PENULIS (kanan) bersama rakan mengabadikan kenangan di hadapan Sydney Opera House.
PENULIS (kanan) bersama rakan mengabadikan kenangan di hadapan Sydney Opera House.
Norhayati Zainal


KEMBARA beg galas atau 'backpacker' antara impian penulis jika melancong ke luar negara kerana lebih menjimatkan masa dan wang selain mudah bergerak.

Beberapa tahun lalu, impian itu dapat direalisasikan bersama tiga rakan apabila berpeluang bercuti selama empat hari di Sydney iaitu ibu negeri New South Wales, Australia.

Musim bunga dan langit yang membiru menyambut kehadiran penulis sebaik pesawat mendarat di lapangan terbang Kingsford-Smith jam 11.30 pagi waktu Australia.

Kami memilih untuk menginap di Great Southern George Street kerana lokasi yang sangat strategik termasuk banyak pilihan kedai makanan halal.

Hari pertama, kami menggunakan bas yang disediakan secara percuma (Shuttle bas 555 berwarna hijau) untuk ke Darling Harbour yang mendapat namanya daripada Leftenan Jeneral Ralph Darling.

Pelabuhan indah ini adalah destinasi pelancongan popular yang menawarkan tempat menarik seperti Madame Tussaud, Maritime Museum, Sydney Wildlife World, Sydney Aquarium, Hardrock Cafe, Chinese Garden Of Friendship, Tumbalong Park dan Sydney Visitor Centre Darling Harbour.

MENIKMATI keindahan Sydney Harbour Bridge dari feri.
MENIKMATI keindahan Sydney Harbour Bridge dari feri.

Berjalan-jalan dan berehat sambil menyaksikan pemandangan kapal mewah, feri serta camar laut liar yang berterbangan bebas sangat manis untuk dikenang.

Dalam perjalanan pulang ke hotel, penulis singgah di pusat beli- belah Queen Victoria Building Victoria Roman yang menempatkan butik terkemuka di dunia seperti Ralph Lauren, Mont Blanc, Bally dan Versace.

Esoknya, kami ke The Rock iaitu penempatan awal penjenayah Inggeris yang dibuang daerah dari Britain.

Menariknya, di sini banyak bangunan lama yang diubah suai menjadi kafe dan pelayannya masih memakai pakaian tradisi Inggeris.

Menyusuri lorong di The Rock, kami singgah di The Rock Discovery Muzium yang mempamerkan sejarah dan penempatan awal Australia.

KAWASAN perlombongan arang Katoomba  yang kini menjadi tarikan pelancong.
KAWASAN perlombongan arang Katoomba yang kini menjadi tarikan pelancong.

Mendongak ke langit yang membiru, beberapa pesawat kecil membuat formasi dengan mengeluarkan asap membentuk pelbagai tulisan.

Kemudian kami singgah sebentar di Museum of Contemporary Art sebelum menyusur ke Botanical Garden yang berkeluasan 30 hektar.

Di sini ramai penduduk tempatan berkelah dan berehat di atas rumputnya yang bersih sambil menikmati keindahan pemandangan Sydney Harbour dan Sydney Opera House.

Kami menyusur keluar melalui Botanical menuju Sydney Opera House. Cantik, itulah perkataan pertama yang terpacul di bibir sebaik melihat bangunan yang berbentuk kerang yang menjadi mercu tanda Sydney.

BURUNG merak antara haiwan yang boleh ditemui Featherdale Sydney Wildlife Park.
BURUNG merak antara haiwan yang boleh ditemui Featherdale Sydney Wildlife Park.

Pandangan dari pelbagai sisi, ia tetap menarik bagaikan terapung di laut dan dinaungi langit membiru.

Di Circular Quay kami menuju ke Wharf 7 untuk menaiki feri menuju ke Sydney Harbour yang memakan masa selama setengah jam.

Penulis memilih duduk di dek atas untuk merasai angin dingin bertiup agak kuat dan tempat paling menarik bergambar di Mac Mahon Point dengan berlatarkan Bridge Tower dan Opera House.

Keesokan harinya, seawal jam 7 pagi kami sudah menunggu bas menuju ke Blue Mountain yang mendapat nama daripada kabut biru daripada pokok

'eucalyptus' yang menghasilkan gas terpenoid.

Uniknya ia kelihatan terapung menutupi gunung dan awan sehingga diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai satu tapak warisan dunia.

Seterusnya Three Sisters pula yang kira-kira 104 kilometer (km) di barat Sydney adalah lokasi pelancongan yang tersohor dengan cerita legenda mengenai tiga perawan bersaudara keturunan suku Katoomba. Ia antara destinasi wajib dikunjungi andai melancong ke New South Wales.

THREE Sisters terkenal dengan cerita legenda tiga perawan bersaudara.
THREE Sisters terkenal dengan cerita legenda tiga perawan bersaudara.

Arca hitam suku kaum Katoomba pelbagai gaya 'menyambut' ketibaan kami sebelum dibawa menaiki Scenic Railway yang sebelum ini adalah kereta api membawa pekerja arang batu.

Bagaikan menaiki 'roller coaster,' kami dibawa melalui kawasan hutan sebelum masuk ke dalam celah batuan besar seakan-akan gua yang sempit dan gelap.

Selepas itu, penulis berjalan melalui Scenic Walkway iaitu denai kayu yang lebar untuk menjelajah lembah Jamison Valley. Terdapat air terjun kecil sebelum kami sampai ke Coal Mine Exhibition iaitu sebuah muzium terbuka yang mempamerkan sejarah perlombongan arang batu, replika kereta kuda, arang batu dan peralatan perlombongan.

Penghujung denai terdapat Scenic Cableway iaitu kereta kabel tanpa tempat duduk yang akan membawa kami kembali ke stesen asal.

Seterusnya kami melewati desa kecil di Leura Village yang menghidangkan pemandangan desa pedalaman Inggeris. Di sini terdapat rumah kayu zaman kolonial berwarna putih yang dipenuhi bunga dadofil dan mawar menghiasi taman.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di taman haiwan persendirian di Featherdale Sydney Wildlife Park yang dibina pasangan suami isteri sebagai tempat pelindungan haiwan terbiar atau cedera.

Kami akhiri pengembaraan di bumi Sydney petang itu dengan singgah di Stadium Australia yang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas 2000 sebelum pulang ke Malaysia keesokan hari.

Tercapai juga impian penulis untuk merasai pengalaman bercuti sebagai pengembara beg galas.

Pada pendapat penulis, pengembaraan seperti ini sebaik-baiknya dilakukan ketika masih muda dan bertenaga kerana ia memerlukan kekuatan membawa beg selain banyak berjalan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2020 @ 7:00 AM