PANTAI Whitehaven Beach, Kepulauan Whitsunday.
PANTAI Whitehaven Beach, Kepulauan Whitsunday.
Agensi

Sydney: Beberapa syarikat penerbangan mula menawarkan pengalaman terbang tanpa destinasi dan scenic flight (penerbangan untuk menikmati pemandangan).

Ia bagi menarik orang ramai kembali menggunakan pengangkutan udara.

Persatuan Penerbangan Asia Pasifik mendedahkan penerbangan antarabangsa di rantau ini terjejas teruk akibat sempadan negara yang ditutup bagi mengekang penularan Covid-19.

Syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways Ltd berkata, pihaknya memulakan penerbangan tujuh jam untuk scenic flight yang menawarkan pemandangan beberapa tarikan pelancongan utama di negara itu.

Ia menggunakan pesawat Boeing Co 787 yang biasa digunakan untuk penerbangan antarabangsa bagi destinasi jarak jauh.

Pesawat itu terbang rendah dari Sydney bagi menyaksikan keindahan formasi batuan unik di taman negara di Uluru, Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef) dan Sydney Harbour sebelum mendarat semula di ibu negara itu.

Tiket berharga antara 787 dolar Australia (RM2,376) dan 3,787 dolar Australia (RM11,435) bergantung kepada kelas tempat duduk.

Ketua Eksekutifnya, Alan Joyece berkata, enam bulan lalu, tiada siapa mengagak rakyat Australia tidak boleh menaiki pesawat dan melancong atau keluar dari negeri akibat kawalan pergerakan dan peraturan kuarantin.

"Oleh kerana kami tidak boleh bawa kamu ke luar negara sekarang, kami boleh menyediakan inspirasi untuk perjalanan masa hadapan ke destinasi paling cantik di Australia," katanya dalam satu kenyataan seperti dalam portal The Jakarta Post.

SYDNEY Opera House. FOTO AFP
SYDNEY Opera House. FOTO AFP

Mengulas kebimbangan di media sosial mengenai kesan persekitaran daripada penerbangan itu, Qantas berkata, operasi mengambil kira pelepasan karbon.

Tawaran unik berlepas dan mendarat di lapangan terbang sama itu bakal meningkatkan trend terbang tanpa destinasi di rantau Asia.

Selain itu, banyak syarikat penerbangan termasuk EVA Airways Corp di Taiwan dan ANA Holdings Inc, Jepun turut berminat menawarkan penerbangan khas itu.

Misalnya, EVA menggunakan satu daripada pesawat ikonik mereka iaitu pesawat Hello Kitty mereka sempena sambutan Hari Bapa bulan lalu.

Sementara itu, ANA pula menggunakan Airbus SE A380 yang biasa digunakan untuk penerbangan ke Honolulu selama 90 minit dengan menawarkan pengalaman melihat pemandangan Hawaii dari dalam pesawat.

FORMASI batuan unik di taman negara di Uluru. FOTO AFP
FORMASI batuan unik di taman negara di Uluru. FOTO AFP

Kos tiket dikenakan sekitar AS$228 (RM944) Tigerair Taiwan untuk penerbangan dari Taipei yang akan mengelilingi Pulau Jeju, Korea Selatan dilaporkan habis terjual dalam tempoh beberapa minit.

Harga berkenaan termasuk baucar tiket perjalanan dua hala dari Taiwan ke Korea Selatan yang boleh digunakan selepas sekatan perjalanan ditamatkan.

Selain itu, Singapore Airlines juga mempertimbangkan scenic flight namun belum ada keputusan dibuat, kata seorang jurucakap syarikat itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 6:31 AM