PESERTA merakam gambar kenangan berlatar belakang Masjid Et’hem Bey, Kirana, Albania.
PESERTA merakam gambar kenangan berlatar belakang Masjid Et’hem Bey, Kirana, Albania.
Hanani Mohd Fikri

WILAYAH Balkan terletak di bahagian tenggara Eropah terdiri dari beberapa negara. Istimewanya Balkan kerana ia tempat berhimpunnya agama Kristian Ortodoks, Kristian Katolik dan Islam.

Majoriti umat Islam tinggal di Bosnia-Herzegovina. Pada Mac lalu, penulis berpeluang melawat enam negara Balkan bermula dari Croatia, Bosnia-Herzegovina, Albania, Montenegro, Macedonia dan berakhir di Greece bersama rombongan Zahazan Travel & Tours.

Sepanjang tempoh itu, rombongan kami bertuah kerana program dipenuhi pelbagai pengisian yang disampaikan Datuk Dr Zahazan Mohamed.

Cuaca ketika kami berada di sana adalah musim sejuk yang masih belum berakhir.

Sebaik tiba di Croatia selepas menikmati juadah makanan tengah hari, kami terus ke Masjid Zagreb iaitu masjid terbesar di Croatia.

PEMANDANGAN indah yang memukau pengunjung di kawasan Taman Negara Plitvice, Croatia.
PEMANDANGAN indah yang memukau pengunjung di kawasan Taman Negara Plitvice, Croatia.

Masjid itu dibina pada 1981 oleh Sultan bin Muhammad al-Qasimi untuk komuniti Islam di Zagreb. Ia turut menempatkan sebuah sekolah menengah Islam dan pusat kebudayaan.

Kami kemudian sempat melawat sekitar kota lama Zagreb dan Dolac Bazaar. Dolac Bazaar adalah pasar menjual barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan, bunga serta cenderamata oleh penduduk tempatan di bawah payung berwarna merah yang kelihatan cukup ceria.

Pada hari kedua di Croatia, kami ke Taman Negara Plitvice iaitu antara destinasi pelancongan penting di Croatia.

Pemandangannya cukup memukau dengan adanya tasik biru, air terjun dan sungai yang terletak di antara tebing dan padang rumput hijau.

Kita boleh melalui titi kayu yang dibina di sepanjang tasik berkenaan. Malah, kita juga boleh menaiki bot persiaran untuk menyusuri tasik itu.

Walaupun penat berjalan kaki, ia berbaloi kerana dapat menikmati pemandangan yang sangat cantik di taman negara itu.

Seterusnya, rombongan kami singgah di Dubrovnik yang dikenali Pearl of Adriatic kerana ia dikelilingi Lautan Adriatic.

Kawasan itu pernah diserang tentera Serbia dan Montenegro pada 1991, tetapi seni binanya masih lagi utuh.

Ia menjadi tempat persinggahan ketika zaman Kerajaan Uthmaniah. Bangunan di Dubrovnik juga sangat cantik kerana dibina di lereng bukit dan menghadap laut.

Banyak juga kapal layar berlabuh kerana ia sebuah pelabuhan laut. Pada 1979, bandar Dubrovnik tersenarai sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

Seterusnya, petang itu kami menuju ke Bosnia- Herzegovina. Tentu kita tidak lupa kisah peperangan yang melanda Bosnia-Herzegovina pada satu ketika dahulu.

Walaupun peristiwa hitam itu sudah lebih 20 tahun berlalu, kesan pergolakan atau pembersihan etnik masih boleh dilihat dan menghantui penduduknya sehingga kini.

Pada dinding bangunan dan rumah masih boleh dilihat kesan peluru. Di sana, kami menginap di sebuah bandar kecil bernama Bihac yang terletak di sebelah barat laut Bosnia-Herzegovina.

TUNNEL of Hope yang menjadi terowong keluar masuk rakyat Bosnia daripada kepungan tentera Serbia bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan ketika Perang Bosnia.
TUNNEL of Hope yang menjadi terowong keluar masuk rakyat Bosnia daripada kepungan tentera Serbia bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan ketika Perang Bosnia.

Hari berikutnya, kami menuju ke bandar Travnik iaitu salah satu kota penting pada zaman Uthmaniah.

Lokasi ini amat menarik kerana terdapat sumber air yang mengalir dari Gunung Vlasic. Ia dikenali sebagai Plava Voda yang bermaksud air biru.

Selepas Travnik, kami menuju pula ke bandar Sarajevo yang terkenal dengan jolokan Jerussalem of Balkans.

Di situlah kemuncak berlakunya pergolakan etnik suatu ketika dahulu. Kami turut melawat Tunnel of Hope berhampiran Lapangan Terbang Sarajevo.

Tunnel of Hope adalah sebuah rumah yang dijadikan terowong untuk keluar masuk rakyat Bosnia daripada kepungan tentera Serbia ke atas bandar Sarajevo bagi mendapatkan bekalan makanan dan ubat-ubatan ketika Perang Bosnia.

Lokasi berikutnya, kami bergerak ke bandar Tirana di Albania. Albania sebuah negara kecil yang majoriti penduduk Islamnya baru terlepas daripada cengkaman pemerintahan Komunis pada 1992.

Terdapat sebuah masjid iaitu Et’hem Bey yang dibina pada abad ke-18. Namun dengan izin Allah SWT, ia tidak dihancurkan kerajaan Komunis.

BANGUNAN di Dubrovnik yang dibina di lereng bukit dan dikelilingi Lautan Adriatic.
BANGUNAN di Dubrovnik yang dibina di lereng bukit dan dikelilingi Lautan Adriatic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 7:15 AM