HONDA CB500X 2024 gaya baharu.
HONDA CB500X 2024 gaya baharu.
Rudy Fazrunisyam Samarudin


Tidak keterlaluan jika difikirkan Honda CB500X pilihan paling sesuai bagi anda yang mencari jentera bagi tunggangan harian ulang-alik ke tempat kerja menggunakan lebuh raya dan meredah kesesakan lalu lintas di tengah bandar raya atau kota.

Ramai dalam kalangan kita tinggal di Seremban atau Rawang dan mungkin tinggal di Melaka atau Tanjung Malim tetapi berulang-alik bekerja di Kuala Lumpur setiap hari menunggang motosikal.

Mengharungi perjalanan 100 kilometer atau lebih dengan menunggang motosikal setiap hari pastinya memenatkan jika menggunakan jentera tidak sesuai, maka jika terlintas di fikiran untuk mencari motosikal yang selesa dan tidak memenatkan, anda boleh masukkan Honda CB500X dalam senarai.

Walaupun CB500X jentera pengembaraan, tiada masalah untuk 'mencilok' ketika meredah kesesakan lalu lintas di tengah bandar raya atau kota raya seperti Kuala Lumpur.

Jentera ini memberi keyakinan kepada penunggang untuk meredah dan mencelah di tengah kesesakan jalan raya kerana saiznya yang agak kecil berbanding jentera pengembaraan lain dan dalam masa sama tidak ada masalah untuk meluncur di atas lebuh raya dengan kelajuan 120 hingga 130 kilometer sejam.

Jentera dengan enam kelajuan ini hadir dengan ciri dan karakter tersendiri istimewa buat penunggang yang gemarkan penjelajahan atau kepuasan kelajuan.

BERSAMA kumpulan motosikal jelalah Pantai Barat Malaysia.
BERSAMA kumpulan motosikal jelalah Pantai Barat Malaysia.

Saya sendiri berkesempatan menguji jentera dengan berat 198 kilogram ini ketika melakukan pengembaraan dua hari sejauh lebih 500 kilometer baru-baru ini.

Bahkan, saya boleh menyesuaikan diri dengan cepat ketika menunggang bersama rakan yang memiliki jentera 250cc atau 650cc dalam pengembaraan melalui jalan persekutuan dan lebuh raya itu.

Tangki bahan api berkapasiti 17.5 liter menjadikan CB500X tidak bermasalah mengharungi perjalanan lebih 200 kilometer dengan tangki penuh.

Kami turut melalui jalan kampung di sekitar Sekinchan dan dengan dilengkapi suspensi hadapan fork terbalik (USD) 41 milimeter (mm) tunggangan menjadi selesa walaupun permukaan tidak rata dan beralun.

Apatah lagi jentera ini juga datang dengan 'Showa Separate Function-Big Piston' (SSF-BP) yang

memisahkan spring dan peredam bagi kawalan lebih selesa pada pelbagai permukaan jalan.

Satu lagi ciri penting CB500X ialah kemantapan membrek, motosikal ini hadir dengan brek dwi-cakera 296mm serta angkup omboh berkembar dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Ia datang dengan brek cakera hadapan baharu angkup axial-mount manakala bagi bahagian belakang, ia dilengkapi suspensi lengan hayun Steel Hollow Cross dipertingkatkan. Ia juga ringan selain lebih lenturan pada sisi.

Jentera ini turut dilengkapi monoschock prolink pra-beban lima peringkat boleh laras bagi disesuaikan dengan berat penunggang atau pembonceng.

Selain itu, CB500X didatangkan dengan roda hadapan 19 inci acuan aluminium ringan dengan jejari lebih nipis serta pelindung lumpur. Bagi bahagian belakang, ia datang dengan rim 17 inci.

Secara keseluruhannya, menunggang CB500X pastinya menyeronokkan dengan karakternya yang sangat 'nimble' dan kemampuannya sebagai jentera 500cc keluaran Honda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 6:30 AM