PENULIS di Cape Point. FOTO Mohd Hazwan Hafiz Mohd Puzi
PENULIS di Cape Point. FOTO Mohd Hazwan Hafiz Mohd Puzi
KEINDAHAN Capetown dari puncak gunung.
KEINDAHAN Capetown dari puncak gunung.
Mohd Hazwan Hafiz Mohd Puzi


KETIKA diminta ke Capetown, Afrika Selatan selama seminggu atas urusan kerja, kesempatan diambil penulis untuk menjelajah tarikan pelancongan di sekitar kota itu.

Mana tidaknya untuk sampai destinasi kedua paling popular di Afrika Selatan selepas Johannesburg, perlu menempuh perjalanan hampir 24 jam.

Dari Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ke Doha sudah memerlukan penulis berada dalam kabin pesawat selama tujuh jam 25 minit sebelum transit tiga jam.

Kemudian menyambung kembali perjalanan dari Doha dalam pesawat lain selama sembilan jam 30 minit untuk sampai ke Capetown.

Satu kerugian kalau tidak menjejak mana-mana destinasi tersohor seperti Table Mountain, Green Market, Boulders Beach dan banyak lagi yang ada di bandar Capetown pada lawatan kali ini.

Tabiat penulis setiap kali berkelana ke bumi asing akan membuat tinjauan di Internet terlebih dahulu untuk kenal pasti 'port' percutian menarik.

PANTAI dihuni ribuan penguin.
PANTAI dihuni ribuan penguin.

GREEN Market untuk membeli barang cenderahati.
GREEN Market untuk membeli barang cenderahati.

Ia penting untuk dapatkan maklumat seperti kemudahan pengangkutan, tempat makan dan persiapan lain termasuk pakaian yang sesuai memastikan perjalanan selesa dan lancar.

Bagi pengangkutan pula, penulis sejak hari pertama menjejak kaki ke Capetown lebih selesa menggunakan khidmat pemandu teksi.

Sikap pemandu tempatan yang bukan saja mesra malah banyak membantu penulis mendapatkan maklumat diperlukan berkaitan lokasi yang ingin dikunjungi.

Pemandu teksi yang menemani penulis berketurunan Melayu Capetown sering mengingatkan penulis tidak mendekati golongan gelandangan kerana bimbang mengundang bahaya apatah lagi ketika itu bergerak solo.

Dalam siri lawatan kali ini paling menarik bagi penulis ialah jadual hari keempat ke Table Mountain yang menawarkan peluang menyaksikan pemandangan indah bandar Capetown dari puncak dengan jelas.

Seperti kereta kabel di Langkawi yang cuba mendaki Gunung Machinchang, di Table Mountain Capetown juga menggunakan kemudahan sama bagi mendaki puncak yang berketinggian 1,055 meter.

Di gunung itu jugalah pengalaman tidak boleh dilupakan apabila cuaca berubah dengan tiba-tiba termasuk penurunan suhu secara drastik daripada 24 darjah Celsius kepada 12 darjah Celsius.

BABUN, haiwan liar boleh ditemui pengunjung dalam perjalanan ke taman negara Capetown.
BABUN, haiwan liar boleh ditemui pengunjung dalam perjalanan ke taman negara Capetown.

Terpaksalah menggigil menahan kesejukan hampir 40 minit sementara menunggu kereta kabel untuk kembali ke stesen kaki gunung.

Lokasi lain yang menarik dalam siri kunjungan kali ini ialah Taman Negara Cape of Good Hope. Seindah namanya, pemandangan menarik iaitu pertembungan lautan Atlantik dan Hindi dapat disaksikan di tanjung paling hujung di benua Afrika itu.

Kalau bernasib baik, pengunjung taman negara itu berpeluang terserempak dengan koloni babun yang melintasi jalan raya di kawasan berkenaan.

Kira-kira 45 minit dari taman negara itu, satu lagi lokasi persinggahan menarik iaitu Boulders Beach dikenali dengan pantai dihuni ribuan penguin. Penguin ini jinak kerana boleh dilihat pada jarak sangat dekat.

Sudah berpeluang berada di benua asing, tentu mahu mencari cenderahati untuk keluarga selain tanda kenangan pernah menjejak kaki ke situ.

Untuk itu Green Market yang tidak jauh dari hotel menginap menjadi tempat bagi membeli segala barangan kraf tangan di Afrika Selatan.

Tambah pula konsep pasar membenarkan kita tawar menawar dengan kebanyakan peniaga yang begitu ramah dan baik hati. Barangan kraf tangan yg menarik dan berpatutan termasuk produk batuan, kayu dan kulit boleh didapati di situ.

Sebaik-baiknya guna mata wang tempatan iaitu South African Rand untuk mudahkan pembayaran dan sesi urus niaga.

MAKANAN halal mudah didapati.
MAKANAN halal mudah didapati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 April 2020 @ 7:00 AM