perth dan Queen Victoria's Market di Melbourne.

Kami turut berkesempatan singgah makan tengah hari di Sydney Fish Market iaitu pasar yang terkenal dengan makanan laut segar.

Pelbagai jenis ikan dan makanan laut boleh didapati di sini, semuanya boleh dibeli dan dimasak terus di gerai jualan yang disediakan.

Penulis akui, enam hari berada di bumi Sydney bagaikan tak mencukupi kerana banyak lagi lokasi menarik yang tidak berkesempatan untuk dilawati.

Berada di bandar raya Sydney juga bagaikan berada di negara sendiri kerana ramai imigran dari Asia yang berwajah seperti Melayu tidak kira di jalanan, kedai makan mahupun di tempat tumpuan pelancong.

Makanan tidak menjadi masalah kerana banyak restoran halal di sekitar bandar raya berkenaan manakala buah-buahan tempatan antaranya epal, avokado, strawberi juga dijual pada harga jauh lebih murah dari Malaysia.

Jika ada rezeki dan peluang, penulis mahu berkunjung lagi ke bumi kanggaru khususnya di bandar raya Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2020 @ 6:15 AM