GUNUNG Igman lokasi acara ‘ski jump’ Sukan Olimpik 1984.
GUNUNG Igman lokasi acara ‘ski jump’ Sukan Olimpik 1984.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


BERMUSAFIR di Bosnia dan Croatia sememangnya amat dinantikan dan menjadi idaman sekian lama bagi rombongan seramai 34 peserta ini termasuk dari 13 ahli keluarga Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed. Pengembaraan direalisasikan Jawahir Travel & Tours yang diketuai Noraini Yaacob.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, kami menaiki pesawat Turkish Airlines dan perjalanan mengambil masa selama 10 jam untuk sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul.

Rombongan kami perlu menunggu kira kira dua jam sebelum menaiki penerbangan seterusnya ke

Sarajevo, Bosnia Herzegovina. Ketibaan kami disambut seorang pemandu pelancong tempatan yang dikenali sebagai Zulfor.

Hari pertama kami dibawa bersiar-siar di Natural Park Vrelo Bosna (Bosnia Springs). Terdapat banyak mata air yang mengalir dari kaki Gunung Igman dan menjadi sumber minuman utama penduduk Sarajevo.

Keadaan cuaca yang nyaman dan redup begitu mendamaikan ditambah keindahan alam semula jadinya.

Kemudian kami dibawa ke tempat seterusnya iaitu Tunel Spasa atau lebih dikenali sebagai Tunnel of Hope.

DI hadapan Old Bridge Mostar.
DI hadapan Old Bridge Mostar.

Di Tunnel of Hope, kami diberitahu oleh Zulfor, ketika peperangan berlaku, sebuah terowong dibina ketika darurat. Sebilangan rakyat bersama tentera Bosnia menggembleng tenaga dan bekerja keras untuk membina sebuah terowong rahsia di bawah tanah.

Zulfor yang juga pemuda Bosnia dilahirkan setahun selepas perang itu berakhir memaklumkan terowong berkenaan ‘dilindungi’ sebuah rumah kecil yang agak usang di atasnya, akibat dibedil ratusan peluru tentera musuh.

Hari kedua, kami mengunjungi Gunung Igman iaitu lokasi bersejarah Sukan Olimpik bagi acara ‘ski jump’ pada 1984, lebih 30 tahun yang lalu.

Destinasi kedua adalah Gunung Bjelasnica yang berketinggian 2,067 meter dan tidak jauh daripada Gunung Igman. Kami berpeluang menaiki kereta kabel yang terbuka (open air).

Kemudian kami dibawa pula ke pusat bandar Sarajevo dan Old Town. Terdapat sebuah masjid tertua dinamakan Masjid Gazi Huzrev-Beg disumbangkan seorang hartawan dari Turki lebih 500 tahun lalu ketika pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniah.

DI hadapan Vidonice Watermills.
DI hadapan Vidonice Watermills.

Hari ketiga, kami memulakan perjalanan menaiki bas persiaran ke Blagaj. Kami singgah sebentar di sebuah pekan yang diberi nama Kronjik ketika dalam perjalanan ke Mostar di Herzegovina.

Terdapat sebuah jambatan di Kronjik yang dibina ketika zaman pemerintahan kerajaan Uthmaniah, tetapi dimusnahkan tentera Jerman pada 1945 ketika Perang Dunia Kedua. Namun pembinaan jambatan itu dilakukan semula selepas Bosnia mencapai kemerdekaan dan selesai dibina pada 2009. Pemandangan sepanjang perjalanan kami ke Blagaj sangat indah. Terdapat kawasan bukit berlapis-lapis yang saujana mata memandang. Di sepanjang kiri jalan terdapat sebuah sungai yang sangat indah dinamakan Sungai Netreva. Air sungai ini berwarna hijau kebiruan dan dikatakan antara sungai bersuhu paling dingin di dunia.

LOKASI bersejarah Sukan Olimpik 1984.
LOKASI bersejarah Sukan Olimpik 1984.

Sebaik tiba di hotel di Balagj, kami dihidangkan makan malam yang sungguh istimewa iaitu ikan trout hasil tangkapan dari Sungai Bona mengalir betul-betul di hadapan hotel kami duduki.

Lawatan pada hari itu diakhiri menelusuri ‘night walk’ ke Dervish House di Tekija Blagaj yang tidak jauh dari hotel kami.

Hari keempat, sementara menunggu ketibaan bas, kami berkesempatan berjalan lagi di pinggir Sungai Bona.

Perjalanan kami diteruskan menuju ke Pocitelj the Historical Stone Village atau perkampungan kecil di atas bukit yang dibina daripada batu-batu medivel sejak berkurun lalu.

Di atas puncak Pocitelj ini terdapat Masjid Haji Alijja juga dibina daripada susunan batu-batuan medivel masih tersergam kukuh hingga kini. Selepas itu, kami meneruskan perjalanan lagi ke Air Terjun Kravica, yang sangat indah dan menyegarkan.

Hari kelima, kami bertolak awal pagi dari Blagaj ke Bihac dan perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira tujuh jam berlarutan hingga 12 jam. Ini kerana kami banyak berhenti seketika untuk melawat tempat menarik dan mengambil gambar kenangan selain singgah di The Blue Spring.

Selepas makan tengah hari kami menunaikan solat di Masjid Malaysia di Kampung Turbe. Ia dinamakan Masjid Malaysia kerana kos pembinaannya hasil sumbangan kerajaan dan rakyat Malaysia.

Selepas itu, kami berkunjung ke Jajce yang terdapat air terjun tinggi dan banyak kincir air comel. Dahulunya kincir air ini digunakan bagi mengisar bijirin untuk dijadikan tepung.

Kira-kira jam 8.30 malam waktu tempatan kami akhirnya selamat sampai ke Hotel Kostelskibuk di Bihac. Bihac adalah bandar terakhir di Bosnia Herzegovina yang bersempadan dengan Croatia.

Selepas enam hari kami bermukim di bumi Bosnia, kembara kami diteruskan dengan melawat negara jiran di utara Bosnia Herzegovina iaitu Croatia.

SEBAHGIAN landskap indah di Natural Park Vrela Bosna
SEBAHGIAN landskap indah di Natural Park Vrela Bosna

Di sana terdapat sebuah Tasik Plitvice yang sangat cantik dan dikelilingi rimbunan pohon yang rendang. Terdapat 16 tasik semula jadi yang dihiasi indah dengan air terjun mengujakan keluar dari celah bukit. Selepas hampir lima jam di Tasik Plitvice, kami meneruskan perjalanan ke Zagreb, ibu negeri Croatia dan bermalam di sana.

Hari ketujuh adalah hari terakhir kami dalam kembara menyeronokkan ini. Kami dibawa melawat ke Kaptol, Bandar Lama Gradec dan Chathederal di bandar Zagreb.

Kami sangat teruja kerana berpeluang menyaksikan persembahan tarian kebudayaan dan jualan buah-buahan serta bunga pelbagai warna di pasar terbuka Zagreb.

Selepas itu, kami singgah ke Pusat Islam Zagreb untuk solat dan makan tengah hari, juga ke pusat beli-belah termasyhur di sana sebelum akhirnya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zagreb untuk kembali ke tanah air tercinta!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 7:01 AM