Lizam Ridzuan


JENTERA ini mengingatkan penulis tentang motosikal segmen ‘street’ yang popular pada 1980-an malah menjadi idaman buat ramai kaki motor zaman itu.

Model Honda CB1100 RS menawarkan rekaan moden dan klasik dilancarkan tahun ini untuk pasaran Malaysia oleh pengedarnya, Boon Siew Honda dijual di bawah segmen Honda BigBike sebagai peng­ganti kepada CB750 yang pernah dikeluarkan dari 1969 hingga 2003 dan dikeluarkan sekali lagi pada 2007 serta model CB1100 F pada 1983.

Vroom Harian Metro berpeluang menunggang uji model ini malah sering mencuri tumpuan di jalanan meskipun bukan daripada segmen ‘superbike’ atau ‘naked’ moden ranggi.

Untuk model CB1100, ia menerima sentuhan gaya rekaan ‘Universal Japanese Motorcycle’.

Ia mula dilancarkan pada 2010 dengan beberapa varian sehinggalah versi RS ini diperkenalkan pada 2017.

Motosikal ini tampil menyerlah kerana ia mengekalkan rekaan gaya klasik terutama pada bahagian tangki dan enjin dengan empat saluran eksoz gaya vintaj.

Walaupun mengekalkan lampu hadapan bulat, ia turut menerima sentuhan LED serta lampu nyalaan siang (DRL).

Besi pemegang dan cermin pandang belakang krom serta posisi menunggang yang tegak antara elemen motosikal gaya retro yang menambah sentuhan elegan.

Ia turut diberi suntikan sporty pada casis ‘double steel cradle’ yang dilengkapi suspensi hadapan fork teleskopik 43 milimeter (mm) ‘Showa Dual Bending Valve’(SDBV) dan ‘Twin Showa’ dengan takungan cecair simpanan pada belakang.

Roda aluminium sport 17 inci hitam menambah gayanya malah dua brek cakera hadapan dengan empat angkup untuk sistem brek-anti kunci (ABS) bagi keselamatan membrek dengan baik selain dua brek cakera belakang mengekalkan keunggulannya.

Pelana mendatar dengan ketinggian 795mm untuk keselesaan sepanjang perjalanan selain membawa pembonceng.

Panel meter berkembar gabungan analog dan digital sangat memudahkan penunggang merancang perjalanan di mana ia memaparkan maklumat tahap penggunaan bahan api serta lain-lain yang berkaitan.

Motosikal ini dijana enjin 1,140cc sejukan udara DOHC. Ia menghemburkan tenaga 90hp pada 7,500 rpm dan kuasa tork pada 91Nm pada 5,500 rpm.

Tidak dinafikan paling penulis gemari ialah bunyi standard yang terhasil daripada empat silinder.

Ia memberikan nada sporty tersendiri. Sesuai sebagai motosikal tunggangan santai, namun ia mampu mencapai kelajuan melebihi 160 kilometer/sejam.

Melayan selekoh juga seronok meskipun jentera ini beratnya 252 kilogram (kg). Ia ditala suspensi prabeban boleh laras dan penyerap hentakan berkembar yang berfungsi baik sama ada secara solo atau bersama pembonceng.

Klac basah plat pelbagai dan gear manual enam kelajuan memberikan kelancaran berterusan sama ada ketika melepasi kesesakan jalan raya atau meluncur di lebuh raya.

Namun, oleh kerana enjin sejukan udara, maka ketika melalui atau pada kelajuan rendah, terasa bahang menyentuh paha dan hilang sebaik kelajuan mula dicapai.

Secara keseluruhannya, penulis gemar menunggang Honda CB1100 RS kerana ia sesuai untuk bersantai, namun pada masa sama enjinnya amat berprestasi.

Elemen klasik dan moden ditampilkan pula sangat sepadan dengan rekaan pada keseluruhan motosikal ini termasuk komponen enjin yang dampak dengan empat saluran eksoz.

Kapasiti bahan api sekitar 16.8 liter mampu menjangkau jarak sehingga 200 kilometer, namun pada pandangan penulis, penggunaan bahan api sedikit kuat atas faktor berat jentera itu sendiri.

Untuk perjalanan jauh, pemilik boleh menambah aksesori seperti ‘fairing’ cermin pelindung angin hadapan serta kotak belakang atau sisi untuk kemudahan menyimpan barangan.

Bagi pasaran Malaysia, Honda CB1100 RS dijual pada harga RM75,999 (atas jalan tanpa insurans) dengan dua pilihan warna iaitu hitam dan perak yang didatangkan dengan dua tahun jaminan atau 20,000km yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2019 @ 5:01 AM
CB1100 RS kekal gaya 1980-an. -Foto ROSELA ISMAIL
CB1100 RS kekal gaya 1980-an. -Foto ROSELA ISMAIL